Kunjungan Tetamu Terhormat & Teragung

Saudara/i ku yang dikasihi dan yang dimuliakan …

Seandainya dikatakan kepadamu bahawasanya esok seorang pemimpin besar akan berkunjung bertamu ke rumahmu, apa yang akan kamu lakukan untuk menyambutnya?

Adakah kamu bersegera membersihkan rumahmu, menghias dan menyegarkan ruangan dengan wangi-wangian yang termahal sebagai persembahan buat tamu besar yang sangat istimewa itu?

Ya.. semua ini akan dilakukan, semakin tinggi pangkat dan kedudukan tamu itu maka semakin megah dan meriah pula sambutannya.

Maka saudara/i ku yang dikasihi… cuba bayangkan bagaimana sekiranya tamu yang mulia itu adalah Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW sendiri yang berkunjung ke rumahmu.. Bayangkan..dan cuba bayangkan bahawa manusia yang paling baik dan mulia akan menziarahimu.

Dia bukan hanya sekadar menteri , bukan sekadar pemimpin/ketua bahkan disepanjang sejarah sekalian manusia Baginda SAW adalah sebaik- baik manusia yang menginjakkan dua telapak kakinya di muka bumi ini.

Dengan kehadiran risalah ini kami ingin mengajak anda untuk merenung dan membayangkan bagaimana sikap dan pendirian kita jika diziarahi oleh sebaik-baik makhluk Nabi Muhammad SAW yang teragung.


DI RUMAH


Saudara/i ku yang tercinta.. Seandainya sekarang Nabi SAW mengetuk pintu rumahmu, apakah yang pertama sekali yang akan kamu lakukan untuk menyambutnya. Dapatkah kamu bersegera membuka pintu lantas mengucapkan marhaban/selamat datang kepada Nabimu diiringi dengan deraian air mata kebahagiaan yang menitis berlinangan dari kedua matamu?

Dapatkah kamu dengan bersegera mempersilakan Nabi SAW memasuki rumahmu dengan ungkapan kata.. “Rasulullah berada di rumahku, ini adalah suasana yang paling bahagia dalam hidupku..

Apakah semua ini kamu dapat lakukan? Atau malah kamu keluh kesah, risau, gementar di saat kamu mendengar ketukkan dipintu.. Apakah kamu akan berlari dengan cepat masuk ke bilikmu dahulu untuk menyembunyikan gambar-gambar penyanyi atau artis- artis idolamu dan menggantikannya dengan menampilkan ayat-ayat suci Al Qur’an..?

Apakah kamu akan mencabut saluran isytirak ataupun membuang channel artis- artis lucah…?

Apakah kamu akan membuka komputermu untuk membuang filem-filem yang tak layak dilihat ataupun kamu bersegera membuang gambar- gambar idola kamu dan gambar-artis dari dinding bilikmu…?

Apakah kamu akan menyambut Nabi SAW dalam keadaan rokok ditanganmu. Walaupun kamu tahu sekarang rokok itu diharamkan tapi mengapa kamu menghisapnya di hadapan Nabi SAW?

Kenapakah kamu lalukan semua itu sedangkan kamu takut perbuatan itu membuatkan Rasulullah SAW marah.. dan kamu berhadapan dengan Baginda SAW duduk bersama Baginda SAW, terpaku dengan keindahan kata-kata Baginda SAW, serta tak berpaling sedikitpun kedua matamu melihat seri wajahnya yang bercahaya itu. Lalu, cuba bayangkan bahawa Nabi SAW akan tinggal bersamamu selama sebulan… Apakah kamu akan merasa gembira atau merasa keluh kesah…?

Apakah kamu dapat bersikap seperti para sahabat yang saling berlumba-lumba ingin bertamukan Baginda SAW ketika sampainya Baginda di Madinah buat pertama kalinya..? atau kamu takut dan malu membayangkan apa yang akan terjadi di sepanjang bulan ini?

Apakah Rasul SAW akan merasa gembira melihat kamu yang meringan-ringankan solat atau meninggalkan solat berjemaah?

Apakah Baginda akan mendapati kamu sentiasa membaca Al Qur’an atau membaca buku-buku komik dan cerita-cerita yang tak berfaedah?

Apakah Baginda akan mendapati kamu beramah mesra dengan keluargamu dengan muamalah yang terdidik dan mendidik, atau baginda hanya akan mendengar suaramu yang tinggi dan menyaksikan tanganmu yang melampau dan lidahmu yang selalu memuntahkan kata-kata yang kotor dan keji.. di hadapan Rasulullah SAW, sedangkan baginda berkata :''Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik perlakuannya terhadap keluarganya'' (HR.Ibn Majah).


DI SAAT BERKERJA


Itu seandainya Nabi SAW berziarah ke rumahmu. Bagaimana pula jika Nabi SAW menziarahi ke tempat kerjamu.

Apa yang akan kita katakan jika Rasulullah SAW sendiri menyaksikan pengkhianatanmu dalam berkerja. Apakah alasan kita sedangkan Baginda SAW pernah bersabda :

‘’Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang di antara kamu apabila dia beramal/bekerja dia akan menyempurnakan kerjanya/amalnya.''(HR. Thabrani)

Apa yang akan kita katakan kepadanya Baginda SAW sedangkan Baginda SAW menyaksikan rasuah berjalan dengan mudahnya dalam menyelesaikan muamalah, di sana dinamakan dengan nama yang lain (duit kopi… politik wang… penghargaan… hadiah…) Apakah yang akan kita katakan baginya sedangkan baginda bersabda :

''Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang terima rasuah dan perantarannya''

Apa yang akan kita katakan kepada Nabi kita SAW jika Baginda melihat penipuan berlaku dalam perniagaan jual beli dan muamalah perekonomian, sedangkan Baginda telah bersabda :

''Barangsiapa yang mencurangi/menipu kami maka dia bukan dari golongan kami"


DI JALANAN


Dan bagaimana pula jika sekiranya Nabi SAW berjalan bersamamu di jalan-jalan yang selalu kita lalui. Adakah Baginda SAW akan merasa senang sedangkan Baginda mendengar setiap hari jutaan ungkapan-ungkapan kotor yang keji yang melumuri telinga mereka yang soleh?

Apakah kamu dapat menggambarkan betapa marahnya Baginda dikala mendengar tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada orang-orang yang baik dengan mudah meluncur keluar melalui lidah-lidah, sedangkan Baginda SAW telah bersabda, (Jauhilah olehmu tujuh perkara dan di antaranya disebutkan (menuduh perempuan-perempuan yang baik berbuat zina) dan Baginda telah mengambil kira bahawa ianya adalah daripada dosa besar yang dapat mencampakkan pelakunya ke jurang api neraka.

Apakah Rasul SAW akan merasa redha melihat wanita-wanita dan anak-anak perempuan berjalan di jalanan tanpa mengenakan hijab (pakaian yang menutup aurat) dan juga mengenakan busana-busana yang mengundang fitnah di kalangan pemuda?

Apakah Rasul SAW akan mengaku bahawa wanita yang bertabarruj (berhias) itu adalah dari ummatnya?

Apakah Baginda akan berkata begitulah Siti Khadijah dan Siti 'Aisyah dan juga Asma'?

Apakah Baginda SAW akan merasa gembira menyaksikan masjid-masjid sunyi?

Apakah Baginda SAW akan merasa redha melihat khamar (arak) dan kelab-kelab malam bertebaran di negeri-negeri Islam?

Apakah Baginda akan meredhainya jika fikiran para pemuda dijalanan tak menentu dengan godaan para wanita?


KEADAAN UMMAH


Apakah yang akan kamu katakan kepada Rasulullah SAW sekiranya baginda bertanya tentang keadaan kaum Muslimin sekarang ini?

Apakah kamu akan berdusta dengan mengatakan bahawa kaum Muslimin dalam keadaan baik atau kamu mempunyai keberanian untuk mengkhabarkan kepada kekasihmu SAW bahawa keadaan kita di saat ini dalam keadaan terhina?

Al Aqsa (tempat Isra' nya Rasulullah SAW) telah dirampas oleh orang Yahudi dan sekarang mereka dalam usaha untuk menghancurkannya!! kaum Muslimin yang dibunuh pagi dan petang di Iraq, Afghanistan, Chechnya, Kasymir dan di mana-mana sahaja.

Apa yang akan kita katakan padanya sedangkan Baginda telah bersabda, "Kehormatan darah seorang Muslim lebih besar nilainya di sisi Allah daripada kehormatan Ka'bah''.

Dan Baginda juga pernah mengutuskan pasukan tentera untuk memerangi kaum Yahudi setelah mereka membunuh seorang Muslim yang mempertahankan maruah seorang Muslimah, maka Rasulullah SAW membela keduanya dan membalas kejahatan kaum Yahudi itu.

Dan sekarang.. orang yang teraniaya ada di mana-mana.

Dan sekiranya kamu ceritakan kesemuanya ini kepada Rasulullah SAW.

Bayangkanlah pertanyaan Baginda kepada kamu. Apakah yang telah kamu perbuat untuk membantu saudara-saudaramu kaum Muslimin? Apakah kamu tidak pernah mendengar sabdaku : (Sesiapa yang tidak mengambil berat akan urusan kaum Muslimin maka bukan dari golongan mereka).

Adakah kamu mempunyai jawapan untuk menjawab pertanyaan dari sebaik-baik ciptaan ini SAW?

Bagaimana pula jika sekiranya Rasulullah SAW menuntut separuh daripada hartamu untuk dipergunakan dijalan dakwah kepada Allah SWT dan jihad dijalanNya?

Adakah kamu akan bersegera memenuhinya sepertimana yang dilakukan oleh Umar bin Al Khattab ataupun kamu akan berikan semua hartamu sepertimana yang dilakukan oleh Abu Bakar As Shiddiq RA ataupun kamu masih teragak-agak bakhil dan mencari alasan dengan pelbagai keuzuran?

Saudaraku yang tercinta…..bayangkan bagaimana kemarahan Rasulullah SAW yang mana Baginda melihat negara–negara kita berhukum dengan hukum selain daripada yang disyari'atkan oleh Allah SWT.

Khayalkan keadaan Nabi SAW sedang mendengar bahawa agama Islam, tempatnya hanya di dalam masjid sahaja tidak mencukupi di dalamnya urusan politik, ekonomi atau urusan kenegaraan!! Adakah Baginda akan redha dengan itu, sedangkan Baginda adalah seorang pemimpin dan juga ketua negara bagi negara Islam yang pertama. Adakah Rasul SAW akan merasa gembira di kala melihat kelemahan kaum Muslimin yang lemah berdepan dengan kezaliman dan kemusnahan, sedangkan Baginda pernah bersabda : ''Seafdhal-afdhal jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemimpin yang menyimpang (zalim)''.

Saudaraku yang dikasihi……Adakah kamu baca tulisan ini hanya dengan kedua matamu ataupun engkau sertakan merasainya dengan hatimu?

Adakah kamu membacanya dengan penuh ‘Itibar (pengajaran)…

Ataupun kamu telah memikirkan setiap kalimatnya dengan akal yang telah Allah anugerahkan kepadamu?

Adakah kamu merasa bahawa kamu belum bersedia untuk diziarahi dengan ziarah singkat Nabi SAW ini?

Fikirkanlah serta tanyalah dirimu...

Apakah kekasih kita Nabi SAW akan berkata untuk kita di hari kiamat.. ummatku..ummatku…?

Atau Baginda akan berkata berengganglah-berengganglah.. jauhlah-jauhlah…..?

Saudaraku yang dikasihi…..

Sekiranya Muhammad Rasulullah SAW tidak melihatmu, maka sesungguhnya Tuhan Muhammad SAW sentiasa melihatmu.

Dan sekiranya Rasulullah SAW telah wafat maka sesungguhnya Allah SWT hidup tiada mati.

Apa yang telah disebutkan sebelumnya adalah perkara yang tidak diredhai oleh Allah SWT dan RasulNya.

Maka bersegeralah serta percepatlah bertaubat dan meminta keampunan dari Yang Maha Pengampun. Dan ketahuilah bahawasanya Allah SWT membentangkan tanganNya di malam hari untuk mereka yang mahu bertaubat sampai ke siang harinya dan membentangkan tanganNya di siang hari bagi mereka yang mahu bertaubat sampai ke malam harinya begitulah seterusnya sampai terbitnya matahari dari barat.

Dan ketahuilah olehmu bahawa cintakan Rasulullah bukan hanya sekadar ucapan melainkan dengan amal perbuatan.


Mencintai rasul adalah berpegang dengan Syari'at,

Sembunyi atau terang tetap lekat,

Menghidupkan sunnahnya adalah cinta yang hakikat,

Di dalam fikiran, hati dan kalimat.

0 comments:

Post a Comment