Isu murtad: kejadian serbuan pihak JAIS – Siri 1



Pada 3 Ogos lalu, JAIS melakukan pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya selepas menerima maklumat kehadiran beberapa orang Islam ke sebuah majlis kesyukuran yang dianjurkan di gereja Methodist mazhab Protestan di Damansara Utama Selangor.

Exco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya sekitar jam 10 malam kerana terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Menurut beliau, anggota penguatkuasaan Jais bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di bangunan gereja itu walaupun cuba dihalang oleh pihak penganjur.

“Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir satu jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai,” katanya.

Beliau berkata pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “Quran” dan “pray” diselitkan pada ucapan di majlis itu.

“Setelah majlis hampir tamat, pasukan penguatkuasa dan anggota polis telah membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan bagi menghalang pemeriksaan dan melupuskan bahan bukti.

Larikan diri

“Pegawai penguakuasa Jais dan polis mendapati ada percubaan di kalangan peserta untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang,” katanya.

Menurut Dr Hasan berdasarkan siasatan awal, 12 penganut Islam didapati terbabit dengan majlis itu dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan.

Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Keesokan hari selepas berlaku kejadian serbu Jais itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara peribadi telah menghubungi Paderi kanan DUMC, Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden itu.

"Saya memberitahu beliau bahawa saya telah minta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyediakan laporan penuh mengenai insiden ini, termasuk sebab-sebab terperinci serbuan tersebut dilakukan.

"Saya berharap dapat berjumpa dengan Pastor Daniel Ho sebaik sahaja laporan lengkap ini diterima," katanya.

Menteri besar menegaskan bahawa kerajaan Selangor selalu menghormati kebebasan beragama dan hak semua pihak untuk meraikan kebudayaan dan kepercayaan mereka.

Kenyataan MB Tan Sri Abdul Khalib Ibrahim menimbulkan pertembungan dengan pendirian Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang kesal dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwanya bersifat 'apologetik' (terlalu lembut) berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara (DUMC).

Sehubungan itu, pucuk pimpinan PAS Pusat akan berjumpa dengan pihak Gereja Methodist Damansara Utama Selasa (16 Ogos), demikian menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Bagaimanapun, beliau berkata permintaan untuk berjumpa dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih belum dapat ditetapkan lagi.

"Pihak gereja telah bersetuju dengan permohonan PAS untuk bertemu perjumpaan itu akan diadakan pada pukul 4 petang. Dengan Jais, kita belum dapat tarikh lagi. Kami dimaklumkan JAIS belum dapat berjumpa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata rombongan sembilan orang pucuk pimpinan PAS akan diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu memandangkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih berada di luar negeri.

Rombongan PAS turut akan disertai oleh Mustafa, Naib Presiden Salahudin Ayub, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Idris Ahmad, Dr Siti Mariah Mahmud, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman.

Seramai 12 orang umat Islam, yang berada dalam majlis tersebut ketika pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini, Seramai tiga lelaki dan sembilan wanita yang berusia antara 20-an dan 40-an.

Majlis makan malam amal yang diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu kerana didakwa ada kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam. Susulan laporan terdapat unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah eksekutif NGO itu - yang membantu golongan miskin dan 'melarat' dan penghidap HIV dan AIDS - Raymond Koh berkata majlis kesyukuran/makan malam amal itu dihadiri penderma, rakan-rakan serta penerima bantuan Harapan Komuniti" sebelum ia diserbu 30 pegawai penguatkuasa JAIS dan polis.

Katanya, Harapan Komuniti adalah sebuah pertubuhan bukan keuntungan, yang berkhidmat untuk membawa kasih sayang, harapan, keamanan dan maruah kepada golongan yang memerlukan, orang miskin, kanak-kanak, wanita dan penghidup HIV dan AIDS.

"Kami membantu orang ramai, tanpa mengira bangsa, agama atau kepercayaan. Harapan Komuniti adalah rakan kepada Majlis AIDS Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada hari berkenaan (Rabu 3 Ogos 2011), Harapan Komuniti hanya mengadakan majlis kesyukuran/makan malam amal untuk mengumpul dana di premis DUMC (Gereja Methodist Damansara Utama).

Sementara itu Berita Harian melaporkan ada pertubuhan di negara ini berselindung di sebalik kegiatan kebajikan dengan menawarkan wang tunai, tempat tinggal dan makan minum percuma kepada golongan miskin dan menghadapi masalah kewangan yang beragama Islam sebelum memesongkan akidah mereka hingga sanggup menukar agama akibat desakan hidup.

Difahamkan, ada individu Islam menerima elaun tetap sehingga RM1,000 sebulan dengan hanya mengikuti program pertubuhan itu dua kali seminggu. Malah segelintir peserta turut mengakui menerima bantuan menyelesaikan beban hutang, termasuk ansuran kenderaan, rumah dan kad kredit.

Ia dipercayai taktik pertubuhan terbabit bagi menarik orang ramai mengikut program mereka dengan sebahagian besar sasaran adalah golongan gelandangan dan ibu tunggal yang tidak berpendapatan tetap serta dibebani masalah kewangan.

Setiap peserta turut dijanjikan `kehidupan baru’ oleh pemimpin pertubuhan terbabit yang menggambarkan dirinya seolah-olah `penyelamat’ jika mengikuti segala program diatur, termasuk kesediaan menukar agama.

Bekas pengikut pertubuhan itu yang mahu dikenali sebagai Adazhan, 30-an, mengakui pernah dilatih menjadi paderi sepanjang 10 tahun menjadi pengikut program berkenaan, termasuk menukar agama isteri dan anak-anaknya sebelum kembali ke pangkal jalan.

Ketika ‘diselamatkan’ daripada kesempitan hidup, Adazhan mengakui menerima tawaran bantuan pertubuhan itu adalah pilihan hidup untuk menyelamatkan keluarga daripada kepompong kemiskinan.

Malah, kesungguhannya mengikut program membolehkannya menghadiri kursus menjadi paderi dan dijanjikan Rumah Doa sendiri dengan pembiayaan penuh pertubuhan untuk menjalankan aktiviti keagamaan.

“Dulu saya terima bantuan kewangan RM500 sebulan. Bagi yang ada isteri, mereka diberi tambahan RM300 dan RM100 bagi seorang anak. Bagi saya yang hidup merempat ketika itu, cuma itu pilihan terbaik. Sekarang, jumlah bantuan bertambah dan difahamkan, ada yang dapat lebih RM1,000 sebulan.

“Saya percaya ramai sudah terpedaya selepas termakan pujukan dan terhutang budi dengan bantuan diterima. Cuma, mereka takut menukar status agama dalam MyKad,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mencadangkan supaya mereka yang terpedaya, tidak dikenakan hukuman atau ditangkap kerana bimbang menyebabkan keadaan lebih teruk, sebaliknya didekati secara lembut dengan membetulkan semula akidah dan diberi bantuan sepatutnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Sementara itu, salah seorang peserta wanita yang ditahan dalam serbuan berkenaan mendedahkan peserta Islam ditegah mempercayai Nabi Muhammad SAW, tetapi diminta mengikut suruhan Nabi Isa melalui ceramah dan nyanyian sepanjang majlis berlangsung.

JASMINE mengaku menerima bantuan daripada sebuah komuniti gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya. Hanya mahu dikenali sebagai Jasmine, wanita itu berkata, pertubuhan terbabit mensasarkan individu yang menghadapi masalah kewangan seperti kumpulan mualaf dan golongan yang kecewa dengan kerajaan sebagai ahli sebelum ejen berperwatakan alim seperti haji dan imam dihantar mendekati mangsa.

“Mereka menabur janji mampu menyelesaikan masalah dihadapi sebelum sasaran dibawa menghadiri majlis suai kenal dan sesi ceramah secara sulit. Biasanya, minat menyertai pertubuhan ini timbul selepas mendengar syarahan ketua agama dari Sabah, Sarawak dan Indonesia,” katanya yang menyertai pertubuhan itu bersama suami dua tahun lalu.

Jasmine yang dijanjikan bantuan kewangan untuk menyelesaikan hutang dan keperluan harian, berkata dalam setiap program dianjurkan, peserta diberikan kitab Injil berbahasa Melayu seterusnya diajar menyanyi lagu dakwah Kristian, disusuli diberikan ‘minuman istimewa’ diikuti upacara pembaptisan.

Sumber: Malaysiakini.com & BHarian Online

0 comments:

Post a Comment