Ringkasan Sidang Dun Kelantan


1.Kerajaan Tegaskan tiada tanah rakyat diambil bagi Ladang Rakyat



Kerajaan Negeri hari ini menegaskan sehingga kini seluas 50, 706 ekar tanah milik kerajaan negeri telah diusahakan oleh Perbadanan Ladang Rakyat melalui perkongsian dengan syarikat swasta dan sehingga hari ini sejumlah RM44.6 juta lebih telah dibayar dividen kepada peserta Ladang Rakyat. Demikian dijelaskan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato Ahmad Yakub ketika menjawab soalan asal dari Haji Hassan Mahmood ( PAS-Tawang).

Menurut beliau lagi usaha kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan tegar telah berhasil setelah diadakan Ladang Rakyat kerana peserta yang terlibat telah berjaya dikeluarkan dari kategori miskin tegar.

Beliau juga berkata mengikut kajian yang dibuat oleh kerajaan negeri kadar kemiskinan tegar telah menurun pada setiap tahun seperti tahun 2006 ialah 10.6 peratus sedangkan pada tahun 2009 ia hanyalah sekadar 4.8 peratus sahaja.


2.Penggunaan Emas dinar perlu diperluaskan


Langkah kerajaan Kelantan memperkenalkan dinar emas dan dirham sepuluh tahun lepas kini sudah menampakkan hasil yang memberangsangkan. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Dato Hussam Musa ketika menjawab soalan Adun Bukit Tuku( PAS ) Abdul Fatah Haron menjelaskan sehingga kini dalam tempoh sepuluh bulan sejumlah RM21juta sudah terjual dengan purata RM2juta sebulan.

Husam juga menegaskan kerajaan menjangkakan penjualan dinar dan dirham ini akan meningkat kepada RM5juta sebulan hasil peningkatan emas di pasaran.

Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan dari Adun Tawang Hassan Mahmood(PAS), husam menjelaskan sehingga kini hanya dua buah anak syarikat kerajaan negeri yang menggunakan dinar dan dirham dalam urusan mereka dan pihak kerajaan kini sedang giat memberi penjelasan kepada anak-anak syarikat agar menjadikan emas dinar dan dirham sebagai salah satu kegiatan ekonomi mereka.


3.Campurtangan politik salah disisi konvensyen sukan dunia.


Kerajaan Kelantan hari ini diberitahu penglibatan politik dalam bidang sukan di negara ini amat memalukan dan ia menyalahi konvesyen sukan dunia, demikian dijelaskan oleh Adun Pulai Chondong (PAS) Zulkifli Mamat ketika sessi soal jawab di antara beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Abdul Fattah Mahmood .

Zulkifli menegaskan amatlah janggal sekiranya kerajaan Pusat yang berlainan fahaman politik sering menganaktirikan Kelantan dalam pembangunan sukan dan ini amat bercanggah dengan hasrat dunia agar politik tidak dicampur adukkan dalam bidang sukan.

Sementara itu Abdul Fattah ketika menjawab soalan lisan berkata sehingga kini Kelantan masih lagi dinafikan hak untuk mendapat bantuan bagi pembangunan sukan, malah ia sering disalurkan melalui agensi kerajaan persekutuan seperti Jabatan Belia dan Sukan.

“ Kelantan adalah satu-satunya negeri yang ingin membina sebuah stadium baru tetapi tidak mendapat bantuan dari kerajaan pusat dan ini menjelaskan perbezaan politik masih lagi diambil kira oleh kerajaan pusat” ujar beliau.

Bagi Adun Kuala Balah, Abdul aziz Derashid(BN) tindakan campurtangan politik tersebut diakui beliau dan mengakui bahawa saluran bantuan bagi pembangunan sukan negeri ini disalurkan terus kepada pihak berkenaaan tanpa melalui kerajaan negeri.


KOTA DARULNAIM

0 comments:

Post a Comment