KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA (GAMIS) BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID

KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA (GAMIS)
BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID


Pendahuluan


Rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kes kematian Allahyarham adik Aminulrasyid, 15 tahun, pelajar Sekolah Menegah Seksyen 9, Shah Alam yang telah ditembak di kepala oleh pihak polis. Beberapa media melaporkan bahawa juvana terbabit sebagai suspek ahli kumpulan samun namun dinafikan oleh keluarga Allahyarham. Polis mendakwa kereta yang dipandu oleh Allahyarham cuba merempuh anggota polis peronda dan polis bertindak melepaskan tembakan yang membunuh Aminulrashid.

Namun lain pula gambaran yang diberikan oleh rakan Aminulrashid yang ada bersama Allahyarham dalam kereta semasa kejadian. Dalam laporan polis yang telah dibuat, kawan yang sebaya dengan Allahyarham menegaskan Aminulrashid dalam ketakutan apabila terlanggar kenderaan lain dan memintas kereta peronda berkenaan. Setelah dipintas, anggota peronda terus mengejar dan melepas tembakan yang mengena sasaran. Aminulrashid rebah dalam kereta dengan luka tembakan di belakang kepalanya. Saksi ini melaporkan beliau kemudian di pukul oleh anggota polis sebelum sempat melepaskan diri. Beliau kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Menurut Monaliza Mokhtar, Biro Hal Ehwal Murid PIBG Sekolah Menengah Seksyen 9 beberapa media yang menganggap juvana terbabit sebagai suspek kumpulan samun sebagai satu fitnah. Pelbagai persoalan timbul di kalangan masyarakat berkaitan kes ini. Kes ini dilihat boleh mencalarkan imej Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sebagai badan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam.


Pendirian GAMIS :


Justeru, dalam kes ini, GAMIS berpendirian :

1. Pihak polis tidak sepatutnya cuai dalam hal ini. Ada prosedur tertentu yang perlu dilalui oleh pihak polis sebelum menembak walau apapun kesalahan seseorang. GAMIS berpandangan, kes tembakan ini adalah tindakan keterlaluan tambahan pula, kalaupun Allahyarham adik Aminulrasyid bersalah sekalipun, dia tetap juvana kerana masih di bawah umur. Pihak polis sangat teliti dalam beberapa kes yang lain seperti penangkapan mahasiswa yang terlibat dalam pilihan raya tetapi seolah-olah terburu-buru dalam kes seperti ini sedangkan ianya melibatkan keselamatan awam. Kemungkinan ianya turut menyebabkan rakyat Malaysia berasa tidak selamat walaupun mereka tidak melakukan kesalahan.

2. GAMIS ingin mengingatkan kepada pengamal media agar berhati-hati dalam kenyataan media sama ada media cetak atau media elektronik. Hal demikian kerana, sikap terburu-buru media dalam menerbitkan isu mungkin boleh menyinggung perasaan keluarga dan orang lain. Dalam isu ini, pelbagai versi berita yang dihidangkan kepada masyarakat sehinggakan mereka keliru tentang kesahihan berita di samping telah menimbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada mangsa dan keluarga. Janganlah hanya kerana inginkan publisiti dan berita panas sehinggakan menimbulkan perkara yang tidak baik dalam masyarakat.

3. GAMIS juga ingin berpesan kepada rakyat Malaysia khususnya agar tidak menerima sesuatu berita dengan mudah. GAMIS amat sedih apabila timbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada Allahyarham dan keluarga sehinggakan dijadikan perbincangan termasuklah di internet sama ada melalui forum-forum maya, blog, facebook dan sebagainya. Ada yang menambah-nambah cerita, mengutuk dan menghina Allahyarham dan keluarga. GAMIS berharap, prkara tidak baik seperti ini dihentikan. Sedangkan Rasulullah s.a.w. juga berpesa agar kita kita membangkitkan cerita-cerita tidak baik berkaitan seseorang setelah dia meninggal dunia walaupun dia bukan Muslim, apatah lagi kalau ada tokok tambah cerita dan fitnah yang dilemparkan.

4. GAMIS berharap agar Perdana Menteri serta Menteri Keselamatan Dalam Negeri memandang serius kes ini. GAMIS berharap satu jawatankuasa khas ditubuhkan dengan segera serta menyiasat kes ini seadil-adilnya. Kita sedih dengan beberapa kes sebelum ini yang mengambil masa terlalu lama dalam penyiasatan bahkan masih ada yang belum diselesaikan. Dalam kes Allahyarham Adik Aminulrasyid, siasatan adil dan segera sangat diharapkan kerana telah menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan masyarakat. Keadilan haruslah diberikan kepada mereka yang berhak serta tindakan susulan harus diambil sekiranya ingin membersihkan imej keselamatan negara Malaysia.


Penutup

GAMIS turut bersedih dalam isu ini. serta ingin menugcapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan beserta orang yang soleh. GAMIS juga menyeru kepada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), media dan masyarakat agar memandang serius dalam kes-kes seperti ini. Diharapkan kes-kes seperti ini tidak lagi berulang. Semoga keadilan dapat ditegakkan serta keselamatan negara lebih terjamin pada masa akan datang.

Al-Fatihah....



sumber: http://tintaduat.blogspot.com

DPMZ Menyelar Tindakan Fitnah Terhadap Pengerusi DPMT

DPMZ turut berasa amat kesal dengan tuduhan yang tidak bertanggungjawap oleh seorang pegawai Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) iaitu Encik Khairi Jalaluddin. Tuduhan yang dilemparkan terhadap Pengerusi PMRAM Cawangan Tanta, Saudara Dzulhilmi bin Roslan adalah satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Tuduhan yang dilemparkan tanpa usul periksa dengan menyatakan bahawa Pengerusi PMRAM Cawangan Tanta mengaku sebagai wakil kedutaan adalah satu tuduhan yang sangat tidak realistik dan mencalar imej seorang pimpinan mahasiswa.

Hal ini kerana,

- Pengerusi merupakan mandub (wakil) rasmi PMRAM di muhafazah dan bertanggungjawap penuh atas segala keselamatan pelajar Malaysia di Muhafazah.
- Pihak keselamatan mesir ( Amnu Daulah ) hanya akan berurusan dengan Pengerusi DPM sahaja di setiap muhafazah.
- Segala aktiviti DPM hendaklah dimaklumkan terus kepada Pihak Keselamatan Mesir ( Amnu daulah ) terutamanya yang melibatkan aktiviti luaran dan kedatangan wakil Kedutaan ke Muhafazah
.- Kedatangan wakil kedutaan yang tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Amnu Daulah adalah satu tindakan yang salah.

Sehubungan dengan itu pihak DPMZ sebulat suara tidak bersetuju dengan tindakan yang telah dilakukan oleh Encik Khairi Jalaluddin dan menggesa agar beliau memohon maaf secara terbuka demi memelihara keharmonian dan menjaga hak mahasiswa.

Semoga Allah merahmati kita semua dan menjaga kesatuan yang telah dibina atas dasar Islam ini dibawah hidayah dan petunjukNya.

Sekian, Wassalam.

“ KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH ”

Muhammad Hanif Jamaluddin
Pengerusi PMRAM Cawangan Zagazig
Sesi 2009/2010


Sumber: http://www.pmram.org/

Muktamar PMRAM 2010

Terlalu lewat sedikit saya membuat liputan kerana hampir 10 hari muktamar Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang ke-77 sudah berlalu. Rasa malas yang merajai diri sedikit sebanyak membantutkan usaha ini, akan tetapi perasaan malas itu dapat dinyahkan mengenang jasa dan bakti yang PMRAM telah taburkan kepada komuniti Melayu yang pernah bermukim di perlembahan Nil ini. Bakti yang dicurah oleh PMRAM terlalu banyak dapat dirasai bukan sahaja mereka yang pernah belajar di Mesir. Bahkan kepada orang yang tak pernah datang ke mesir sekali pun dan tak pernah merasai payung naungan PMRAM mereka tahu dan menyokong PMRAM sebagai platform utama menggerakan anak-anak Melayu dan membangunkan mereka dari kepompong jahiliyyah moden.



Muktamar kali ini berlangsung dengan jayanya di dewan besar Nadi Riadhi Madinatul Nasr, Kaherah.



Dengan integriti dan kredebiliti yang tersendiri PMRAM dapat bertahan meniti usia 80 tahun dan ampuh diuji dengan pelbagai serangan dari segenap sudut oleh musuh-musuh yang sentiasa menyimpan kesumat dendam kepada PMRAM.

Pengalaman mengikuti muktamar kali ini, sesi pembahasan usul telah berjaya menarik perhatian saya. Dua usul telah dibahaskan secara lumat dengan nada penuh bersemangat dari para perwakilan diselang seli pula dengan sokongan dan tepukan semangat oleh sidang muktamar . Dua usul ini di bawa oleh aktivis PMRAM yang tidak asing lagi masing-masing dari Selangor dan Timb. Presiden PMRAM



Matan usul pertama: Di bawa oleh perwakilan Selangor iaitu Us Firdaus Mazlan “Mendesak pihak berwajib meningkatkan peranan dan integriti dalam menangani isu mahasiswa dengan lebih serius dan adil”

Ramai yang bangkit membahaskan usul ini menyatakan pendirian supaya pihak berwajib JPMK atau KBMK supaya lebih telus dalam memberi perkhidmatan kepada semua anak Malaysia di Mesir tanpa memilih bulu. Usul ini dibawa kepada muktamar kali ini kerana berlaku beberapa kejadian yang menyaksikan pihak berwajib yang dimaksudkan sudah hilang integriti pada pandangan mahasiswa Mesir. Contohnya isu Kutub Sittah, penggunaan dataran Hayyu ‘Asyir, sabotaj dan sebagainya.



Umum mengetahui terdapat beberapa persatuan yang dianak emas oleh pihak berwajib tersebut seperti ISMA, JIM, ABIM, NADI UMNO dan sebagainya. Manakala sebahagian lain dianak tirikan seperti PMRAM DPM dan BKAN Kelantan terutama alasan yang tidak boleh diterima akal seperti menyebelahi pihak pembangkang (PAS). Jika betul pihak JPMK & KBMK bernuang di bawah Safarah dan jika betul Safarah itu bernaung di Yang Di Pertuan Agong maka selayaknya setiap anak Malaysia yang berada di sini berhak mendapat layanan sama rata. Kalau pihak berwajib itu dari UMNO jangan sesekali mengunakan nama Safarah dan Kedutaan Malaysia gunakan saja nama UMNO pilihlah individu-individu atau pesatuan- pesatuan mana yang hendak mereka anak emaskan.



Kesulitan berurusan dengan pihak JPMK atau KBMK terkadang PMRAM terpaksa melalui banyak protokol yang menyempit dan menghimpit kebebasan, manakala kelompok yang dianak emaskan tidak didepani dengan protokol dan prosuder yang maha ketat ini. Bagi anak-anak Kelantan yang di ketahui kuat sentimen pembangkangnya, ketika berurusan dengan pihak berwajib yang dimaksudkan di atas mereka selalu sahaja didahului dengan sindiran-sindiran atau kata-kata yang menyakitkan seakan-akan rakyat Kelantan seperti rakyat Kemboja dan bukan sebahagian daripada warganegara Malaysia.

Dalam perbahasan usul ini ada beberapa orang perwakilan siswa/wi perubatan yang bangkit menyokong usul ini untuk dilaksanakan dalam pentadbiran PMRAM. Pihak berwajib seakan-akan tidak memainkan peranan mereka yang sebenarnya terutama kepada pelajar perubatan dalam isu kenaikkan nama pelajar baru di universiti masing-masing dan sebagainya. Mereka juga berharap PMRAM dapat membantu dalam masalah ini untuk kesenangan dan keselesaan pelajar perubatan di Mesir. Mereka (pelajar perubatan) juga percaya PMRAM boleh bersama PERUBATAN dalam memacu hala tuju dakwah dan persatuan.



Matan usul kedua: Di bawa oleh Timbalan Presiden PMRAM, Us Shahrizan Hazime yang berbunyi “Menggempur gerak kerja Hisbah dalam membanteras gejala sosial dalam kalangan mahasiswa/wi di Mesir melalui tindakan berikut :- Pertama: Menggesa pihak berwajib terutamanya JPMK dan KBMK untuk bertindak dengan lebih serius. Kedua: Mewajibkan skuad penguatkuasa hisbah di setiap peringkat PMRAM pusat dan cawangan.”



Saya sangat tertarik dengan usul ini sebab HISBAH dan perlaksanaannya mengcakupi setiap badan atau pertubuhan yang dianggotai organisasinya oleh sekumpulan orang Islam. Pihak yang berwajib yang dimaksudkan dalam usul ini mana-mana pertubuhan yang berada di Mesir termasuklah ISMA, JIM, ABIM, Nadi UMNO dan yang menjadi fokus utama untuk menggempur gerak kerja HISBAH dalam membanteras gejala sosial dalam kalangan mahasiswa/wi di mesir ialah pihak JPMK dan KBMK.



Dalam mesyuarat HISBAH yang saya ikuti dan disuarakan banyak ahli ISMA, JIM, ABIM dan Nadi UMNO yang suka melanggar peraturan HISBAH. Ini hakikat yang berlaku di Mesir. Maklumat yang perolehi kebanyakan yang melanggar peraturan HISBAH terutama ETIKA KELUAR MALAM TANPA MUSYRIF (bagi siswi) yang berlaku di BKAN dan beberapa muhafazah mereka adalah dari kelompok ini (ISMA, JIM, ABIM dan Nadi UMNO). Saya pun tak faham, mungkin mereka fikir HISBAH ini ciptaan PMRAM. Kepada sahabat-sahabat di luar sana kalau hendak tahu lebih lanjut berkaitan HISBAH boleh rujuk kitab Usul Dakwah (Abdul Karim Zaidan) atau Ahkamul Sultaniyyah (imam al-mawardi)



Usul kedua ini dibincang panjang lebar dan terpaksa diberi amaran oleh pengerusi muktamar Ust Abdul Mu’izz bin Muhammad, merangkap presiden PMRAM 2009 untuk dihentikan sesi perbahasan usul ini memberi laluan kepada solat maghrib.



Kedua-dua usul ini dibahaskan panjang lebar dan mendapat sokongan 100% dari para perwakilan yang hadir guna dilaksanakan dalam pentadbiran tahun ini.


wallahu 'alam

Tawaran Buat Saudaraku Dalam ISMA


Pada 7 April lalu, saya mengikuti Program Anjuran isma-Mesir yang bertajuk Survival Umat Islam Di Malaysia. Ceramah disampaikan oleh pimpinan ISMA-Malaysia. Ketika ruang soal jawab dibuka, saya telah melontarkan soalan berkenaan pandangan atau pendirian ISMA-Malaysia tentang APCO yang sedang hangat di pasaran mengalahkan pisang goreng.

Tetapi, saya agak keliru, isu APCO ini tidak diketahui oleh pimpinan ISMA tersebut. Dia tertanya-tanya tentang APCO ini, sedangkan ia berkaitan dengan nyawa umat Islam di Malaysia. Isu ini agak besar! Hubungan dengan Israel telah didedahkan. Tetapi kenapa ia tidak diketahui oleh pimpinan isma sendiri. Saya memohon maaf sekiranya ayat ini kurang sedap didengari.

Saya tidak nafikan, bukan semua manusia tahu semua benda. Ya, saya pun bukannya tahu semua isu di Malaysia.. Ya, masing-masing ada kekurangan.

Cuma, saya harapkan, tolonglah.. Ini isu besar. Saya mengajak pembaca mengalih pandangan ke isu Muktamar Sanawi PMRAM. Pilihanraya dibuat. Tetapi saya tidak nampak kelibat seorang pun ahli isma. WaLlahua'lam, mungkin kerana saya yang tidak tahu.

Berapa ramai ahli isma yang berdaftar sebagai ahli PMRAM? Kalau tak daftar, tak boleh mengundi. Isu yang sama apabila dibandingkan dengan Malaysia. Saya berharap agar ISMA di Malaysia turun sama mengundi. Ini tanggungjawab anda untuk memilih pimpinan. Takpa, saya kena husnuzzon. Mungkin mereka ada tanggungjawab lain.

Isu kutub sittah PMRAM, kenapa tidak bersama PMRAM menuntut hak mahasiswa? Saya kena husnuzzon lagi? Mungkin mereka ada kewajipan lain. Isu gejala maksiat di bumi Mesir, di manakah suara ISMA?

Pimpinan isma Malaysia menyebut bahawa pendirian isma ialah bersama dalam perkara usul, dan berlapang dada dalam perkara furu'. Alhamdulillah. Tetapi saya tidak lihat ia dipraktikkan oleh isma Mesir. Tolonglah dengar teguran ini. Kalau anda anggap sebagai tohmahan, sila nyatakan yang mana satu saya tohmah.

Di dalam isu hak mahasiswa dan HISBAH, saya tidak lihat kebersamaan ISMA dalam PMRAM. Kenapa kami dibiarkan dengan suara-suara kami memperjuangkan hak mahasiswa dan HISBAH?

Alhamdulillah, ketika kematian Allahyarham Mohamad Hafizul Husna, saya lihat beberapa orang isma turut sama. Sedikit kelegaan di hati ini. Baru-baru ini, program Rabi' Camp anjuran KPIPM, ahli-ahli isma antara yang paling awal tiba. Tahniah. Terubat lagi hati ini.

Satu lagi persoalan yang agak terkilan saya mendengarnya. Tentang isu boikot jemaah. PMRAM boikot isma? Betul ka? Hari ini ia dimainkan, seolah-olah PMRAM itu memang tak faham konsep berjemaah. Ya ke?

Selama ini, apabila saya bertanya kepada Presiden PMRAM dalam beberapa sesi kebelakangan ini, tiada sorang isma pun yang bertanya kepada mereka tentang isu boikot jemaah ini.

Perkara ini telah dijelaskan tiap-tiap tahun. PMRAM hanya memboikot mana-mana unsur perpecahan.. Saya ulangi .. PMRAM HANYA MEMBOIKOT MANA-MANA UNSUR PERPECAHAN. Ayat yang cukup jelas. Salahkah memboikot unsur-unsur perpecahan? Dalam al Quran, Surah al Maidah sudah menyebut tentang perkara ini.

Tiba-tiba sahaja ada suara mengatakan bahawa PMRAM memboikot ISMA.. Isy.. tolong laah.. tak best langsung. Sehingga hari ini, slogan ini dijaja di merata tempat. Apabila saya menyiarkan artikel tentang isma, mula mengatakan saya memfitnah, tetapi dalam isu boikot jemaah ini kalian tidak mengatakannya sebagai fitnah. Apabila kita ketengahkan isu perpecahan, isma mula terasa. Kenapa?

Akhir sekali, saya mengajak kepada isma mesir untuk bersama dengan PMRAM dalam memperjuangkan isu hak mahasiswa dan benteras maksiat. Inilah tawaranku buat ISMA.

Adakah kalian sanggup biarkan PMRAM yang memperjuangkan Islam ini dipijak-pijak oleh pihak yang tak sepatutnya? Dalam masa yang sama, kalian berada di zon yang selesa mengadakan program yang pelbagai. Di manakah bentuk bantuan kalian terhadap PMRAM?

Sejak kebelakangan ini, beberapa pimpinan ISMA menghubungi saya untuk berjumpa, ziarah dan sebagainya. Minta maaf, sejak kebelakangan ini agak sibuk dengan macam-macam tanggungjawab. Pergilah ke Pejabat PMRAM, ziarahilah mereka. Walaupun mereka sibuk, dan lebih sibuk daripada saya, tetapi mereka akan cuba untuk tidak menolak pelawaan daripada kalian.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

Apco: PAS gesa Majlis Raja-Raja campurtangan

PAS hari ini menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-Raja supaya campurtangan untuk membatalkan kontrak antara kerajaan Malaysia dan firma perunding Apco Worldwide.

Timbalan presidennya, Nasharuddin Mat Isa menyerahkan memorandum tersebut yang ditandatangani oleh presiden dan kesemua ahli parlimen PAS di pejabat penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di ibunegara hari ini.

“Patik ahli-ahli parlimen PAS sangat berharap agar ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku membatalkan kontrak perundingan Apco dengan kerajaan Malaysia bagi menjamin keselamatan negara dan rakyat; serta menghindarkan persepsi buruk terhadap Malaysia oleh masyarakat dunia, terutamanya oleh negara-negara umat Islam,” memorandum lima halaman itu dipetik.

Turut dilampirkan salinan dokumen perjanjian kerajaan dan Apco serta teks ucapan penuh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen yang mengaitkan frma perunding itu dengan Israel pada 30 Mac.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Nasharuddin berkata, tindakan kerajaan mengadakan kontrak dengan Apco "seolah-olah menjemput penceroboh untuk menjejaskan kedaulatan negara''.

"Setelah kita membawa perkara ini ke dalam parlimen dan selepas pendebatan dilakukan, kita bawa kepada perhatian Majlis Raja-Raja untuk tindakan lanjut," katanya.

Nasharuddin juga menyifatkan tiada penjelasan konkrit daripada kerajaan berhubung perkara yang ditimbulkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nasharuddin yang juga ahli parlimen Bachok menegaskan sekali lagi bahawa ia adalah isu keselamatan dan kedaulatan negara.

Perjanjian dengan 'tangan yang berlumuran darah'

Kira-kira 10 ahli parlimen PAS hadiri mengiringi Nasharuddin termasuk dua naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Antara yang turut hadir ahli-ahli parlimen PAS, Khalid Samad (Shah Alam), Dr Lo' Lo' Ghazali (Titiwangsa) dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).

Sementara itu, Mahfuz (dua dari kiri) pula berkata, terdapat penglibatan tokoh-tokoh yang rapat dengan kerajaan Israel - yang menceroboh tanah air rakyat Palestin - dengan Apco.

“Bagaimana kita boleh mengadakan perjanjian dengan pihak yang tangannya berlumuran darah rakyat Palestin (yang berperang dengan Israel)?

"Perkara ini tidak dapat diterima rakyat Malaysia” katanya lagi.

Memorandum tersebut mendakwa terdapat penglibatan tokoh-tokoh penting Yahudi seperti bekas duta besarnya di Jerman dan Amerika Syarikat sebagai penasihat kanan syarikat perunding antarabangsa itu.

Sementara Salahuddin pula berkata, PAS mengadu perkara tersebut kepada Majlis Raja-raja kerana badan tersebut merupakan “tempat terakhir” untuk dituju dalam ruang lingkup demokrasi di negara ini.

“Kita lihat dulu apa (terjadi) selepas ini,” katanya ketika ditanya tindakan lanjut parti Islam itu.

Memorandum tersebut diterima oleh penolong setiausaha majlis Raja-raja Datuk Muhammad Sabtu Awam bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah.


Sumber: Harakahdaily.net

APCO: Negara dalam bahaya


(Ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat mengenai APCO pada 30 Mac 2010)


MUKADIMAH

 Terima kasih kepada Tan Sri Speaker kerana memberi ruang kepada saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ianya bukan sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang agen Yahudi. Namun demikian, isu-isu terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan skandal dahsyat yang bakal didedahkan hari ini; yang tidak bersangkutan dengan kedudukan mahupun reputasi saya atau pun reputasi rakan-rakan saya.

Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agensi perisikan asing dan tercalarnya maruah umat.

 Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik atau tuduhan tidak berasas, Insya Allah, setiap kenyataan saya hari ini akan disokong dengan dokumen, rencana malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit.

 Sehingga kini Perdana Menteri belumpun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

 Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

 Ini berdasarkan kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri yang menyatakan:

“Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh…APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara ”

 Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan mereka seperti berikut:

“APCO's work has included communication support for a broad range of reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening delivery of services to the people.”

 Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekung serta memunculkan lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang sekadar menulis ucapan mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak melonjakkan imej Perdana Menteri walau itupun amat dikesalkan kerana ianya dilakukan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan belanja sekitar RM 20 juta. Secara sedar atau tidak kenyataan APCO mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh, bermakna firma tersebut terlibat secara langsung memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan. Ini bermakna, APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mesej yang disampaikan kepada rakyat dan saya akan terangkan dengan mendalam kenapa perkara ini sangat membahayakan kepada rakyat dan negara.

 Pada 18hb Mac 2010, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan gagasan 1Malaysia, kononnya konsep itu wujud sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding.

 Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak, atau Dato’ Sri Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya.

 Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009 setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib.

 Antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat Perdana Menteri yang juga teman lama YB Rembau dan rakan kongsi dalam firma perunding Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO sebelum pun APCO dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan.

 Walaupun yang diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa 1Malaysia dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri peranan Ethos Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan dari kita tidak menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.

 Sebab itu kita tidak hairan, sebaik sahaja Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO menjadi perunding komunikasi kerajaan.

 Malah, laporan berita tersebut dengan jelas menyatakan bahawa seorang penasihat dari APCO telah pun ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak dari awal Perdana Menteri mengambil alih.

 APCO juga dilaporkan terlibat secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbirannya, termasuklah mesej dan dasar utama seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain.

 Berdasarkan laporan tersebut juga pegawai-pegawai kanan kerajaan dikatakan tidak selesa apabila Perdana Menteri ingin menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerja-kerja rundingan kepada kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan antara bulan Julai dan September 2009; iaitu selepas penglibatan individu dari APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.

 Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta – semuanya telah pun dilaporkan sejak tahun lalu dan ianya belum pun dinafikan pihak yang dikatakan terlibat.

 Sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga menyebabkan kerugian berbillion ringgit; atau diaibkan di peringkat antarabangsa; saya melihat episod perlantikan APCO ini sebagai satu lagi kelalaian yang boleh merugikan dan membahayakan negara.

 Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian lepas apabila terlalu percayakan penasihat asing sehingga kita tidak memeriksa dengan tepat reputasi mereka serta penglibatan mereka sebelum ini. Apatah lagi perlantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa penelitian.

 Dulu, mantan Perdana Menteri mengizinkan kerajaan melantik David Zaidner dari firma Marc Rich untuk menasihati agensi kerajaan dan Bank Bumiputra cuba memanipulasi pasaran timah sedunia sehingga kita kerugian besar. Tidak sewajarnya kita lupa skandal Maminco itu. Mantan Perdana Menteri ketika itu seolah-olah tidak meneliti dahulu rekod David Zaidner, yang diketahui umum tidak suka mengikut peraturan dan undang-undang di dalam amalannya.

 Kemudian, episod yang membabitkan Jack Abramoff hanya untuk mendapatkan satu temujanji dengan Presiden Bush dalam tahun 2002 dengan membayar USD$1.2 juta tanpa memeriksa dahulu latar belakang Jack Abramoff. Dalam tahun 2006, kerajaan Malaysia dimalukan apabila Jack Abramoff didapati bersalah menipu dalam satu transaksi kewangan sehingga dipenjarakan dan pada masa itulah semua penglibatan kerajaan Malaysia didedahkan. Abramoff juga merupakan seorang pelobi yang terlibat dalam penipuan tanah kaum peribumi Amerika Syarikat(Red Indian) untuk tujuan pembinaan kasino. Perlantikan Abramoff juga dibuat dengan penuh kerahsiaan dan pasti tidak diketahui umum sekiranya Abramoff tidak diheret ke muka pengadilan di Amerika Syarikat.

 Walaubagaimanapun, mantan Perdana Menteri tersebut hanya memberikan tugasan yang spesifik kepada firma Marc Rich dan Jack Abramoff dan tidak melibatkan perjalanan jentera kerajaan yang menyeluruh.

 Dalam konteks inilah, kita melahirkan kebimbangan kerana kenyataan keraajaan sendiri menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat. Kenyataan APCO menyatakan:

“will work to assist in strengthening the government’s online and other strategic communication capabilities to speed the delivery of accurate information to the media and public.”

 Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO.


APCO DAN MODUS OPERANDI

 Tetapi sebelum kita meneliti dengan lebih dalam kenapa penglibatan APCO secara rapat dengan kerajaan merupakan satu risiko yang wajar kita elakkan, kita perlu meneliti dahulu modus operandi firma-firma seperti APCO.

 Hanya dengan memahami modus operandi yang digunakan oleh APCO, baru kita boleh memahami kenapa penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia diselubungi misteri dan rahsia.

 APCO memanglah sebuah firma hubungan awam bertaraf antarabangsa. Reputasinya digilap kerana penglibatan tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan pentadbiran Amerika Syarikat atau pun ahli-ahli politik di Capitol Hill.

 Pada masa yang sama, APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel.

 Oleh itu, adalah penting untuk Dewan dan rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi. Apa fungsi firma pelobi di Washington?

 Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

 Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini; yang secara tidak langsung kini Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah mendapat penghormatan kerana tergolong dengan pemimpin-pemimpin sebegini.

 Untuk menjalankan tugas ini, mereka juga perlu menjaga nama dan reputasi mereka sebagai firma perhubungan awam. Sebab itu ada beberapa perkara penting di dalam modus operandi mereka yang perlu kita fahami.

 Pertama – mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama di dalam perjanjian ini adalah mengenai perkara-perkara rahsia; dengan izin “Confidentiality” atau “non-disclosure”.

 Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

 Sebab itu, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan.

 Mereka faham bahawa adalah menjadi sebahagian dari tugas APCO, seperti yang termaktub di dalam perjanjian lantikan bersabit perkara-perkara sulit dan rahsia; untuk melindungi klien mereka dan secara langsung menafikan penglibatan.

 Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO. Satu yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh 4hb Ogos 2009 yang secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk membaikpulih imej kerajaan Malaysia. Ini mempunyai tandatangan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri, iaitu Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad yang menunjukkan betapa dekatnya APCO dengan Perdana Menteri – sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja.

 Satu lagi contoh adalah perjanjian lantikan oleh Kerajaan Israel yang melantik APCO untuk menjalankan tugasan yang sama, bertarikh 9hb Januari 1992 . Pada jangka waktu yang sama, Ehud Barak masih berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Negara Israel.

 Kedua-dua perjanjian ini dengan jelas menghuraikan peranan APCO sebagai pelobi; yang antara lain perlu menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang diberikan kepada APCO dalam menjalankan tugasan. APCO juga tidak boleh mendedahkan maklumat kecuali diberi keizinan oleh kerajaan Malaysia. APCO malahan terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai komunikasi strategik yang menyeluruh.

 Kita berhak menuntut kerajaan dan Perdana Menteri datang ke Dewan Rakyat dan berterus terang mengenai perjanjian yang telah ditandatangani dengan APCO – terutamanya semua soalan-soalan yang telah saya timbulkan minggu lalu mengenai tugasan, bayaran, penasihat-penasihat yang terbabit dan pengaruh mereka setakat ini.

 Berbalik kepada modus operandi yang kita tekankan tadi. APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin “associates”) di seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies.

 Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO.

 Jadi kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

 Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International. Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

 Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan penafian oleh APCO bahawa ianya tidak terlibat. APCO sebagai sebuah firma mungkin tidak terlibat dengan idea gagasan 1Malaysia – Apa mungkin Perdana Menteri hadir ke Dewan Rakyat dan menyatakan secara tegas bahawa tidak ada mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO atau firma bersekutu dengan APCO atau penasihatnya yang terlibat dengan gagasan 1Malaysia? Kita pertikai gagasan penting bagi pentadbiran sekarang tidak tergolong dengan apa yang dikira sebahagian dari komunikasi yang menyeluruh.

 Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO? Perdana Menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur. Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel.

 Perdana Menteri juga perlu menerangkan kepada Dewan; kenapa Omar Mustapha penasihat yang dipercayai Perdana Menteri dilaporkan membawa APCO untuk menasihati kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya 1Malaysia? Tidakkah ini menimbulkan persoalan mengenai perkaitan di antara Ethos, APCO dan 1Malaysia? Manakala itu Perdana Menteri beria-ia menonjolkan Omar Musthapa sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Petronas walaupun ditolak pada mulanya oleh Lembaga Pengarah atas alasan gagal membayar biasiswanya.

 Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri, kerana kita tahu modus operandi APCO yang diselubungi degan rahsia dan melibatkan banyak individu yang bernaung dengannya tetapi menggunakan firma-firma yang berlainan.


REKOD APCO


 Kebimbangan kita mengenai penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia banyak bersabit dengan rekod APCO dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

 Ada dua aspek yang membimbangkan kita – pertama; APCO banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing. Sehinggakan akhbar The Times of India menulis bagaimana APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya . Rencana tersebut menyenaraikan antaranya:

“Adolf Hitler was a brilliant propagandist. Narendra Modi too believes in the power of image.

Which is probably why the chief minister hired a US lobbying firm which has serviced clients like former Nigerian dictator Sani Abacha and President-for-life of Kazakhstan Nursultan Abishuly Nazarbayev.

This Washington-based firm, Apco Worldwide, was hired by Modi sometime in August this year, in the run-up to an important Assembly election, to improve his image before the world community. Among its recent clients are Mikhail Khodorkovsky, a former Communist youth leader-turned-Russian billionaire with mafia links.”

 Keduanya; mereka yang terlibat dengan APCO mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Israel serta ahli politik Amerika Syarikat yang mempunyai pandangan yang serong terhadap umat Islam.

 Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

 Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?

 Saya ingin kupas kedua-dua aspek dan memberikan bukti bahawa berdasarkan rekod APCO selama ini, sewajarnya kerajaan tidak melantik mereka kecualilah kepakaran yang diperlukan kerajaan adalah kepakaran menggunakan wang untuk membeli pengaruh di Washington.

 Dalam tahun 2007, seorang wartawan penyiasat yang terkenal di Amerika Syarikat bernama Ken Silverstein telah menyamar untuk melantik APCO mewakili kerajaan Turkmenistan. Beliau telah melaporkan hasil siasatannya mengenai peranan dan pendekatan APCO membantu membersihkan imej diktator-diktator dunia di dalam sebuah rencana yang disiarkan di dalam Majalah Harper’s. Berikut antara pendedahan majalah tersebut:

Apco was the first firm i contacted, because it was a natural candidate to represent Turkmenistan: it has experience working not just on behalf of authoritharian regimes in general-the dictatorship of General Sani Abacha in Nigeria, for example, which employed the firm in 1995, the same year it hanged 9 democracy activists.”

 Pendedahan Ken Silverstein itu jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh APCO dalam membantu pemimpin-pemimpin yang begitu buruk rekodnya. Nama-nama yang disebut di dalam pendedahan tersebut termasuklah Barry Schumacher yang juga pernah terlibat di dalam tugasan lantikan kerajaan Israel pada tahun 1992 dan Jennifer Millerwise Dyck, bekas jurucakap CIA dan jurucakap Naib Presiden Dick Cheney; yang rekodnya di dalam perang di Afghanistan dan Iraq kita semua sedia maklum.

 Sekiranya YB meneliti laporan tersebut, lebih membimbangkan adalah pendekatan yang diambil oleh APCO dalam menjalankan assignment itu.

 Kepada kerajaan yang melantiknya, mereka dijanjikan pertemuan-pertemuan dengan pemimpin Kongres, dialog atau seminar dengan pelbagai institusi untuk memberi imej yang amat berlainan dengan apa yang berlaku.

 Kepada pemimpin Kongres dan kerajaan Amerika Syarikat, mereka akan menjaja pertemuan-pertemuan ini sebagai peluang untuk mempengaruhi kepimpinan kerajaan yang melantik mereka sebagai perunding. Tidakkan ini satu amalan yang kurang beretika kerana ia seolah-olah mengambil untung di kedua-dua belah pihak? Bukankah ini satu isu yang besar apabila ada risiko campur tangan semata-mata untuk mendapatkan pertemuan-pertemuan di Washington?

 Sebab itu saya akan terangkan selepas ini risiko-risiko yang telah ditanggung oleh negara apabila Perdana Menteri dicucuk hidung oleh Omar Mustapha dan juak-juak dari Ethos untuk melantik APCO.

 Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaikpulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan.

 Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan No. 4 yang paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

 APCO sebagai firma perhubungan awam yang terlibat dengan komunikasi strategi mempunyai misi untuk melunakkan imej Sani Abacha yang melesapkan wang negara.

 Aspek kedua yang membimbangkan kita adalah kehadiran ramainya tokoh-tokoh yang berkait rapat dengan kerajaan Israel dan organisasi pertahanan negara itu termasuklah agensi perisikan sebagai perunding atau penasihat APCO.

 Tidakkah tindakan Perdana Menteri melantik APCO, yang umum diketahui rapat dengan tokoh-tokoh kanan rejim Zionis, merupakan sikap kepura-puraan? Di depan rakyat, kerajaan Barisan Nasional bercakap mengenai perjuangan Palestin, mengutuk rejim Zionist malah merotan pesalah-pesalah rakyat marhaen yang lemah untuk membuktikan ia sebuah kerajaan yang menegakkan Islam – adil atau tidak itu belakang kira.

 Tetapi secara senyap di belakang, tanpa pengetahuan rakyat; Perdana Menteri dinasihati secara terus dan dekat oleh sebuah firma yang ditunjangi oleh tokoh-tokoh kanan rejim Zionis? Regim yang memenjarakan Gaza dan menindas baik umat Islam dan mereka yang beragama Kristian di Palestin.

 Secara khususnya, saya ingin membawa perhatian Dewan kepada tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein . Ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

 Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel. Apa itu Agensi Keselamatan Israel?( Israel Security Agency)

 ISA adalah nama rasmi kepada satu organisasi yang cukup busuk namanya di kalangan umat Islam; iaitu Shin Bet. Apa ini Shin Bet? Shin Bet adalah adik kembar kepada Mossad; iaitu agensi perisikan Israel. Bezanya – Shin Bet adalah agensi perisikan dalam negara dan Mossad adalah agensi perisikan luar negara.

 Siapa lagi tokoh-tokoh kanan rejim Zionis di dalam APCO? Antaranya Itamar Rabinovich; Duta Israel ke Amerika Syarikat, salah satu jawatan terpenting dalam rejim Zionis. Ini adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan ini. Begitu juga dengan Shimon Stein iaitu mantan duta Israel ke Jerman. Kedua-dua ini merupakan jawatan diplomatik kanan buat Negara Israel. Kedudukan mereka yang kanan dalam lingkaran diplomatik memperlihatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi serta melobi bagi pihak APCO sekarang.


RISIKO KEPADA NEGARA



 Sebab itu kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara serta maruah umat.

 Kita jelas mengapa kita bangkitkan isu ini. Ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Dato’ Sri Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil sebuah firma yang tercemar dengan rekod berkhidmat untuk para diktator dan petindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan.

 Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh, pastinya ia berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses/terdedah kepada jaringan strategik serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO, lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikan rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini.

RUJUKAN

1Jawapan YB Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz kepada YB Tanah Merah, Tuan Amran bin AB Ghani, bertarikh 16 November 2009.
2 Respon APCO bertarikh 18hb Mac 2010.
3“Money Being Splurged To Boost Image of Najib Administration” ditulis oleh Kumpulan Editor The Malaysian Insider dan disiarkan pada 28 Julai 2009.
4Mukasurat 150: “Malaysian Maverick” oleh Barry Wain mengenai skandal kerugian kerajaan Malaysia yang cuba memanipulasi pasaran timah sedunia setelah mendengar nasihat pedagang timah bernama David Zaidner yang sebelum itu ditolak oleh negara-negara lain. Kerajaan dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM661 juta.
5Laporan Associated Press bertarikh 21 Februari 2006 bertajuk “Malaysia Ex-PM: Abramoff Was Paid $1.2 M” dan laporan Los Angeles Times bertarikh 15 Februari 2006 bertajuk “Abramoff Bragged Off Ties With Rove: The disgraced lobbyist helped get Bush to meet the leader of Malaysia”
6Kenyataan APCO bertarikh 10hb Ogos 2009, http://www.apcoworldwide.com/content/news/press_releases2009/malaysia0809.aspx
7“Agreement between APCO and Malaysian Government” ditandatangani pada 4hb Ogos 2009 bagi tugasan melobi Washington untuk membaikpulih imej kerajaan
8“Agreement between APCO and Israeli Government” ditandatangani pada 9hb Januari 1992 bagi tugasan melobi Washington untuk merapatkan hubungan diplomatik dan dagangan di antara Israel dan Amerika Syarikat
9Tempoh berkhidmat dari 1hb April 1991-1hb Januari 1995
10Sila rujuk laman rasmi Asero Worldwide di www.asero.com
11Times of India, 18 November 2007 dalam berita bertajuk “Modi’s Image Builders Have Dictators On Client List”
12 Harper’s Magazine, July 2007 dalam rencana bertajuk “Their Men in Washington: Under-cover with DC’s Lobbyists for Hire”
13Laporan BBC “Abacha Advisor In Corruption Probe) bertarikh 2 Disember 1998 dan “Africa Looted for $140 Billion, Leader Says” bertarikh 13 Jun 2002
14Laman web APCO di www.apcoworldwide.com. Ittamar Rabinovich juga disebut dalam tulisan John J. Mearsheimer dan Stephen M. Walt; The Israel Lobby And US Foreign Policy, m/s 46, London, Penguin Books.


sumber: harakahdaily.net

Berita terbalik tapi terburuk

1. Malaysia memang mempunyai penduduk 26 juta tetapi separuh daripadanya adalah Muslim. Maknanya lebih kurang 13 juta rakyat Malaysia adalah Muslim. Pelik juga bila rakyat yang bukan Islamnya hanya sekitar 13 juta orang tapi Malaysia pula menjadi antara 10 negara yang tertinggi mengambil arak. Sedangkan banyak lagi negara lain yang terdiri dari orang bukan Islam dengan jumlahnya yang ramai. Kalau semua rakyat Malaysia yang seramai 26 juta orang itu terdiri dari orang bukan Islam dan Malaysia pula berada antara 10 negara yang tertinggi ambil arak maka itu bukanlah suatu berita yang terbalik. Baca di sini.



2. Bangunan yang baru dibina dah runtuh. Universiti pulak tu... Di Terengganu lagi...!!! Ini satu berita terbalik. Sepatutnya kalau nak runtuh pun, tunggulah siap dibina dulu dan digunakan bertahun-tahun. Tapi Kerajaan UMNO berjaya mencipta banyak berita terbalik tapi semuanya buruk belaka.



Banyak lagi berita terbalik tapi terburuk yang berlaku di Malaysia seperti stadium runtuh sedangkan baru digunakan, injin kapalterbang tiada, kapal selam tak boleh menyelam, orang yang buat lapuran polis mengenai salah laku dan penyelewengan pemimpin UMNO akan disiasat dan ditangkap sedangkan orang sepatutnya disiasat dibiarkan.



Hanya satu cara untuk menamatkan berita terbalik tetapi terburuk ini iaitulah kita semua mesti bertekad menumpaskan Kerajaan BN. Untuk menumpaskannya kita mesti bersatu atas nama Pakatan Rakyat dengan mengenepikan dulu perbezaan pendapat dan mengutamakan persamaan kehendak ialah UMNO/BN mesti ditewaskan dalam PRU 13 nanti.



Jangan ada yang merasa kasih atau was-was dengan hasrat yang mulia ini. Sekiranya UMNO dapat ditumpaskan, Insya Allah kita akan dapat mencipta banyak berita terbalik tapi terbaik. Contohnya bekas MB Perak DS Nizar beri lot tanah kepada orang Cina. Kenapa? Sebabnya Islam suruh beri atas nama manusia dan mereka berhak untuk mendapatkannya. TGHH semasa menjadi MB Terengganu telah beri geran tanah kepada orang yang telah menduduki tanah tersebut sejak lebih 40 tahun. Betapa terbaliknya berita itu sehingga penerima geran tak percaya dan ada yang menangis gembira kerana sejak sekian lama mereka mengharapkan Kejaan UMNO/BN bagi geran tiba-tiba MB Kerajaan PAS yang beri. Mana tau Kerajaan Negeri Pimpinan DAP akan lebih mesra Melayu dan Islam lebih dari UMNO!!??. Dan banyak lagi ..



Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang,


Dr Hamzah Jaafar.

Selamatkan rakyat dari nafsu seorang Perdana Menteri

1. Dewan Pemuda PAS Pusat pada Julai 2009 melalui Unit Kajian dan Maklumbalas Isu Semasanya pernah mengutarakan isu penglibatan dan pengaruh sebuah Firma Konsultan Antarabangsa [APCO Worldwide] yang berpangkalan di Amerika Syarikat dalam kerajaan negara kita .



2. Selain daripada merujuk kepada pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen , Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong gesaan yang dibuat oleh Naib Presiden PAS Pusat Datuk Hj. Mahfuz Omar agar satu Suruhanjaya DiRaja segera dibentuk bagi menyiasat dakwaan ini justeru ia melibatkan soal keselamatan rakyat dan negara .



3. Kita tidak mungkin membiarkan rakyat dan negara tercinta ini begitu terdedah kepada risiko dan ancaman luar semata - mata untuk memenuhi keinginan nafsu rakus seorang Perdana Menteri . Sudahlah negara terpaksa membelanjakan wang rakyat sebanyak RM 20 juta semata - mata untuk memulihkan imej sang Perdana Menteri yang rosak dan punah teruk di mata masyarakat dan dunia , Firma Konsultan [ APCO ] yang dipilih pula adalah sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan Zionis Israel alaihi laknatullah .



4. RM 20 juta adalah satu jumlah yang sangat keterlaluan untuk digunakan hanya tujuan menggilap imej seorang pemimpin dan partinya yang sekian lama terpalit dengan pelbagai dosa dan noda . Entah dari mana wang sebanyak itu diperolehi , alangkah jika ianya disuntik ke dalam pakej rangsangan ekonomi untuk membantu dan meningkatkan taraf hidup rakyat tatkala berdepan dengan pertumbuhan ekonomi yang longlai dan lesu .



5. Penasihat Perdana Menteri Omar Mustafa Ong dilihat sangat berkuasa dalam hal ini sehingga mengatasi menteri dan pegawai kanan kerajaan . Beliau didakwa bertanggungjawab memperkenalkan APCO Worlwide kepada kerajaan Malaysia dan membawanya masuk malah sampai ke peringkat syarikat ini berjaya membuka "pejabat"nya di dalam pejabat Perda Menteri .



6. Kerajaan Malaysia kini sedang dilihat mempertaruhkan masa depan rakyat dan negara kerana mengizinkan syarikat konsultan seperti APCO ber"sarang" di dalam pentadbiran dan pemerintahan negara kita . Semua orang tahu bahawa APCO adalah sebuah syarikat pro Zionis yang sedang melebarkan pengaruh dan penguasaannya ke atas negara - negara luar Israel khasnya negara umat Islam di seluruh dunia . Negara kini seperti di dalam cengkaman Zionis Israel apabila pemimpin utamanya [ Datuk Seri Najib Abd Razak ] kini didalam pengaruh dan nasihat APCO Worlwide .



7. Tindakan Perdana Menteri turut dilihat sebagai satu penghinaan ke atas ummat Islam seluruh dunia amnya dan Palestine khasnya . Kenapa tidak , saat Zionis Israel mengganas dan menggila di Gaza Palestine , Perdana Menteri mengheret kerajaan pimpinannya untuk membuta hubungan langsung dengan syarikat pro Zionis tersebut . Lebih membimbangkan ialah maklumat strategik negara kini di "mulut" Zionis apabila APCO bebas menggilap dan menasihati perdana menteri .



8. Kenapa mahu bazirkan wang sedemikian banyak dengan mengenepikan syarikat konsultan tempatan jika Perdana Menteri benar - benar terdesak untuk memulihkan imejnya yang rosak teruk ? Apakah Perdana Menteri tidak yakin pada keupayaan syarikat konsultan tempatan ? sehingga tidak segan mengundang APCO yang pernah menasihati Ehud Barak agar melancarkan " One Israel " untuk memulih imej perdana menteri Israel tersebut . Apakah One Malaysia [ Satu Malaysia ] merupakan strategi serupa ? Awas negara kini dalam bahaya dengan agenda One Malaysia tajaan zionis ini .



9. Jika imej menjadi persoalan yang menghantui dan menghambat YAB Perdana Menteri , kenapa tidak beliau bina imej berasaskan akhlak Islami yang telah diwariskan oleh Nabi saw sebagai Rasul yang diutus oleh Allah swt untuk menyempurnakan keindahan akhlak dan syakhsiyah . Bahkan Islam sememangnya mempunyai skill dan skima tersendiri dalam membentuk karektor seorang pemimpin yang baik dan hebat .



10. YAB Perdana Menteri sewajarnya menghayati nilai akhlak Islami yang berasaskan iman dan taqwa . kelak ia akan meluhurkan peribadi sehingga lahir susuk seorang pemimpin yang beriman , bertaqwa , menjauhi rasuah , arak , zina , judi bahkan menjadi insan yang taat kepada Allah swt serta melaksanakan syariat dan syiar agama Allah swt . Kenapa tidak lihat kepada hebatnya karisma dan jati diri yang dibina oleh pemimpin yang beriman , berilmu dan bertaqwa seperti Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang ? Mereka tidak pernah terlibat dengan korupsi , arak , judi dan sebagainya .



Nasrudin Hassan at Tantawi,


Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.