Adakah di bolehkan untuk mengabungkan diantara kedua puasa tersebut?
Mengenai persoalan ini, di kalangan Ulamak berselisihan pendapat berkenaan dengan hukumnya seperti berikut :
1) Di Bolehkan Untuk Mengabungkan Keduanya Dengan Satu Niat
Dinukilkan daripada Dr `Ali Juma`Ah dalam kitab fatawa asriah, Imam Nawawi menyebut dalam kitab Al Majmuk : dibolehkan untuk menghimpunkan niat puasa qadho` Ramadhan dan niat puasa sunat Syawal disisi ulamak As-Syafi’yyah.
Di riwayatkan oleh Imam As-Syafie, beliau berkata: diharuskan seorang perempuan untuk berpuasa qadho` Ramadhan dalam bulan Syawal dengan menggunakan satu niat. Sekiranya bilangan puasa ganti Ramadhannya adalah enam hari, maka dia akan mendapat pahala puasa sunat enam Syawal. Sekiranya puasa gantinya adalah lima hari, maka hendaklah dia berpuasa selama lima hari dan menyempurnakan sehari lagi untuk mendapat fadhilat puasa enam. Wanita yang berpuasa mengikut kaedah ini iaitu menggabungkan puasa sunat syawal dan qadho` Ramadhan akan mendapat pahala berpuasa setahun seperti yang disebut oleh baginda nabi SAW.
Hal ini diqiaskan terhadap masalah seseorang yang masuk ke Masjid, maka dia terus melakukan solat dua rakaat samaada fardhu mahupun sunat ratibah sebelum duduk, maka terhasil bagi seseorang itu pahala sepertimana dia solat sunat Tahiyyatul Masjid sebanyak dua rakaat.
Hal ini dikuatkan lagi dengan pandangan yang dinukilkan daripada Imam Ar-Ramli dalam kitab beliau “Nihayatul Muhtaj ” jilid ketiga, beliau menyebut : “ barang siapa yang qadho` puasa Ramadhannya di bulan Syawal maka akan terhasil baginya pahala sunat Syawal”. Pandangan ini turut disokong oleh Imam Al Barizi, Imam Al `Asfuni, Imam An Nasyiri dan Imam `Ali Soleh Al Hadhromi. Akan tetapi, seseorang yang berpuasa seperti ini, tidak akan mendapat pahala sempurna sepertimana orang yang memisahkan puasa qadho` Ramadhan dan puasa sunat Syawal kerana tidak memenuhi maksud hadis nabi yang berbunyi :
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”
2) Tidak Membolehkan Untuk Mengabungkan Keduanya
Berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam di bulan Syawal :
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”
Daripada kefahaman hadis ini, Rasulullah s.a.w. mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal. Dan tidak menjadi kesalahan juga, bagi sesorang yang ingin mendahulukan puasa enam hari di bulan Syawal seterusnya menunaikan puasa qadha di bulan-bulan yang lain (selepas syawal) sebelum tiba Ramadhan berikutnya”.
Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika seseorang itu mampu melangsaikan puasa Qadha terlebih dahulu kemudian setelah itu ia menunaikan puasa enam, maka itu yang lebih baik daripada mengabungkannya kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;
دين الله أحق أن يُقضى
Maksudnya :“Hutang dengan Allah itu lebih utama untuk ditunaikan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.).
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang ringkas ini, Maka lebih afdhal kepada kita agar tidak mengabungkan kedua puasa tersebut dan adalah lebih baik jika didahulukan puasa yang wajib (qadha) daripada puasa yang sunat.
Manakala Pandangan yang membolehkannya adalah sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Wallahua’lam.
Sumber: Manhal PMRAM ( http://pmram-manhal.blogspot.com )
0 comments:
Post a Comment