JPMK Cubalah Ambil Contoh Para Pembesar Dahulu, Jangan Di Sebabkan Nafsu, Kamu Tersungkur...


Guru kami yang mulia , Syeikh Ahmad Nabawi hafizahullah pernah menceritakan kepada kami ketika majlis pengajian kitab Nahu Tuhfatul Saniyyah di Masjid al-Azhar al-Syarif sebelum ini Majlis Mendengar Bacaan Hadis (Majlis Sama’ Hadis) pernah dilaksanakan di Masjid al-Azhar dan Masjid Saidina Hussain alaihissalam.



Ulama terakhir yang melaksanakannya ialah al-Imam al-Allamah al-Hafidz Ahmad al-Ghumari rahimahullah.Beliau meneruskan kesinambungan majlis sepertimana yang pernah dilaksanakan sebelum itu oleh al-Imam al-Allamah al-Muhaddith Zabidi rahimahullah pengarang kitab Ithaf Sadatul Muttaqin Syarah Ihya Ulumuddin.



Itu dahulu, sekarang amat sukar untuk kita temukan semula Majlis Sama’ Hadis sebegini.Alhamdulillah PMRAM sudah hampir berjaya melaksanakan Majlis Ilmu sehebat ini.Majlis yang mana kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam akan dibacakan. Hanya sekadar membaca hadis dan sanadnya dengan sedikit ulasan daripada para ulama tersohor di bumi Mesir bumi Kinanah ini.



Para ulama terdahulu berebut-rebut untuk menghadirkan diri di dalam Majlis Ilmu sebegini. Al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani rahimahullah , setelah selesai mengarang kitab Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari, beliau menjemput para ulama, pembesar kerajaan dan orang ramai datang ke majlis kesyukuran di atas inayah Allah memberikan peluang untuknya menyiapkan syarah terbaik bagi Sahih al-Imam Bukhari.



Para pembesar ketika tersebut, menjadikan kitab Fathul Bari sebagai hadiah kepada tetamu yang datang mengunjungi mereka.Malah kitab ini ditulis dengan dakwat emas menunjukkan betapa berharganya kitab mulia ini.Kata Guru Kami Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah, kitab Fathul Bari pada ketika tersebut dijual dengan harga ratusan malah ribuan dinar.Harganya jika mengikut perkiraan Ringgit Malaysia hampir mencecah RM 40000!!! Tetapi para pembesar dan ulama pada ketika tersebut sanggup untuk membelinya kerana cinta mereka terhadap ilmu sangat tinggi.



Agak berbeza bukan dengan zaman sekarang? Dahulunya para pemimpin negara begitu mencintai ilmu.Sultan Nuruddin al-Zinki rahimahullah, seorang raja yang soleh dan wali Allah taala, seringkali menjemput gurunya al-Muhaddith Badruddin al-Mausili rahimahullah untuk membacakan hadis kepadanya dirumah beliau.Malah ketika gurunya ingin membacakan hadis Musalsal Bi al-Tabassum ( Hadis Musalsal Senyum), beliau meminta agar gurunya menangguhkan dahulu bacaan kitab tersebut kerana kata beliau :



“ Mana mungkin aku mampu tersenyum sedangkan saudara-saudaraku di Dumyat sekarang sedang sibuk berperang. Selagimana aku tidak berjaya meyelamatkan mereka daripada penjajahan maka selagi itu aku tidak akan mampu tersenyum”



Selesai peperangan di Dumyat dan beliau berjaya menyelamatkan Saudara Islam yang lain maka ketika itu beliau menjemput kembali gurunya Syeikh Badruddin al-Mausili rahimahullah sambil berkata :



“ Sekarang Wahai Tuan Guru, Aku sudah mampu tersenyum. Maka sampaikanlah hadis tersebut kepadaku untuk aku senyum mengikut perbuatan Baginda sallallahu alaihi wasallam”



Tapi sekarang, ada juga golongan yang dengki tidak mahu majlis mulia sebegini diteruskan hanya kerana ingin mengikut hawa nafsu mereka yang sememangnya tidak menyukai majlis ilmu sebegini.



Katanya , orang-orang ini pernah ditarbiyah. Tarbiyah apanya?? Tarbiyah untuk menjahanamkan umat Islam lain??



JPMK dibawah naungan Prof. Jamil sepatutnya mengambil contoh para pembesar terdahulu bilamana bermuamalah dengan para ulama.Jangan dengan hawa nafsu kita, hanya kerana dengki dan dendam yang tak sudah, terbawa-bawa sehingga tiada lagi kawalan terhadap diri sendiri.Apa faedahnya kamu dapat kalau Majlis Mulia Bacaan Hadis ini ingin dibatalkan tanpa sebab munasabah??



Kamu tak takutkah dengan doa para auliya’ Allah taala yang dijemput khas untuk datang bersama kami para penuntut ilmu membacakan hadis???.Inilah bahananya jika dahulu kurang bercampur gaul dengan para ulama.Hanya berpada dengan tarbiyah jadian yang mereka canangkan.



Kami tidak akan mendoakan keburukan kepada kamu semua.Kami hanya memohon moga Allah taala memberikan petunjuk kepada kamu semua atas perbuatan lancang kamu terhadap para ulama ummah ini.Jangan mendoakan laknat. Ini bukan akhlak kita sebagai seorang muslim.Moga Prof Jamil dapat menghayati cara sebenar menuntut ilmu selepas ini dan menghayati bahawa perbezaan pendapat janganlah sampai membawa kepada perpecahan.



Kita pelik, kalau PMRAM mempertahankan hak maka dituduh PMRAM ekstrim, syadid dan lain-lain. Tapi kalau puak ini buat bahana, kita kata “ Mungkin mereka ada sebab” . Sebab apanya?? Sebab tak sama fikrah?? Entahlah. Kalau ya pun ada kuasa , kena ingat Allah taala Maha Berkuasa.Jangan sampai Allah taala yang meminjamkan sedikit nikmat kepada kamu, Allah taala yang sama akan menarik semula nikmat tersebut dengan cara yang kamu sendiri tidak mahu ianya berlaku.


Cubalah rasional ketika melaksanakan tindakan. Jangan terburu-buru. Kamu sendiri yang rugi .Ingat tu !!


P/S: Gambar di atas sekali merupakan Majlis Ilmu yang dihadiri oleh para ulama dunia seperti Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari, Syeikh Yasin al-Fadani, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Ibrahim al-Ahsai'ie, Syeikh Hassan Masyath, Syeikh Ismail Uthman Zain rahimahumullah wa hafizahullahu taala alaihim aj'main...



Sumber: http://www.nazrulnasir.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment