MAJLIS FATWA KEBANGSAAN MESTI LEBIH TELUS

Al-Quran merupakan panduan teragung, dasar terulung dan rujukan tertinggi kepada umat manusia dalam menjalani hidup di dunia akhirat. Selain berfungsi menceritakan kisah para Nabi dan alam ghaib, al-Quran juga menghidangkan informasi atau berita yang menyenangkan dengan kenikmatan syurga Allah s.w.t dan juga menakutkan dengan bebanan seksaan api neraka yang mengerikan.

Dalam kesibukan parti-parti politik di Malaysia menyusun & mengatur strategik menghadapi Pilihan Raya Kecil N.11 Dun Permatang Pasir kita digemparkan oleh pihak media tempatan melaporkan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan kenyataan kepada tokoh politik dan agama kesayangan rakyat Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai penyeleweng dan ekstrem kepada agama. Susulan isu ini timbul apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyifat penyokong UMNO dengan “penyokong UMNO masuk neraka”.

Terlebih dahulu perlu difahami maksud Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang hanya menyifatkan sahaja bukan menentukan ke atas sesiapa. Walaupun Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyebut secara khusus seolah-olah menentukan kepada penyokong UMNO, tapi perlu disedari kata-kata itu lebih terarah kepada menyifat dan mengingatkan penyokong UMNO sahaja.

Perumpamaan boleh dibuat kepada seorang petani. Hasil apakah yang diperolehi oleh seorang petani jika padi yang ditanam dan selepas itu menunggu sahaja cukup tempoh masak tanpa ada usaha menjaga, membaja dan mengawal padi itu dari digangu serangga perosak dan binatang buas. Situasi dan keadaan yang jauh berbeza jika petani itu menanam padi seraya menjaga segala-gala keperluan bagi sebatang pokok padi supaya hasil di kemudian hari mendapat butiran buah padi yang betul-betul berisi dan bernas. Dengan perumpama petani dan pokok padi ini sudah terjawab kepada apa yang Tuan Guru Nik Abdul Aziz kemukakan pada umum “penyokong UMNO masuk neraka”.

Agama Islam juga telah mengajar penganut mengenali perwatakan ahli penghuni neraka atau sebaliknya. Beberapa maksud potongan ayat-ayat suci al-Quran untuk direnungi berkaitan isu ini.

(Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya)

(Al-A’raaf:36)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Sesungguhnya orang-orang yang berdosa kekal di dalam azab neraka)

(Az-Zukhruf:74)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Adapun orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya)

(Al-Baqarah:39)

(Tidakkah mereka (orang-orang munafik itu) mengetahui bahawasanyabarang siapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka jehannamlah baginya; dia kekal di dalamnya. Itu adalah keninaan yang besar)

(at-Taubah:63)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Tempat kembali mereka ialah neraka dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal orang-orang yang zalim)

(Yunus:151)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan)

(Yunus:8)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Tempat kamu ialah nereka. Dialah tempat berlindungmu)

(al-Hadid:15)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Beginilah (keadaan mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang durhaka benar-benar (disediakan) tempat kembali yang buruk. Iaitu neraka jahannam yang mereka masuk ke dalamnya; Maka amat buruklah jahannam itu sebagai tempat tinggal)

(Shaad: 55-56)

Melalui ayat-ayat di atas dapatlah diketahui bagaimana Allah s.w.t. menceritakan tentang sifat-sifat penghuni neraka. Berkaitan isu ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak bersalah atas isu yang gembar-gemburkan oleh pihak media. Berpandukan keterangan dan panduan Al-Quran para ulamak juga mengklasifikasikan orang-orang tertentu yang pasti masuk neraka. Orang kafir dan musyrik adalah golongan yang tidak ada keraguan lagi menjadi penghuni neraka. Al-Quran juga memberitahu kita beberapa orang tertentu yang menjadi penghuni neraka iaitu:

Fir’aun pada zaman nabi Musa sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud:

Dia(Fir’aun) berjalan di depan kaumnya di hari kiamat, lalu membawa masuk mereka ke dalam neraka. Neraka itu seburuk-buruk tempat yang dimasuki

(Hud: 98)

Isteri Nabi Nuh dan Isteri Nabi Luth sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud:

Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang kafir, isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya berada di bawah pngawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, tetapi kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari seksa Allah; dan dikatakan ( kepada kedua isteri itu), masuklah kamu berdua ke neraka.

(at-Tahrim:10)

Abu Lahab dan Isterinya sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud:

Binasalah kedua-dua tangan abu lahab dan benar-benar binasa dia!. Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak (neraka). Dan begitu pula isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal

(Lahab:1-5)

‘Amr bin ‘Amir Al-Khuza’i sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Rasulullah s.a.w pernah melihat dia menyeret ususnya di neraka (HR. Bukhari dan Muslim)

Termasuk mereka adalah orang yang membunuh dan menyeret Ammar bin Yasir.

Dalam disiplin ilmu agama ulama lebih berautoriti dalam menyelesaikan isu yang berkaitan agama seumpama ini. Sekarang konsep disiplin ilmu itu tidak di amalkan lagi, apa tidaknya pandangan kepala otak Tun Dr. Mahathir, Muhyidin dan koncu-koncu UMNO diambil kira. Semua mengetahui mereka bukan berlatar belakang pendidikan agama dan mereka tiada kelayakan langsung dalam menyuarakan pendapat dalam isu ini. Sebagai contoh saya belajar di Universiti Al-Azhar mengambil jurusan Usuluddin. Satu persoalan timbul bolehkah selepas habis belajar dan saya balik ke tanah air membuka sebuah hospital perubatan yang tiada kaitan langsung dengan bidang pengajian saya semasa di universiti? Jawapannya tentu sekali tidak, selain tidak mendapat kepercayaan orang ramai ia juga menyalahi prinsip disiplin sesuatu ilmu itu sendiri. Jika bidang perubatan hanya doktor-doktor diberi kepercayaan melaksanakan kerja-kerja di hospital. Kenapa bidang agama tidak diberi kepada golongan ulama sahaja sebagaimana bidang-bidang lain. Soal agama tidak berlaku begitu dan ramai yang melanggari disiplin ilmu ini. Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh memandang isu ini kecil dan perlu mengambil cakna dalam masalah ini agar pendapat atau ideal orang yang bukan ahlinya dapat dibendung dan paling penting disiplin bagi sesuatu ilmu itu dapat dikawal dan dijaga kesuciannya.

Berkaitan tajuk yang dibincangkan, Majlis Fatwa Kebangsaan adalah sebuah istitusi agama yang cukup dipandang mulia jika perjalanannya mengikut lunas-lunas agama yang sebenar. Realiti yang berlaku soalah-seolah pihak majlis fatwa dicucuk hidung oleh kumpulan-kumpulan tertentu.

Sepatutnya bila seorang Ulama mengeluarkan pendapat tentang sesuatu perkara kita sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat menyuluh dan menilai diri, adakah akidah dan perjuangan serta apa yang kita perjuangkan itu bertepatan dengan Islam itu sendiri atau tidak.

Kita tidak seharusnya melenting dan menyerang Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan pelbagai tuduhan. Bagi mereka yang bijaksana, mereka hanya perlu meminta Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberikan hujah hujah yang menyokong pendapatnya.

Inilah yang diajar oleh Allah melalui rasulnya Nabi Muhammad yang dicintai. Selepas itu jika di merasakan dan mendapati hujah hujah Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak betul dan tidak tepat maka perbetulkanlah dengan membawa hujah-hujah yang betul.

Pihak Majlis Fatwa juga perlu bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu isu yang dibangkitkan. Pihak Majlis Fatwa juga perlu membuat siasatan terlebih dahulu ke atas sesuatu kes yang diadukan kepada mereka sebelum mengeluarkan pendapat atau fatwa. Keadilan mendengar hujah atau sebarang keterangan dari kedua-dua belah pihak yang terlibat perlu diutamakan supaya di masa-masa akan datang Majlis Fatwa Kebangsaan ini tidak lagi diperbodoh dan diperkudakan oleh pihak media dan dibonekakan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional.

0 comments:

Post a Comment