Pemergian Ustaz Hassan Shukri - satu manifestasi arkanul baiah

''komitmen Almarhum kepada perjuangan PAS sangat mantap. Jangan siapa nak persoalkan kesetiaan Almarhum. Saya tahu Almarhum banyak berkorban untuk PAS''


(Zulkifli Nordin, 2010)



''satu contoh kepimpinan parti yang gigih dan istiqamah di kala senang dan susah, untuk memimpin ahli dan seluruh warga parti tanpa mengenal jemu dan lelah''




(Tuan Guru Hadi Awang, 2010)



Pemergian Ustaz Hassan Shukri pada usia 71 tahun sememangnya sesuatu yang mengejutkan, lebih-lebih lagi beliau merupakan nama besar di dalam perjuangan Islam di Malaysia di bawah panji PAS dan baru sahaja menerima anugerah tokoh pemuda sempena Muktamar Tahunan PAS pada minggu lalu.



Seperti biasa, pemergian tokoh besar sebegini akan secara automatik melahirkan pelbagai perkongsian pengalaman dan testimoni berkenaan beliau, oleh mereka yang rapat dan juga daripada mereka yang mungkin hanya sempat bertemu beliau buat beberapa detik sahaja. Pepatah pun ada menyebut, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.



Apa yang membuatkan Ustaz Hassan Shukri kekal lama di dalam perjuangan Islam?



Pastikan kekuatan beliau terletak kepada bai'ah beliau. Bai'ah yang kita maksudkan bukan sekadar bai'ah dalam konteks kepada pimpinan, namun bai'ah untuk beramal, bai'ah kepada Allah swt.



Kalau di dalam ilmu Fiqh, kita memahami arkanus solat (rukun-rukun solat) wajib dipenuhi untuk menjadikan solat itu sah, di dalam bai'ah kita pun ada arkan (rukun-rukun) nya yang tersendiri yang mesti kita penuhi, satu janji dan amanah yang mesti ditepati oleh orang-orang mukmin.



Mari kita lihat bagaimana aplikasi arkanul bai'ah di dalam kehidupan Ustaz Hassan;



Fahmu - Semestinya beliau mempunyai kefahaman yang jelas , tentang 'apa yang diperjuangkannya' , kerana tanpa kefahaman yang tulen, mustahil seseorang mampu bertahan berdekad lamanya di dalam perjuangan Islam sehingga ke akhir hayat. Beliau jelas perjuangan bukanlah kerana sekadar menggerakkan sebuah persatuan yang dianggotai sekumpulan manusia, mahupun perjuangan memberikan ceramah-ceramah agama. Namun ini merupakan sebuah usaha untuk mencapai mardhatillah (keredhoan Allah)



Ikhlas - Amal yang ikhlas sahaja yang mampu bertahan lama. Amal yang 'bahan bakarnya' ialah pujian manusia, habuan harta, tawaran pangkat dan nama akan menjadi rapuh dan lenyap selepas penyebab amalan itu tiada...Namun Allah akan tetap kekal selama-lamanya sebagai tujuan amal dilakukan.



Amal - Ustaz Hassan merealisasikan perjuangan dalam bentuk amal, dan bukan sekadar dalam bentuk penulisan, atau percakapan sahaja. Kedudukan sebagai mantan Timbalan Presiden PAS, Naib Presiden dan Setiausaha Agung tidak menghalang beliau untuk mengutip sampah dan menyapu halaman!!



Jihad - Beliau sungguh berani dan bijak dalam menghadapi tribulasi dakwah. Terkenal dengan kehebatan dan keberanian berhujah semasa menjadi senator di Dewan Negara pada tahun 1999 mewakili negeri Terengganu, sehinggalah kepada sumbangan penting beliau di dalam draf perlembagaan untuk membolehkan pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS.




Tadhiyyah -
Aktivitis Pas yang tidak lokek di dalam perjuangan. Wang poket sendiri dikeluarkan dalam proses menegakkan agama Allah sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang (pelaburan akhirat). Masa dan tenaga yang dikorbankan beliau cukup banyak, sehingga disifatkan Tuan Guru Hadi Awang sebagai ''terus berkhidmat dengan parti hingga ke saat beliau menemui Tuhan Rabbul Jalil''



Taat - samada ada jawatan atau tidak, ketaatan kepada pemimpin yang dilantik secara jama'ah dijadikan sebagai sumber ketaatan samada keadaan susah maupun senang.



Tsabat - Perjuangan beliau bermula pada ketika PAS belum dilihat sehebat sekarang. Beliau menjadi Ketua Pemuda pada tahu 1971 sebelum era PAS bersama-sama di dalam BN dan kemudiannya ketika PAS ditendang keluar, dan kemudian di zaman PAS kehilangan negeri Kelantan. Ada teman-teman beliau yang lompat masuk ke UMNO, namun ini tidak menggugat dan mengoyahkan semangat beliau atas perjuangan yang suci ini. (al-Ahzab, 23)



Tajarrud - Pastinya keyakinan beliau akan penjuangan Islam yang sepenuhnya, 'membogelkan' pemikiran daripada rangka pemikiran sekular dan cara pemikiran yang bersih daripada nilai-nilai non-Islamic menjadikan beliau terus kekal pada perjuangan Islam dan PAS.



Ukhuwwah - Hati yang bersih untuk sentiasa bersabar, ber salamatus shadri (berprasangka baik) kepada sahabat-sahabat seperjuangan dan juga sentiasa mengamalkan itsar, iaitu mendahulukan kepentingan saudaranya. Inilah yang mengikat hubungan pejuang-pejuang Islam dan menjadikan sahabat-sahabat seperjuangan rapat dengan almarhum.



Tsiqoh - Tsiqoh yang ada pada ahli Pas kepada beliau menjadikan beliau diyakini untuk dipilih sebagai pemimpin Pas dan para pengikut tenang dengan karakter dan akhlak beliau. Tsiqoh ini lahir pastikan daripada akhlak dan budi pekerti yang mulia, dan akhlak ini pula pastinya lahir daripada jiwa ibadur rahman yang ingatannya sentiasa pada Allah.



Akhir kata, mari kita muhasabah, bagaimana perlaksanaan rukun-rukun bai'ah kita. Jika rukun-rukun ini rapuh, kita takut bai'ah dan janji kita kepada Allah dalam pejuangan sebagai seorang mukmin di dunia ini hanya kekal sampai selepas belajar, atau selepas berumah tangga atau terganggu hanya kerana perkara-perkara remeh dan bersifat peribadi.



Semoga Allah menjadikan kita semua mukmin soleh dan mukminah solehah yang musleh.




p/s: Al -Fatihah buat Almarhum Ustaz Hassan Shukri.....



kiriman: dari sahabat seberang (Acheh)

0 comments:

Post a Comment