Bush dibaling kasut



DIAIBKAN... (Gambar besar) Muntadar Al-Zeidi bangun secara tiba-tiba dari tempat duduk bahagian pemberita dengan memegang kasut di tangan kanannya ketika Bush dan Perdana Menteri Iraq, Nuri Al-Maliki mengadakan sidang akhbar bersama di Baghdad, semalam manakala gambar di bawah (dari kiri ke kanan) dia melontar kasut ke arah Bush sambil melaungkan “Ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing! Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq.” Bush mengelak kasut yang dilontar dan berselindung di sebalik rostum ketika Muntadar mencapai satu lagi kasutnya sebelum melontar ke arah Bush sambil diperhatikan oleh Nuri Al-Maliki yang tergamam. – AP

BAGHDAD 15 Dis. – Seorang wartawan Iraq membaling sepasang kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq, semalam.
Insiden itu menonjolkan kebencian mendalam yang terus dirasai di negara ini terhadap Bush yang mengakui perang di Iraq masih belum dimenangi.
Wartawan berkenaan, Muntazer al-Zaidi bangun sewaktu Bush mengadakan sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik seraya menjerit dalam bahasa Arab, “ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” lalu membaling kasut yang dipakainya.
“Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq,” jerit Muntazer, wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, sebuah stesen milik Iraq berpangkalan di Kaherah.