Perbincangan Berkenaan Solat Fardhu Jumaat Terhadap Banduan Di Dalam Penjara

Terdapat dalil-dalil yang banyak di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang mewajibkan solat Jumaat dan larangan meninggalkannya seperti berikut :



1) Dalil daripada Al-Quran :



Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat Yang sebenarnya). Surah Al-Juma’ah ayat 9



2) Dalil daripada As-Sunnah :



a) Sabda Rasulallah S.A.W yang bermaksud :



من ترك الجمعة ثلاثا من غير عزر ولا علة, طبع على قلبه.



Maksudnya :


"Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup hatinya daripada menerima petunjuk" (Hadis riwayat Abu Daud)



b) Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:



"Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." (Hadis Riwayat Abu Daud & Hakim).



Oleh itu, Allah S.W.T menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Nabi Muhammad S.A.W serta memerintahkan untuk mengadakan satu sembahyang yang khas menandakan kebesaran hari Jumaat, bagi menggantikan sembahyang Zohor.



Berdasarkan dalil-dalil ini, para ulamak telah bersepakat bahawa solat Jumaat itu adalah wajib keatas setiap orang lelaki yang mukallaf dengan tanpa keuzuran, dan solat Jumaat tersebut mestilah di lakukan secara berjemaah. Daripada maksud keuzuran ini, adakah bagi seorang banduan yang dipenjarakan termasuk di dalam golongan yang diberikan kelonggaran untuk meninggalkan kefardhuan Jumaat? Ini kerana para banduan tidak mampu untuk menunaikan solat Jumaat disebabkan mereka terkurung di dalam penjara dengan kadar masa yang panjang.



Untuk menjawab persoalan ini, para Ulamak telah berselisihan pendapat terhadap seseorang banduan yang dipenjarakan seperti berikut :



Pendapat Pertama



Wajib keatas pemerintah membebaskan banduan seminggu sekali untuk menunaikan solat Jumaat di luar penjara, iaitu Masjid yang berada dikawasan yang berhampiran. Pandangan ini menurut Imam Al-Baghawi yang merupakan Ulamak dikalangan bermazhab Imam As-Syafie dan sesetengah dikalangan mazhab Hanabilah. Pandangan pertama ini menurut kisah yang berlaku terhadap seorang Ulamak yang bernama Al-Buwaithi. Beliau dipenjarakan kerana permasalahan penentuan samaada Al-Quran itu makhluk ataupun tidak yang berlaku pada zaman tersebut, dan Khalifah ketika itu membenarkan beliau untuk menunaikan solat Jumaat bersama-sama jemaah lain di luar penjara.



Jika kita melihat daripada pandangan pertama ini, banduan yang dibebaskan dan diberikan kelonggaran selama seminggu sekali itu adalah seorang Ulamak, dan kita yakin dengan seorang yang bertaraf Ulamak ini tidak mungkin akan melakukan sebarang kekacaun ketika berada di masjid atau melarikan diri dengan kelonggaran yang diberikan pada pihak pemerintah untuk beliau melakukan solat diluar penjara. Bagaimana pula jika seorang banduan itu bukan dikalangan para Ulamak? Dan mereka pula terdiri daripada kalangan penjenayah yang berbahaya seperti perogol, perompak, pembunuh dan sebagainya. Pandangan ini mungkin kurang sesuai untuk dipraktikkan dalam suasana kita di Malaysia.



Pendapat Kedua



Kebanyakan para Ulamak berpandangan tidak membenarkan langsung kepada banduan untuk keluar ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat bertujuan menjaga maslahah jika mereka diberikan kelonggaran tersebut. Pandangan ini dinaqalkan oleh Saidina A’li r.a dan di fatwakan oleh Imam Al-Ghazali. Dalam permasalahan ini, seorang banduan tidak mampu untuk menunaikan solat Jumaat di kira sebagai orang yang tidak berdosa, kerana termasuk di dalam keuzuran dan diberikan kelonggaran dari melakukan solat Jumaat berdasarkan dalil umum daripada hadis yang telah disebut sebelum ini. Tetapi jika seorang banduan itu mampu memohon untuk diberikan pelepasan kepada pihak pengawal penjara dan beliau tidak berbuat demikian, maka ia tidak termasuk dalam golongan yang mendapat pelepasan dari syarak kerana masih berpeluang untuk menunaikan solat Jumaat. Banduan tersebut dikira berdosa kerana tidak berusaha sekadar yang mampu untuk menunaikan solat Jumaat diluar penjara. Menurut pandangan mazhab Imam Malik di sunatkan juga bagi banduan supaya melewatkan sedikit solat zohor jika masih berharap dan berpeluang ia mampu solat di luar penjara pada hari tersebut.



Pendapat Ketiga



Apabila cukup syarat sah solat Jumaat di dalam penjara dan mampu untuk melakukannya, maka hukumnya adalah wajib bagi setiap banduan yang berada di dalam penjara tersebut untuk menunaikan solat Jumaat seperti pihak kerajaan membina sebuah masjid di dalam penjara dan melantik seorang Imam yang berkelayakan untuk kemudahan berkenaan dengan urusan ibadah dan dakwah kepada banduan-banduan yang bermukim di dalam kawasan penjara tersebut. Ini sebagai langkah untuk mendidik dan membawa meraka ke jalan yang sebenar. Pendapat ini berdasarkan dalil umum daripada Saidina Umar r.a yang berkata :



جمعوا حيثما كنتم



Maksudnya : Berkumpullah kamu dimana sahaja kamu berada.


Dalil ini juga disokong oleh Ibnu Sirin berdasarkan riwayatnya yang bermaksud : “Wajib solat Jumaat keatas setiap orang yang dipenjarakan”. Menurut kefahaman daripada pandangan mazhab Imam Hanafi : “ harus bagi yang dipenjarakan menunaikan solat Jumaat, jika tidak mampu maka dibolehkan untuk menunaikan solat zohor secara bersendirian, dan di makruhkan sembahyang zohor secara berjemaah ketika solat Jumaat sedang berlangsung kerana takut menyerupai solat Jumaat pada hari tersebut dan mengurangkan jumlah jemaah untuk menunaikan solat Jumaat secara berjemaah”.



Kesimpulan



Berdasarkan pandangan ini, maka tidak boleh sama sekali mengahalang bagi seorang tahanan di dalam penjara untuk menunaikan solat Jumaat, kerana bersandarkan dalil yang mewajibkan solat Jumaat dan larangan meninggalkannya daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Daripada pandangan ini juga lebih sesuai untuk di amalkan dalam situasi kita di zaman sekarang. Di samping itu juga dengan mendirikan masjid mampu berperanan sebagai sebuah institusi penyebaran dakwah dan kefahaman untuk pembentukan jiwa dan rohani kepada banduan-banduan dan dapat menyedarkan mereka untuk kembali ke jalan yang benar. Artikel ini dihasilkan hanya sekadar untuk memberikan pengetahuan terhadap perbezaan dikalangan Ulamak berdasarkan hukum solat Jumaat bagi seorang tahanan yang berada di dalam penjara dan sebagai perbincangan bersama berkenaan permasalahan ini. Di sebalik itu juga, kita dapat mengetahui bahawa perhimpunan bagi umat Islam secara mingguan melalui solat Jumaat ini amat penting dalam pembentukan dan kesatuan ummah. Oleh sebab itu seluruh ummat Islam telah dituntut oleh syarak untuk menghadirinya hatta bagi seorang banduan sekalipun. Waallahua’lam.



Sumber Rujukan

1) Hasyiah As-Syeikh Ibrahim Al-Baijuri.

2) Minhajul Al-A’bindin, oleh Imam An-Nawawi.

3) Fiqh Al-Mu’taqalat Wa As-Sujun Baina As-Syariah Wa Al-Qanun, oleh Dr. Hasan Abdul Ghani Abu Ghuddah.



Di sediakan oleh :

Mohamad Hanif B Haron

Pengerusi Felo MANHAL PMRAM

MENGHIMPUNKAN PUASA QADHO’ RAMADHAN DI DALAM PUASA SUNAT SYAWAL

Adakah di bolehkan untuk mengabungkan diantara kedua puasa tersebut?



Mengenai persoalan ini, di kalangan Ulamak berselisihan pendapat berkenaan dengan hukumnya seperti berikut :



1) Di Bolehkan Untuk Mengabungkan Keduanya Dengan Satu Niat



Dinukilkan daripada Dr `Ali Juma`Ah dalam kitab fatawa asriah, Imam Nawawi menyebut dalam kitab Al Majmuk : dibolehkan untuk menghimpunkan niat puasa qadho` Ramadhan dan niat puasa sunat Syawal disisi ulamak As-Syafi’yyah.



Di riwayatkan oleh Imam As-Syafie, beliau berkata: diharuskan seorang perempuan untuk berpuasa qadho` Ramadhan dalam bulan Syawal dengan menggunakan satu niat. Sekiranya bilangan puasa ganti Ramadhannya adalah enam hari, maka dia akan mendapat pahala puasa sunat enam Syawal. Sekiranya puasa gantinya adalah lima hari, maka hendaklah dia berpuasa selama lima hari dan menyempurnakan sehari lagi untuk mendapat fadhilat puasa enam. Wanita yang berpuasa mengikut kaedah ini iaitu menggabungkan puasa sunat syawal dan qadho` Ramadhan akan mendapat pahala berpuasa setahun seperti yang disebut oleh baginda nabi SAW.



Hal ini diqiaskan terhadap masalah seseorang yang masuk ke Masjid, maka dia terus melakukan solat dua rakaat samaada fardhu mahupun sunat ratibah sebelum duduk, maka terhasil bagi seseorang itu pahala sepertimana dia solat sunat Tahiyyatul Masjid sebanyak dua rakaat.



Hal ini dikuatkan lagi dengan pandangan yang dinukilkan daripada Imam Ar-Ramli dalam kitab beliau “Nihayatul Muhtaj ” jilid ketiga, beliau menyebut : “ barang siapa yang qadho` puasa Ramadhannya di bulan Syawal maka akan terhasil baginya pahala sunat Syawal”. Pandangan ini turut disokong oleh Imam Al Barizi, Imam Al `Asfuni, Imam An Nasyiri dan Imam `Ali Soleh Al Hadhromi. Akan tetapi, seseorang yang berpuasa seperti ini, tidak akan mendapat pahala sempurna sepertimana orang yang memisahkan puasa qadho` Ramadhan dan puasa sunat Syawal kerana tidak memenuhi maksud hadis nabi yang berbunyi :



من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر



Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”



2) Tidak Membolehkan Untuk Mengabungkan Keduanya



Berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam di bulan Syawal :



من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر



Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”



Daripada kefahaman hadis ini, Rasulullah s.a.w. mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal. Dan tidak menjadi kesalahan juga, bagi sesorang yang ingin mendahulukan puasa enam hari di bulan Syawal seterusnya menunaikan puasa qadha di bulan-bulan yang lain (selepas syawal) sebelum tiba Ramadhan berikutnya”.



Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika seseorang itu mampu melangsaikan puasa Qadha terlebih dahulu kemudian setelah itu ia menunaikan puasa enam, maka itu yang lebih baik daripada mengabungkannya kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;



دين الله أحق أن يُقضى



Maksudnya :“Hutang dengan Allah itu lebih utama untuk ditunaikan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.).



Kesimpulan



Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang ringkas ini, Maka lebih afdhal kepada kita agar tidak mengabungkan kedua puasa tersebut dan adalah lebih baik jika didahulukan puasa yang wajib (qadha) daripada puasa yang sunat.



Manakala Pandangan yang membolehkannya adalah sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Wallahua’lam.



Sumber: Manhal PMRAM ( http://pmram-manhal.blogspot.com )

HARI INI GENAP 3 TAHUN SAYA DI MESIR

Pada 18 september 2007 tarikh yang kuat terpahat di ingatan mengenang kembali saat-saat akhir melangkahkan kaki meninggalkan lapangan terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu. Melihat lambaian-lambaian keluarga, adik beradik, saudara mara, teman seperjuangan serta para doktor kuliah yang semakin sayup-sayupan dan menjauh.




Pada tarikh 19 September 2007 merupakan hari pertama saya menjejak kaki ke bumi para ambiya ini. Sebenarnya banyak nama jolokan bagi Negara Mesir ini antaranya kiblat ilmu, bumi sejuta menara, ardul kinanah, maktabah dunia dan lain-lain.




Suasana yang digambar dan dibayangkan sebelum sampai di sini (Mesir) cukup jauh meleset dengan keadaan persekitaran yang sebenar setelah melihat dengan mata kepala sendiri. Masyaallah.. La haula wala quwwata illa billah. Cukup hebat kuasa Allah s.w.t.




Sebenar cita-cita saya untuk sambung belajar di Universiti Al-Azhar bemula semasa belajar di SMU (A) Taqaddum Al-Maarif, Pasir Tumboh lagi kerana terkesan dari galakan ustaz-ustaz yang semestinya lepasan dari universiti tertua di dunia ini. Keputusan STAM tidak menyebelahi saya kerana mendapat pangkat MAQBUL sahaja, diringkaskan cerita saya membuat keputusan pada 25 Mei 2004 saya mendaftar diri sebagai mahasiswa Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dalam bidang Usuluddin.




Di KIAS banyak pengalaman- pengalaman manis yang dilalui bersama-sama teman seperjuangan. Biarpun saya banyak berperanan dan terkenal di padang bola pada ketika itu tapi itulah arahan dari murabbi-murabbi menjaga posisi tersebut. Setelah tiga tahun menimba pengalaman dan pengajaran akhirnya 2007 saya telah dianugerahkan Diploma Usuluddin dan disampaikan scrool Diploma itu oleh YAB Datuk Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Dewan Universiti Malaya, Nilam Puri.


Mok kito atau ore kato ibu

Hanyo so dan tak leh ganti baru

Setiap jakoh kito mula celik mato mok kato sokmo

Buat lagu ni awe

Jange buat lagu tu awe

Tak sah gitu

Tak sah gini

Tak molek lagu tu

Tak molek lagu ni




Pada 13 November 2007 tauzek ke bumi zagazig




Di kuliah - kehebatan dan kewibawa para doktor pensyarah di Universiti Al-Azhar tidak dapat disangkal lagi. keilmuan melaut luas.




Di sini lain dari yang lain pengalaman yang saya terima. Siri-siri tarbiyyah yang diatur tiada dapat ditandingi ketulenan dan kejituannya. Cukup sukar untuk dicoretkan di sini. Biarlah ia terus bersemadi dalam sanubari.




Dalam tempoh tiga tahun di sini saya belum pernah balik sebenarnya bukan waktu panjang tetapi keinginan melihat kerut dahi dan keringat serta jerih payah ibu yang telah lama menggalas tugas ayah begitu membuak-buak sekali rasa diri ini ingin mewaqafkan diri untuk keluarga dan agama.




sedikit panorama sekitar bandar Zagazig

Padangan dari atas Hotel Marina

ini dataran yang terletak ditengah-tangah pusat bandar zagazig. Dataran ini tidak pernah lengang, sentiasa penuh dengan lautan manusia

mercu tanda bandar zagazig patung Ahmad 'Arabi terletak juga di tengah-tengah bandar zagazig

stadium negeri.. tempat anak melayu menganjurkan sukan tahunan

masjid negeri.. masjid Fattah

Gerbang Universiti Al-Azhar Zagazig



Sekarang masih.. Syukur kepada Allah s.w.t kerana telah menjodohkan cinta ilmu saya di bumi zagazig ini


Salam Idulfitri Menteri Besar Kelantan



Bismillahir-rahmanir Rahim!!! Allahu Akbar !!!1Allahu Akbar!!Allahu Akbar!!!!!!!LailLaha ilalLahu Wal Lahu Akbar. Firman Allah SWT bermaksud:


“(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana" (Al-Quran, surah Al-Fath 48:4).



Segala kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi dengan beribadat di sepanjang bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri, 1 Syawal 1431H ini. Sesungguhnya kesempatan setiap Ramadhan disediakan oleh Allah SWT wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan amal ibadah demi meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan berpuasa.


Asas kehidupan manusia yang beriman dan bertaqwa sudah pasti berpandukan agama. Ini kerana ajaran agama menyediakan perlembagaan hidup yang sebenar. Maka kehidupan orang yang taqwa sudah pasti hidupnya selari dengan agama, yakni perlembagaan hidup yang berteraskan agama. Justeru kehidupan seorang yang beragama adalah terlalu jauh bezanya dengan kehidupan berpandukan perlembagaan buatan (digubal) manusia. Ini kerana tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat (maliki yaumid din). Oleh yang demikian, apalah sangat pihak yang menggubal perlembagaan, apakah mereka dapat menjamin bahawa roh perlembagaan yang digubal manusia itu dapat memuaskan hati pihak hakim di akhirat kelak iaitu Allah SWT? Tanpa ada sebarang keraguan di mahkamah Allah (without any shadow of doubt). Bolehkah perlembagaan buatan itu dapat menyelamatkan seseorang manusia itu daripada neraka Allah SWT?


Perlembagaan sebenar (alsirat al-mustaqim) ialah al-Quran yang kita tadarus, yang kita baca di dalam solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana. Ia mengandungi nur iaitu cahaya.


Cahaya itu bukan cahaya matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka. Tanpa adanya cahaya ini manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan-kelemahan manusia.


Sebab itu di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh, melaungkan Allahuakbar sekuat-kuatnya, di merata-rata tempat, bukan sahaja di masjid dan di surau. Ini kerana jika Allahuakbar adalah Akbar, terbesar, terpenting, maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila bertembung dengan kehendak Allah SWT. Di negara kita, umat Islam masih agak terikat dengan budaya bertakbir di masjid dan di surau sahaja. Saya mencadangkan agar kita mempelopori suasana yang baru, berteraskan sunnah, iaitu kita bertakbir di mana-mana tempat (di mana yang sesuai).


InsyaAllah jika semangat takbir ini dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang berlaku di dalam negara dapat diselesaikan. Masyarakat dapat hidup aman dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan kebudayaan. Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan. Melayu misalnya dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India yang Muslim. Ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata.


Alhamdulillah, ini dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan khususnya apabila masjid-masjid dan madrasah-madrasah dipenuhi dengan kaum Muslimin. Tanpa mengira bangsa, semua kita melafazkan amiin apabila imam menghabiskan bacaan al-Fatihah. Kita tidak merasa kekok apabila bahu kita bersentuhan dengan saudara seagama dari kaum lain ketika mengerjakan solat. Kita tidak berasa janggal untuk menghulurkan salam kepada rakan sebelah yang berbeza keturunan. Persoalannya, kenapakah perasaan ini tidak muncul di luar masjid dan madrasah? Jawapannya, kerana kebesaran Allah SWT hanya diikrarkan di dalam masjid sahaja dan tidak dibawa keluar sebagai asas kehidupan.


Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir. Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat non muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. InsyaAllah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai.


Pada kesempatan ini juga, tidak lupa saya berpesan agar anak-anak Kelantan di perantauan dapat berhati-hati semasa pulang berhari raya, terutama di sepanjang perjalanan. Perlulah diingat bahawa kepulangan kita ditunggu-tunggu oleh orang yang tersayang. Janganlah pula kepulangan di hari raya disambut dengan kedukaan.


Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan khususnya diterima sebagai amalan yang soleh dan akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.


Salam Idulfitri. Minal ’aidin wal faizin.


Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.


1 Syawal 1431H.