SATU CATATAN - TA’ADUD JEMAAH

Sebelum memulakan penulisan ini, terdetik dihati akan apa yang akan terjadi selepas artikel ini di-posting-kan kerana isu agak sensitif. Besar kemungkinan akan menerima tamparan hebat dari pengkritik-pengkritik blog yang berlainan arus khususnya penganut fahaman (Nadi UMNO, ABIM, ISMA dan JIM dll). Sebelum anda dimamah fitnah, terlebih dahulu dingatkan artikel ini diolah dari beberapa penelitian di sekitar Pelembahan Nil ini. Setelah memasang tekad, kekuatan datang tanpa diduga bersulam idea yang mencurah-curah semasa menekan butang papan kekunci ini.



Ramai yang mengatakan isu ini sudah lapuk, basi, dingin dan sebagainya. Biar apapun status diberikan pada isu ini saya tetap katakan ia adalah isu terkini dan sentiasa berterusan selagi mana di sana ada beberapa jemaah dan organisasinya masih dianggotai.



Sesetengah menganggap berpersatuan atau berjemaah itu suatu benda biasa tanpa meneliti jemaah yang di-intima’ (bergabung diri) itu betul memenuhi tuntutan syara’ terutama berkaitan dengan masalah Ta’adud Jemaah.



Islam adalah agama yang berdiri di atas ribat ukhuwwah dan iman serta melarang keras berlaku perpecahan dan pergolakan. Tengok sajalah agenda harian lima kali sehari solat berjemaah. Disusuli pertemuan mingguan solat jumaat dan muktamar tahunan di Baitullah musim haji. Segala-galanya mengunjurkan kearah perpaduan dan kesatuan.



PMRAM adalah satu jemaah induk yang umur lahirnya menjangkau 76 tahun. Inilah khazanah tertua orang Melayu di bumi Mesir yang perlu sama-sama dipertahankan. Dalam usia yang begitu panjang ini, pelbagai jemaah muncul dengan pelbagai jenama antaranya JIM, ABIM, ISMA, Nadi UMNO dan banyak lagi. Tidak kurang ada juga jemaah dengan umur baru setahun jagung tonjol mendabik dada mendakwa jemaah mereka hebat, kuat dan mantap dari PMRAM. Satu persoalan ingin dilontarkan. Hebat dan mantap pada nilaian siapa? Dari sudut mana? Pada sebelah pihak mana? Sesungguhnya tidak ada nilaian selain penilaian dari sudut agama. Nilaian jemaah mana yang hak, jemaah mana yang batil, ciri-ciri jemaah tulen, jemaah mana yang boleh berintima’ dan pelbagai lagi semua telah diperjelaskan oleh agama melalui lidah para Ulama.



Tentang masalah yang dibincangkan ini Dr. Yusuf al Qardhawi pernah berkata dalam Min Fiqhid Daulah Fil Islam :


"Tiada halangan ta'adud jemaah yg beramal untuk Islam, selagi mana terdapat keuzuran untuk mewujudkan sebuah kesatuan disebabkan kelainan matlamat, manhaj, fahaman dan thiqah kepada setengah yg lain berdasarkan kepada ta'adud takhassus dan tanawwu’ dan bukan ta'adud tudhod dan tanaqud.Semuanya wajib berdiri dalam satu sof pada setiap perkara yg mengembalikan ketuanan Islam, aqidah Islamiah dan keizzahan umat Islam "



Realiti dicelah fatwa Dr. Yusuf Al-Qardhawi ini, dibolehkan untuk kita berbilang-bilang jemaah atau persatuan dengan syarat mesti berlaku ta’adud takhassus dan tanawu’(saling menyokong dan membantu) Seperti BKAN dan DPM saling berkerjasama dengan PMRAM. Ada juga jemaah-jemaah yang mengesampingkan fatwa ulama mujtahid ini. Mereka mengutamakan matlamat dan halatuju mereka dengan mengambil pendekatan ta'adud tudhod dan tanaqud (berlawanan dan bertentangan). Inilah satu anasir yang melambatkan kefahaman ummat terhadap Islam. Buktinya mahasiswa Mesir berpecah kepada beberapa jemaah. Ahli dihalang dari melibatkan diri dengan program anjuran PMRAM, nama PMRAM diburuk-burukkan dengan tuduhan-tuduhan palsu dan sebagainya. Mereka ini hendaklah takut dengan ancaman Allah s.w.t. yang bermaksud:



“ Janganlah kamu menjadi seperti orang yang musyrikin iaitu mereka yang berpecah-belah dalam agama mereka dan setiap Hizbi (golongan, parti, jemaah) itu bergembira dengan apa yang mereka punyai”

Ar-Rum : 31-32



Tidak ada satu fatwa pun yang mengharuskan berlakunya ta'adud tudhod wa tanaqud. HARAM hukumnya berbilang-bilang jemaah jika disana saling bertentangan kerana ia akan melahirkan bibit-bibit perpecahan sesama muslim. Diperkuatkan dengan fatwa Syeikh Solah Shawi dalam Mada Syariyyatul Intima' :



" Sesungguhnya ta'adud yang diterima dilapangan amal Islami ialah taadud takhassus dan tanawwu’ bukannya ta'adud tudhod wa tanaqud. Adapun taadud yg memecahkan wala umat Islam,melaknati sesama manusia merupakan wabak dan kecelakaan yg mengubah waqi' kepada tersebar fitnah dan membuka jalan kepada pandangan untuk mula beruzlah "



Siapa kita untuk menekan jemaah Islam ini hasil penat jerih para ulama terdahulu. Kita baru dua tiga tahun berada di Mesir. Mengkritik dan menghujum seolah-olah hidup sezaman dengan mereka yang menubuhkan PMRAM tahun 1930 dulu. Kematangan PMRAM dalam pengkaderan ahli dan siri pentarbiyyahan cukup terbukti kerana ramai dari tenaga PMRAM berada di setiap peringkat di tanah air dalam mengubah corak pemikiran masyarakat kearah Islam dan mengeluarkan ummat dari kegelapan sekular se-global kepada Islam agama yang memerintah.

0 comments:

Post a Comment