Parti Islam Se Malaysia (PAS): Memahami Konsep Al Wala'

Tidak ada satu kalimah dalam bahasa Melayu yang dapat mengungkapkan secara keseluruhan makna wala’. Secara tepatnya kalimah wala’ terangkum di dalamnya beberapa pengertian iaitu :


Memberikan kasih-sayang
Memberi ta’at-setia yang tidak berbelah-bagi
Mengangkat sebagai pemimpin
Menjadikannya sebagai teman-rapat atau sekutu
Memberi kepercayaan
Tempat mencurahkan bantuan dan pertolongan

Allah swt. berfirman :

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَ رَسُوْلُهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا الَّذِيْنَ يُقِيْمُوْنَ الصَّلاَةَ وَ يُؤْتُوْنَ الزَّكَاْةَ وَ هُمْ رَاْكِعُوْنَ وَ مَنْ يَتَوَلَّى اللهَ وَ رَسُوْلَهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا فَإِنَّ حِزْبَ اللهِ هُمُ الْغَاْلِبُوْنَ

“Sesungguhnya orang yang harus kamu berikan wala’ kamu kepada mereka hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka tunduk-patuh (kepada hukum-hakam Allah). Dan sesiapa yang memberikan wala’nya kepada Allah, Rasul dan orang-orang beriman, maka sesungguhnya golongan (yang mendokong agama) Allah itulah yang pasti menang”.

(al-Maidah: 55)

Dalam ayat di atas, Allah menegaskan bahawa wala’ dari seorang muslim hanya boleh diberikan kepada tiga golongan iaitu :

Allah
Rasulullah
Mukminin (orang-orang beriman)

Namun tidak semua orang yang mengaku beriman harus diberikan wala’ kepada mereka. Ini kerana Allah mengikatnya dengan tiga syarat iaitu :

Yang menunaikan solat
Yang mengeluarkan zakat
Yang tunduk-patuh kepada Syari’at Allah.

Dalam suasana hari ini, wala’ kepada orang-orang beriman secara umumnya merangkumi beberapa pengertian :

1. Wala’ kepada kelompok orang-orang beriman iaitu memberi kesetiaan kita kepada ummah mukminin. Contohnya; dalam pertembungan antara kuasa Islam dan kuffar hari ini, jiwa, perasaan dan hati-sanubari kita adalah bersama dengan kelompok beriman walau di mana saja mereka.

2. Wala’ kepada jama’ah atau kelompok orang beriman yang memperjuangkan Islam iaitu dengan menyertai jama’ah tersebut dan menjadi sebahagian dari anggotanya.

3. Menta’ati pemimpin Islam yang menta’ati Allah sama ada pemimpin umum sekelian kaum muslimin (iaitu Khalifah) atau pemimpin jama’ah yang menerajui gerakan Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

ثلاثة لا تسأل عنهم: رجل فارق الجماعة وعصى إمامه ومات عاصيا، وأمة أو عبد أبق من سيده فمات، وامرأة غاب عنها زوجها وقد كفاها مؤونة الدنيا تزوجت بعده، فلا تسأل عنهم

“Tiga golongan jangan engkau bertanya tentang mereka (kerana mereka termasuk dalam orang-orang yang bakal musnah) iaitu :

1. Orang yang berpisah dengan jamaah dan menderhakai imamnya ( ketuanya ) serta mati dalam maksiat,

2. Hamba perempuan atau lelaki yang lari dari tuannya lalu menemui kematian

3. Seorang perempuan yang suaminya keluar bermusafir dan telah dicukupinya biaya keduniaannya lalu ia bertabarruj sesudahnya (untuk menarik perhatian lelaki lain).

(Riwayat Imam at-Thabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Fadhalah bin ‘Abid r.a.)


Wala' dan Perbezaan Pandangan .

Islam membenarkan berlakunya perbedaan pandangan di dalam perkara yang diizinkan syara' untuk berbeza pandangan . Ringkasnya , di sana telah ijma' ulama' dalam menangani khilaf atau perbedaan pandangan ini dengan beberapa kaedah penyelesaian . Dalam perbedaan pandangan mengenai hukum feqh di sana ada kaedah rajih dan marjuh demikian juga ada kaedah pandangan jumhur dan pandangan syaz .

Kaedah itu dibuat untuk menyelesaikan masaalah ekoran wujudnya perbedaan pandangan dan tentu sahaja pandangan yang Rajih atau pandangan Jumhur lebih diguna pakai dalam menetapkan satu - satu pandangan sebelum diterima dan diamal .

Perbedaan pandangan dalam gerakan Islam yang melibatkan soal strategi dan aktiviti ( kerana soal dasar dan prinsip perjuangan tidak boleh berbeda padanya ) pula mempunyai kaedah tersendiri yang juga telah ditetapkan oleh syara' .

Kaedah yang paling jelas ialah syura . ( أمرهم شورى بينهم ) Apabila Majlis Syura telah menetapkan keputusan maka ia adalah keputusan yang mesti diterima . Demikianlah adab kita berkhilaf . Jika tidak menghormati adab ini , maka khilaf itu kelak akan berlarutan dan mengundang perpecahan yang memusnahkan .

Mungkin keputusan syura tidak menepati kehendak kita , namun kita kena bersabar untuk menerima keputusan syura .

ما ندم من استخارى و ما خاب من استشارى

“Tidak menyesal orang yang beristikharah dan tidak rugi orang yang bermesyuarat” .

Sebagai contoh yang boleh saya bawa di sini , setelah syura mengumumkan keputusan mereka dalam isu muqabalah tempohari dan dibinding pula dengan penerimaan sebulat suara sidang Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 akan usul Dewan Ulama' PAS Pusat supaya menerima keputusan syura , maka saya kira tidak wajar lagi sebarang kenyataan dan pandangan terbuka malah penuh dengan api kekhilafan antara kita .

Kalau kita sebagai anggota parti , langgar adab khilaf ini malah merempuh keputusan yang telah siap dibina oleh Majlis Syura Ulama' , bila soal ini akan selesai dan bila khilaf ini akan tamat ? Sedang kita masih banyak perkara yang perlu kita lakukan .

Tambahan pula saya lihat kenyataan Dato' Seri Presiden sebelum dan semasa muktamar baru - baru ni sangat jelas dan mudah . sekurang - kurang ada 5 point yang penting :

1. Perkukuhkan Pakatan Rakyat dan Kelab Penyokong PAS
2. PAS tidak akan masuk UMNO dan Menolak Tawaran UMNO
3. Muzakarah atau muqabalah akan diteruskan dengan sesiapa sahaja
4. Perkasakan Majlis Syura Ulama'
5. PAS untuk Semua

Sewajarnya , selesai muktamar maka selesailah isu ini. Kerana ruh muktamar atau semangat sidangnya biarpun terdahulu dengan pelbagai pandangan yang berbeza , tetapi semuanya telah bersetuju dengan 3 point di atas .

Malangnya saya lihat isu ini masih dihangat dan dipanaskan lagi dengan statement - statement terbuka dalam akhbar. Semacam menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang telah di binding oleh Muktamar baru - baru . Lebih malang , kelihatan ada elemen untuk melagakan 2 Tok Guru kita yang sangat dikasihi .

Janganlah buat begitu . Tiada untungnya kita . Marilah kita tamatkan polemik ini dengan tenang, sabar dan berlapang dada .

Sikap saya sedari awal bersama dengan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS Pusat ialah mengambil jalan tengah dan hanya berpihak kepada prinsip amal Jamaei berasaskan amal Islami .

Saya sendiri pun sering mempunyai pandangan yang berbeza dengan pihak lain dan tidak bersetuju dengan pihak lain pula , tetapi bila ada keputusan yang dikeluarkan secara rasmi oleh parti , maka kita akur dengan prinsip dengar dan taat kita kepada keputusan yang telah diambil, biarpun hati kita sukar untuk menerimanya.

Berilah peluang pimpinan kita memimpin dengan baik dan kita menjadi pengikutnya yang baik . Kecualilah arahan dan keputusan itu berbentuk maksiat , maka tiada taat kepada makhluk dalam perkara memaksiatkan Allah swt. ( لا طاعة لمخلوق في معصية خالق )

Jelasnya isu ini hanya berkait soal strategi dan masing - masing mempunyai pandangan . Kini keputusan telah ada , maka pandangan yang berbeza itu mesti diurus dengan bijak dan tenang melalui majlis mesyuarat bulanan atau pertemuan 4 mata dengan Dato' Seri Presiden sendiri . Tanganinya dengan mesra dan lapang dada .

Bukan terus menyalakan fitnah . Ingat ! Fitnah adalah suatu yang sedang tidur maka jangan gerakkan ia dari tidur kerana kelak apabila ia bangkit , kesan kemusnahannya akan dirasai oleh semua.

Menerima dan akur keputusan yang telah diputuskan oleh parti itulah wala' yang mesti diberikan . Jauh sekali menganggap pimpinan memperbodohkan ahli dengan keputusan yang telah diambil . Demikian juga mempersoalkan ketelusan pimpinan dan ahli majlis syura yang rata - ratanya terdiri daripada para ulamak yang takutkan Allah .

إنما يخشى الله من عباده العلمؤا

“Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah ialah dikalangan hambanya al Ulama' .

Surah Faatir : 28

Akhirnya seperti kata Yb. Ketua Pemuda PAS Pusat mengakhiri ucapan Penggulungannya di Muktamar Pemuda PAS Pusat baru - baru ni , ".......enough is enough...."

Tapi , kalau semua pakat dok timbulkan lagi , tak kan saya nak dok diam gitu jer .....


Sumber: http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment