KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) - Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, 18 mendapat 20A (19A1, 1A2) dipercayai pelajar terbaik SPM 2008 peringkat kebangsaan.
Anak nelayan dari Kampunug Sabak, Pengkalan Chepa menerima slip keputusan tersebut daripada anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah di sekolah tersebut hari ini.
Dengan keputusan itu Nik Nur Madihah juga meraih pelajar paling cemerlang di Kelantan dalam peperiksaan terbabit.
Tiga tahun lalu, pelajar sekolah yang sama Siti Fatimah Mukhtar muncul sebagai pelajar cemerlang negara apabila mendapat 18A (17A1 dan 1A2).
Seorang lagi pelajar, Nor Farah Aisyah Nazim, 18 memperolehi keputusan 17A.
Manakala Suhazlinda Ghazali diumumkan sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) apabila memperolehi pencapaian 10 mumtaz dalam peperiksaan itu tahun lepas.
Hadir sama pada majlis penuh bersejarah tersebut, ibu Nik Nur Madihah, Mariani Omar, 42 dan ayahnya Nik Mohammad Kamal.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ustaz Zakaria Mohamad dan penolong-penolong pengarah Yik, tenaga pengajar sekolah terbabit, pelajar serta ibu bapa serta pelajar cemerlang SPM 2006, Siti Fatimah.
Mohd Amar ketika mengumumkan keputusan berkenaan berkata, sebanyak 17 sekolah Yik memperolehi keputusan peperiksaan 100 peratus dalam SPM termasuk Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah yang pertama kali menduduki SPM.
INILAH RUMAH SAYA - Utusan Malaysia
Nik Nur Madihah bersama ibu bapanya Nik Mohd. Kamal Hussien dan Mariani Omar di rumah mereka di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.
Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.
Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.
Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.
Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.
Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.
Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.
0 comments:
Post a Comment