Ibtila' di Jalan Dakwah

1. Perjuangan Islam ini sememangnya telah dijanjikan ibtila' [ ujian\onak duri ] yang bakal merintang disepanjang jalannya. Perit , jerit dan penat lelah dalam menggalas beban amanah perjuangan menjadi sunnah.

2. Cumanya , sebagai insan yang serba dhaif ini terkadang seperti mahu mengaku kalah . Hanya aqidah perjuangan yang dibina sekian lama masih teguh membentengi diri .

3. Lebih menarik , tekanan dan halangan luaran tidaklah menjadikan diri kita lemah , tetapi apabila berdepan dengan ujian dalaman terutama atas apa yang berlaku pada diri kita sendiri sementara orang lain pastinya tidak mengetahui penderitaan yang sedang kita alami .

4. Terkadang hati pejuang ini akan menangis sendirian melepaskan berat beban yang menindih guna mencari nafas baru dan saki baki kekuatan diri . Mungkin cara ini berkesan untuk meringankan beban perasaan bila berdepan dengan susah sukar perjuangan . Saya masih ingat bagaimana bicara Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz seketika dulu semasa saya mengunjungi beliau dirumahnya .

5. Tuan Guru menceritakan pengalaman sewaktu beliau seorang diri menjadi wakil rakyat di Parlimen mewakili PAS . " Terkadang memandu seorang diri ke Kuala Lumpur untuk menghadhiri sidang parlimen dengan keadaan permukaan jalan tidaklah sebaik apa yang kita nikmati hari ini . Demikian juga ke hulu dan ke hilir memenuhi undangan ceramah seorang diri memandu kereta , balik jauh jauh malam . Menangis saya sambil memandu seorang diri , peritnya nak bawa Islam pada masyarakat melayu ketika itu . Sampai di rumah pula , buka saji , makanan tak ada dan isteri sudah nyenyak tidur .."

6. Kala terasa penat seharian dilapangan , saya segera mengingati cerita Tok Guru , terasa nyaman jiwa dan kembali segar seperti kembali dari satu sessi motivasi . Inilah juga yang diajar oleh Nabi saw : [ dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh As Samarqandi dalam musnadnya dari Ato' bin Abi Ribah ]

إذا أصاب أحدكم مصيبة فليذكر مصابه بي فإنها من أعظم المصائب

Apabila seseorang kamu ditimpa musibah maka ingatlah musibah yang turut menimpaku kerana sesungguhnya ia adalah sebesar - besar musibah .

7. Pastinya jauh langit dan bumi jika dibanding tahap tekanan dan bebanan yang kita hadapi pada hari ini dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah saw sebagai Rasul ulul A'zmi . Namun jelas , tatkala membaca sirah Rasulullah saw , bagai satu tamparan terhadap diri sendiri betapa tidak layak pun kita nak mengeluh dengan sedikit ujian yang kita hadapi .

8. Jamaludin Al Afghani pernah menganggap ujian seperti buang daerah laksana melancung , penjara seperti istirehat dan dibunuh pula merupakan jalan pintas untuk menemui Allah swt sebagai kekasih yang dirindui . Sungguh dahsyat ibarat ini . Siapakah gerangannya yang mampu menganggap penjara sebagai tempat istirehat dan buang daerah sebagai pakej pelancungan jika ia bukan terdiri dari pejuang - pejuang Islam yang tinggi pergantungannya kepada Allah swt .

9. Manisnya berjuang apabila kita merasai keperitannya . Seperti lazatnya orang berpuasa setelah ia melalui detik lapar dan dahaga kemudian ia berbuka dihujung hari . Indahnya hidup orang yang mendapat sijil pengajian setelah berpenat lelah saban tahun mencari ilmu . Begitulah manisnya berjuang biar difitnah dan ditohmah . Biar penat dan lelah segala anggota namun dikala ada kesempatan bertelingkuh bermunajat ke hadhrat Ilahi , terasa diri cukup bertuah .

10. Selamat berjuang buat semua biarpun payah .


Sumber: http://episodeperjuangan.blogspot.com

Ustaz Ibrahim ditahan di KLIA

Pada posting 15 jun yang lepas menceritakan tentang penangkapan Al Fadhil Ust Ibrahim Zakaria atau nama sebenar Muhammad Zulkifli Muhammad Zakaria oleh pihak keselamatan Mesir di Lapangan Terbang Cairo selepas mendaftar masuk untuk pulang ke Kuala Lumpur.



Hari ini dikhabarkan Ust Ibrahim Zakaria dibebaskan, bermakna hampir sebulan beliau ditahan dan berhadapan dengan balaci kuasa besar dunia hari ini. Disangka panas hingga ke petang tapi hujan di tengah hari. Tidak cukup dengan penahanan dan soal siasat pihak keselamatan Mesir, sekali lagi beliau ditahan apabila tiba di Lapangan Terbang KLIA. Inilah ibtila'dalam perjuangan, setiap pergerakkan kita sentiasa dihidu pihak musuh.



Di bawah ini dikisahkan penangkapan Ust Ibrahim Zakaria di KLIA laporan dari blog http://idhamlim.blogspot.com




Saya baru menerima sms dari YDP Lenggong yang memaklumkan Ust. Ibrahim atau nama asalnya Muhammad Zulkifli bin Zakaria telah sampai di KLIA dan dia masih ditahan disana.

Sehingga ini saya masih tidak dapat mengesahkan siap[akah yang menahan dan status tahanan yang dimaksudkan dalam SMS yang asalnya dikirim oleh Ust. Ibrahim yang memaklumkan dia sudah sampai di KLIA dan dia ditahan.

Kelamrian saya melaporkan dia telah dibebaskan di Mesir dan sempat saya menerima makluman sms bahawa kapalterbang yang dinaikinya sempat transit di Kuwait.

Marilah kita mendoakan kesejahteraan dan ketabahan kepada Ust. Ibrahim dalam menghadapi ujian getir ini.



Warna-Warna Kesukaan Rasulullah Saw

Selama ini mungkin kita hanya mengetahui bahwa Rasulullah atau Islam identik dengan warna hijau. Sebenarnya apa warna-warna kegemaran Rasulullah Muhammad saw?



Annas bin Malik mengatakan, “Warna yang paling disukai oleh Rasulullah saw adalah hijau.” Namun selain itu Rasul juga ternyata menyukai warna putih. Ada juga keterangan bahwa Nabi Muhammad saw pernah memakai pakaian berwarna hitam, merah hati, abu-abu dan warna campuran.



Imam Al-Ghazali dalam Ihya' Ulumiddin berkata : " Yang amat disukai oleh Nabi saw ialah warna putih."



Ibnu Hajjar dalam Tanbih Al Akhbar mengatakan: "Pada hari raya kami disuruh memakai pakaian berwarna hijau karena warna hijau lebih utama. Adapun warna hijau adalah afdhal daripada warna lainnya, sesudah putih."



Ibnu Ady meriwayatkan dari Jabir r.a yang berkata: "Aku pernah melihat Nabi saw memakai serban hitam yang dipakainya pada hari raya..."



Al Baihaqi meriwayatkan hadis dari Jabir r.a katanya : "Pernah Rasulullah saw berpakaian yang bercorak merah pada dua hari raya dan pada hari Jumat."



Al-Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. dia berkata : "Pernah Nabi saw keluar dengan kepala yang dibalut sehelai kain yang berwarna abu-abu."



Imam Bukhari meriwayatkan hadis dari Anas r.a, beliau pernah melihat : "Nabi saw menutup kepalanya dengan kain biasa yang bercorak-corak warnanya."



Sumber: eramuslim.com

PENJELASAN DAN KESAL ATAS BERITA BERNAMA

Sukacita saya merujuk kepada berita disiarkan Bernama Online (3 Julai, 2010) bertajuk “Nik Aziz Akui Wujud Perpecahan Parti Untuk Berebut Jawatan Pada Muktamar PAS Tahun Depan” dan awal-awal saya tegaskan tajuk dan kandungan beritanya adalah tidak benar dan di luar konteks apa yang saya maksud. Saya dapati keseluruhan laporan itu merupakan tanggapan pihak Bernama sendiri dan bukannya dari maksud sebenar kenyataan saya.

Paling malang lagi, apabila laporan agensi milik kerajaan Barisan Nasional itu telah dijadikan rujukan, malah disiarkan oleh beberapa akhbar. Antaranya akhbar online Malaysian Insider, dan akhbar cetak seperti Berita Minggu, Sinar Harian dan Sunday Star.

Namun, akhbar online Malaysiakini turut menyiar kandungan laporan Bernama, tetapi diharmonikan dengan tajuknya sendiri, iaitu “Nik Aziz cadang tiada pemilihan dalam muktamar.” Itupun masih tidak tepat, kerana pemilihan dibenarkan di dalam perlembagaan PAS. Sedangkan, pada sidang media tersebut, saya telah merujuk kepada asas perlembagaan PAS yang perlu dipatuhi demi mengelak apa-apa perbalahan, mahupun perpecahan.

Apa pun, saya mengucap terima kasih atas laporan media yang berimbang. Antaranya akhbar New Sunday Times tidak memetik laporan berita Bernama (yang tidak bersifat berita itu), sebaliknya ia telah menyiarkan berita yang ditulis wartawannya sendiri. Begitu pula, Sinar Harian didapati memetik laporan Bernama, tetapi turut menyiarkan di ruang Kelantan kenyataan yang dianggap tepat mengenai cadangan saya agar berlaku syura bagi pemilihan dalam PAS. Sementara Mingguan Malaysia tidak memetik laporan Bernama, sebaliknya menyiarkan kenyataan yang agak tepat dengan maksud sebenar saya.

Di sini diperturunkan maksud kenyataan saya ketika menjawab soalan wartawan berhubung kemungkinan berlaku pertandingan dalam pemilihan PAS tahun depan. Antaranya ialah:

“Kalau boleh tidak perlu bertanding, kerana memang tak molek bertanding, tetapi kalau mahu bertanding juga biarlah buat betul-betul, bertandinglah, jangan sampai peringkat perpecahan. Ini luahan hati orang tua, tak mahu tengok perpecahan berlaku.

“Pengalaman saya sendiri yang pernah bertanding dalam dewan ulama’ satu ketika dulu, amat tidak comel. Baik kita cari cara yang lebih comel elak daripada perpecahan.

"Moleknya, kita buat keputusan secara syura dan lantik ketua kita beramai-ramai. Ini cadangan saya. Tetapi saya tidak tahu sejauh mana syura dibenarkan oleh perlembagaan parti.

Semoga penjelasan saya ini, dapat mengelakkan salah faham semua pihak, khususnya rakan-rakan pimpinan dalam PAS. Jangan mudah terpengaruh dengan semua laporan berkenaan, terutama Bernama dan akhbar yang nampaknya ada agenda tersembunyi di sebalik apa yang mereka laporkan. Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Kepada pihak akhbar cermatlah dan jauhilah daripada memfitnah.

Sekian, wassalam.



NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Menteri Besar Kelantan.
Tarikh: 21 Rejab 1431/4 Julai 2010.