MAJLIS FATWA KEBANGSAAN MESTI LEBIH TELUS

Al-Quran merupakan panduan teragung, dasar terulung dan rujukan tertinggi kepada umat manusia dalam menjalani hidup di dunia akhirat. Selain berfungsi menceritakan kisah para Nabi dan alam ghaib, al-Quran juga menghidangkan informasi atau berita yang menyenangkan dengan kenikmatan syurga Allah s.w.t dan juga menakutkan dengan bebanan seksaan api neraka yang mengerikan.

Dalam kesibukan parti-parti politik di Malaysia menyusun & mengatur strategik menghadapi Pilihan Raya Kecil N.11 Dun Permatang Pasir kita digemparkan oleh pihak media tempatan melaporkan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan kenyataan kepada tokoh politik dan agama kesayangan rakyat Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai penyeleweng dan ekstrem kepada agama. Susulan isu ini timbul apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyifat penyokong UMNO dengan “penyokong UMNO masuk neraka”.

Terlebih dahulu perlu difahami maksud Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang hanya menyifatkan sahaja bukan menentukan ke atas sesiapa. Walaupun Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyebut secara khusus seolah-olah menentukan kepada penyokong UMNO, tapi perlu disedari kata-kata itu lebih terarah kepada menyifat dan mengingatkan penyokong UMNO sahaja.

Perumpamaan boleh dibuat kepada seorang petani. Hasil apakah yang diperolehi oleh seorang petani jika padi yang ditanam dan selepas itu menunggu sahaja cukup tempoh masak tanpa ada usaha menjaga, membaja dan mengawal padi itu dari digangu serangga perosak dan binatang buas. Situasi dan keadaan yang jauh berbeza jika petani itu menanam padi seraya menjaga segala-gala keperluan bagi sebatang pokok padi supaya hasil di kemudian hari mendapat butiran buah padi yang betul-betul berisi dan bernas. Dengan perumpama petani dan pokok padi ini sudah terjawab kepada apa yang Tuan Guru Nik Abdul Aziz kemukakan pada umum “penyokong UMNO masuk neraka”.

Agama Islam juga telah mengajar penganut mengenali perwatakan ahli penghuni neraka atau sebaliknya. Beberapa maksud potongan ayat-ayat suci al-Quran untuk direnungi berkaitan isu ini.

(Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya)

(Al-A’raaf:36)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Sesungguhnya orang-orang yang berdosa kekal di dalam azab neraka)

(Az-Zukhruf:74)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Adapun orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya)

(Al-Baqarah:39)

(Tidakkah mereka (orang-orang munafik itu) mengetahui bahawasanyabarang siapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka jehannamlah baginya; dia kekal di dalamnya. Itu adalah keninaan yang besar)

(at-Taubah:63)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Tempat kembali mereka ialah neraka dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal orang-orang yang zalim)

(Yunus:151)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan)

(Yunus:8)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Tempat kamu ialah nereka. Dialah tempat berlindungmu)

(al-Hadid:15)

Maksud firma Allah s.w.t. lagi:

(Beginilah (keadaan mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang durhaka benar-benar (disediakan) tempat kembali yang buruk. Iaitu neraka jahannam yang mereka masuk ke dalamnya; Maka amat buruklah jahannam itu sebagai tempat tinggal)

(Shaad: 55-56)

Melalui ayat-ayat di atas dapatlah diketahui bagaimana Allah s.w.t. menceritakan tentang sifat-sifat penghuni neraka. Berkaitan isu ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak bersalah atas isu yang gembar-gemburkan oleh pihak media. Berpandukan keterangan dan panduan Al-Quran para ulamak juga mengklasifikasikan orang-orang tertentu yang pasti masuk neraka. Orang kafir dan musyrik adalah golongan yang tidak ada keraguan lagi menjadi penghuni neraka. Al-Quran juga memberitahu kita beberapa orang tertentu yang menjadi penghuni neraka iaitu:

Fir’aun pada zaman nabi Musa sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud:

Dia(Fir’aun) berjalan di depan kaumnya di hari kiamat, lalu membawa masuk mereka ke dalam neraka. Neraka itu seburuk-buruk tempat yang dimasuki

(Hud: 98)

Isteri Nabi Nuh dan Isteri Nabi Luth sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud:

Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang kafir, isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya berada di bawah pngawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, tetapi kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari seksa Allah; dan dikatakan ( kepada kedua isteri itu), masuklah kamu berdua ke neraka.

(at-Tahrim:10)

Abu Lahab dan Isterinya sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud:

Binasalah kedua-dua tangan abu lahab dan benar-benar binasa dia!. Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak (neraka). Dan begitu pula isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal

(Lahab:1-5)

‘Amr bin ‘Amir Al-Khuza’i sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Rasulullah s.a.w pernah melihat dia menyeret ususnya di neraka (HR. Bukhari dan Muslim)

Termasuk mereka adalah orang yang membunuh dan menyeret Ammar bin Yasir.

Dalam disiplin ilmu agama ulama lebih berautoriti dalam menyelesaikan isu yang berkaitan agama seumpama ini. Sekarang konsep disiplin ilmu itu tidak di amalkan lagi, apa tidaknya pandangan kepala otak Tun Dr. Mahathir, Muhyidin dan koncu-koncu UMNO diambil kira. Semua mengetahui mereka bukan berlatar belakang pendidikan agama dan mereka tiada kelayakan langsung dalam menyuarakan pendapat dalam isu ini. Sebagai contoh saya belajar di Universiti Al-Azhar mengambil jurusan Usuluddin. Satu persoalan timbul bolehkah selepas habis belajar dan saya balik ke tanah air membuka sebuah hospital perubatan yang tiada kaitan langsung dengan bidang pengajian saya semasa di universiti? Jawapannya tentu sekali tidak, selain tidak mendapat kepercayaan orang ramai ia juga menyalahi prinsip disiplin sesuatu ilmu itu sendiri. Jika bidang perubatan hanya doktor-doktor diberi kepercayaan melaksanakan kerja-kerja di hospital. Kenapa bidang agama tidak diberi kepada golongan ulama sahaja sebagaimana bidang-bidang lain. Soal agama tidak berlaku begitu dan ramai yang melanggari disiplin ilmu ini. Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh memandang isu ini kecil dan perlu mengambil cakna dalam masalah ini agar pendapat atau ideal orang yang bukan ahlinya dapat dibendung dan paling penting disiplin bagi sesuatu ilmu itu dapat dikawal dan dijaga kesuciannya.

Berkaitan tajuk yang dibincangkan, Majlis Fatwa Kebangsaan adalah sebuah istitusi agama yang cukup dipandang mulia jika perjalanannya mengikut lunas-lunas agama yang sebenar. Realiti yang berlaku soalah-seolah pihak majlis fatwa dicucuk hidung oleh kumpulan-kumpulan tertentu.

Sepatutnya bila seorang Ulama mengeluarkan pendapat tentang sesuatu perkara kita sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat menyuluh dan menilai diri, adakah akidah dan perjuangan serta apa yang kita perjuangkan itu bertepatan dengan Islam itu sendiri atau tidak.

Kita tidak seharusnya melenting dan menyerang Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan pelbagai tuduhan. Bagi mereka yang bijaksana, mereka hanya perlu meminta Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberikan hujah hujah yang menyokong pendapatnya.

Inilah yang diajar oleh Allah melalui rasulnya Nabi Muhammad yang dicintai. Selepas itu jika di merasakan dan mendapati hujah hujah Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak betul dan tidak tepat maka perbetulkanlah dengan membawa hujah-hujah yang betul.

Pihak Majlis Fatwa juga perlu bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu isu yang dibangkitkan. Pihak Majlis Fatwa juga perlu membuat siasatan terlebih dahulu ke atas sesuatu kes yang diadukan kepada mereka sebelum mengeluarkan pendapat atau fatwa. Keadilan mendengar hujah atau sebarang keterangan dari kedua-dua belah pihak yang terlibat perlu diutamakan supaya di masa-masa akan datang Majlis Fatwa Kebangsaan ini tidak lagi diperbodoh dan diperkudakan oleh pihak media dan dibonekakan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional.

Pisah agama dan politik tidak masuk syurga � sarjana Islam

KOTA BHARU, 19 Ogos: Siapa ekstrem, antara ulama yang mahu memperbetulkan aqidah umat Islam atau orang yang mengaku Islam namun tidak sedar aqidah tergelincir?



Aqidah yakni pegangan hidup seseorang muslim. Ia akan menjadi rosak apabila mereka tidak yakin hukum hakam yang diturunkan oleh Allah kepada umat manusia.



Sedangkan dalam surah Al Maaidah:49 Allah berfirman yang bermaksud;



"Engkau hukumlah antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah engkau turut hawa nafsu mereka dan berwaspadalah terhadap mereka supaya jangan mereka menyesatkan engkau dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepada engkau.



"Jika mereka berpaling, ketahuilah bahawa hanya Allah mengkehendaki supaya mereka ditimpa seksaan kerana sebahagian dosa mereka sendiri. Sesungguhnya kebanyakan manusia orang-orang fasik."



Maka sesiapa yang engkar terhadap suruhan agama itu ianya secara jelas menzalimi dirinya sendiri.



Bekas pensyarah kanan pengajian Islam UKM, Dr Muhammad Muhd Daud berkata, sesiapa yang menolak ajaran yang terkandung dalam al Quran secara jelas telah tergelincir aqidahnya.



"Misalnya tindakan mengasingkan politik dan agama dalam pentadbiran negeri atau negara ia boleh merosakkkan aqidah seseorang.



"Begitu juga pemerintah yang beragama Islam tetapi tidak mahu melaksanakan hukum yang ditetapkan agama dan lebih parah lagi apabila pihak yang mahu melaksanakan Islam cuba dihalang melalui kuasa yang mereka miliki," katanya di sini.



Akhbar hari ini melaporkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ekstrem apabila menganggap dasar yang dibawa Umno (pisahkan agama dan politik) tidak akan membawa ahlinya ke syurga.



Ekoran itu pelbagai pihak mengecam Menteri Besar Kelantan itu. Antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilaporkan menyebut tiada nas dalam al Quran dan Hadis mensyaratkan seorang itu perlu menjadi ahli sesuatu parti sebelum boleh masuk syurga.



Dr Mohamad yang juga Adun Tendong berkata, dalam situasi sekarang semua orang tahu pihak mana yang berjuang mendaulatkan Islam dan kumpulan mana yang meminggirkan Islam.



Menurutnya pihak yang bersekongkol dengan pemerintah yang tidak ada cita-cita untuk menegakkan agama Islam tentunya akan lebih jauh daripada mendapat balasan syurga.



Bekas pemimpin pelajar Melayu di Universiti Al Azhar Mesir, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, apabila sesebuah parti itu memisahkan politik dan iman sudah tentu ia tersasar jauh daripada landasan Islam.



"Politik adalah sebahagian amalan dalam agama. Ini kerana pada zaman Rasulullah saw masjid dijadikan pusat mentadbir, mengatur strategi perang dan mengurus zakat.



"Latihan perang juga diadakan di halaman masjid di zaman baginda. Dan usaha memisahkan agama dan politik dimulakan agama Kristian.



"Dalam agama Kristian orang kuat agama hanya dibenarkan berada di gereja dan pentadbiran negara diurus orang politik," katanya.



Beliau yang juga Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan berkata, apabila perkara pokok dalam Islam diketepikan sudah tentu ia merosakkan aqidah seseorang.



Dan katanya apabila aqidah rosak macam mana seseorang itu mahu mendapat balasan syurga di akhirat kelak.



Oleh itu katanya kenyataan Mursyidul Am PAS mengenai mana-mana pihak yang mendokong parti yang memisahkan agama dan politik tidak akan masuk syurga adalah tepat sekali. _



Sumber: http://harakahdaily.net

Pelajar cemerlang dapat banglow RM130,000


PENGKALAN CHEPA, 17 Ogos: Mungkin Kelantan menjadi negeri pertama di negara ini yang menghadiahkan seorang pelajar cemerlang SPM sebuah banglow berharga RM130,000.

Sebelum ini hadiah lumayan itu disebut kerajaan negeri memandangkan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18 merupakan pelajar cemerlang SPM peringkat negara.

Pencapaian pelajar terbabit iaitu 20A (19A1 dan 1A2) telah melonjatkan nama Kelantan dan Maahad Muhammadi Perempuan.

Dan hari ini replika kunci rumah banglow itu diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Abdullah kepada Nik Nur Madihah.

Hadiah berkenaan merupakan projek sosial Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui anak syarikatnya Binaraya dan Profil Impian yang berganding bahu membiayai rumah berkenaan dalam tempoh hanya dua bulan.

Rumah berkenaan dibina melalui Syarikat Mekar Mewah Sdn Bhd. Turut hadir pada majlis bersejarah itu Ketua Eksekutif PKINK, Haji Sabri Abdullah, Pengurus Besar Binaraya PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Abdul Rahman, serta beberapa pegawai kanan PKINK. Nik Nur Madihah ditemani kedua ibu bapanya, Nik Mohd Kamil Husin dan Mariani Omar serta adiknya.

Rumah banglo setingkat itu terletak di PT 1352, Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa.
Selain itu, Afza Carpet dan Handycraft Sdn Bhd turut menghadiahkan beberapa kelengkapan termasuk karpet. Mohd Amar berkata, rumah berkenaan diberikan sebagai melunaskan janji kerajaan negeri yang diumumkan Menteri Besar sebelum ini. _

Sumber: http://harakahdaily.net

“PERGINYA TAK KEMBALI LAGI”


WARKAH TAKZIAH...

Dewan Pemuda PAS Pusat mengucap Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham di atas pemergian Al Fadhil Ustaz Asri Ibrahim yang telah kembali kepangkuan Tuhan Rabbul Izzati. Semoga sabar dan tabah menghadapi ujian ini.

Pemergian beliau ini bukan sahaja dirasai oleh seluruh keluarga Allahyarham dan peminat beliau tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pendukung gerakan Islam, khasnya PAS.

Allahyarham Al Fadhil Ustaz Asri Ibrahim adalah sahabat lama saya semasa kami sama - sama merantau ke bumi Syam. Beliau seorang yang sangat istemewa dan memiliki suara emas.
Allahyarham pernah digelar jelmaan Bilal ibnu Rabah apabila beliau sering ditugaskan untuk mengumandangkan azan di markaz al Arqam Jordan dan juga dalam majlis - majlis rehlah kami apabila tiba waktu solat .

Allahyarham juga sangat konsisten membawa Islam melalui pendekatan Nasyid kontemporari bermula dengan kumpulan Nada Murni dan kini Rabbani. Semoga usahanya diterima Allah swt sebagai amal yang soleh.

Saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim dan permergian beliau adalah satu ketentuan Allah swt yang menyayangi hambaNya, moga bersabar di atas ujian getir ini dan kami juga seluruh ummat Islam sangat merasai kehilangan beliau. Sekali lagi semoga Allah swt merestuinya dan menempatkannya di Jannatul Firdaus.

Al Faatihah


USTAZ HJ NASRUDIN BIN HASSAN At TANTAWI
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Syair sendu buat Pok Su Weil - Cikgu Sulizi





Tuan Haji Ismail Yaakob @ Pok Su Weil
meninggal dunia pada 22 Mei 2009 jam 5.50 pagi

PERGI MENINGGALKAN LEGASI PERJUANGAN ISLAM
di
MANEK URAI


Kini ku redho Tuhan ambek Pok Su
Tak dok sapo seko dia gi dulu
Dalam senyum tawa kita tersedu
Pok Su pergi jua tinggal aku... tinggal aku

Pok Su duk pese
Pada kito semace
Maso duk bersembang
Lepas kito semaye
Kalu dia pulang mengadap Tuhan
Teruslah berjuangan untuk agama Islam
Apo hok mu pese... dalam ingatan ku
Tetap aku pege... pese pok su

Sejak pok su tinggal gi
Hati raso sungguh sepi
Dulu jupo tiap hari
Di segenap kedai kopi
Semua rakyat suka hati
Pok Su kito baik budi

Semua kenangan Pok Su dengan kito
Air mato berlinang sebak dada

Kini ku redho Tuhan ambek Pok Su
Tak dok sapo seko dia gi dulu
Dalam senyum tawa kita tersedu
Pok Su pergi jua tinggal aku...

Lepas semaye ku doakan
Al-Fatihah Pok Su sore
Siang malam ingat semace
Kasih sayang sore kawe
Sebagai tanda ingatan
Pada seorang pejuang

Mintok Tuhan trimo... segala amalan
Dio dik wat sokmo... siang malam

Kini ku redho Tuhan ambek Pok Su
Tak dok sapo seko dia gi dulu
Dalam senyum tawa kita tersedu
Pok Su pergi jua tinggal aku...

Kini Pok Su tiada lagi di dunia ini
MengadapIlahi Tuhan Rabul Izzati
Jaso dio bui ku simpan di hati
Buat kene diri bawa sapai ko mati

Wahai Tuhan ku
Ku mohon pada Mu
Silap saloh Pok Su ampun Pok Su.. ampun Pok Su

dunia haraki meratapi pemergian dr. fathi yakan

Dr. Fathi Yakan telah kembali ke rahmatullah pada 13 Jun 2009 pada hari sabtu yang lalu. Almarhum telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan arena dakwah dan meninggalkan kita semua. Almarhum telah menghembuskan nafas terakhir di hospital di ibu Kota Tripoli setelah beberapa hari terlantar di Unit Kawalan Rapi.

Nama penuh Fathi Muhammad ‘Inayah dilahirkan pada 9 Feb 1933 di Tarablus, Lubnan. Almarhum adalah sebagai pengasas Jemaah Islam (Parti Jabhah al-Amal al-Islami) satu cabang gerakan Ikhwan Muslimin di Lubnan bermula pada tahun 1950an. Dalam Parti Jabhah al-Amal al-Islami Almarhum dilantik sebagai Setiausaha Agung rakyat Lebanon daripada 1962 sehingga 1992 apabila beliau memenangi kerusi dalam parlimen. Almarhum telah mewakafkan diri serta segenap kepunyaan kepada Parti Jabhah al-Amal al-Islami sebagai wadah perjuangan dakwah Islamiyyah.

Survival dakwah Almarhum bukan bersifat setempat, malah nama dan pengaruh Almarhum berada sebaris dengan nama-nama besar pelopor gerakan Islam di peringkat global seperti Imam Hassan Al-Banna, Said Hawa, Dr. Abdullah Nasih Ulwan, Syed Qutb, Dr Yusuff Qardawi dan lain-lain. Almarhum juga dilantik mengetuai lajnah tarbiah dengan dibantu oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) dari Malaysia.

Cendekiawan Islam ini juga memainkan satu peranan signifikan dalam membaiki dan memagari antara parti politik dalam rantau. Almarhum pengantara antara persaudaraan Islam di Syria dan Presiden Bachar Assad. Almarhum juga memainkan tugas serupa antara Syria dan Turki di antara 1998 dan 1999 dalam bangun krisis Syria-Turkey.

Almarhum juga menebarluaskan wasilah dakwah dengan ketajaman mata pena. Bahan-bahan penulisan tokoh pendakwah dan pemikir ini lebih dari 35 buah buku dan begitu terpengaruh sekali sehingga buku karangan masyhur almarhum “Apa erti saya menganut Islam” dan “Almutasaqitun 'ala toriqidda'wah” (Golongan yg tercicir di jalan dakwah) diterjemah dalam pelbagai bahasa dunia. Banyak kitab haraki dan dakwah hasil nukilan almarhum antaranya:

· فقه السياحة في الإسلام ونماذج لرحلات دعوية قي أرض الله الواسعة
· مشكلات الدعوة والداعية،
· كيف ندعو إلى الإسلام؟
· نحو حركة إسلامية عالمية واحدة
· الموسوعة الحركية
· ماذا يعني انتمائي للإسلام؟
· حركات ومذاهب في ميزان الإسلام،
· الاستيعاب في حياة الدعوة والدعاة
· ، نحو صحوة إسلامية في مستوى العصر
· ، المناهج التغييرية الإسلامية خلال القرن العشرين،
· الإسلام فكرة وحركة وانقلاب،
· الشباب والتغيير،
· المتساقطون على طريق الدعوة،
· أبجديات التصور الحركي للعمل الإسلامي
· قطوف شائكة من حقل التجارب الإسلامية


Pendidikan awal beliau dalam bidang kejuruteraan eletrik di Beirut kemudian mengambil pengajian diperingkat ijazah kedoktoran dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Almarhum berkongsi hidup bersama isterinya Dr Muna Haddad Yakan dan bersama-sama isterinya mengasaskan Universiti Al-Jinan Lubnan dimana Dr Muna bertugas sebagai rektor di universiti tersebut. Daripada berkongsi hidup ini mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki dan 4 anak perempuan serta 19 orang cucu.

Sekalung takziah diucapkan kepada ahli keluarga Almarhum moga-moga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t. ditempat dan dibangkitkan bersama pejuang-pejuang Islam..Amin ya Rabb…

Al- Fatihah...

satu catatan - ta'adud jemaah part 2

Al-Quran kitab sebagai petunjuk yang sempurna lagi universal. Terkandung di dalamnya prinsip-prinsip akidah, asal-asal peraturan bermasyarakat, garis-garis besar syariat, prinsip-prinsip perintah dan larangan. Persoalanya apakah umat ini mengamal dan melaksanakan setiap juzu’ yang dinukilkan di dalamnya?

Secara zahiriah umat Islam telah mengamalkan semua tuntutan kitab Al-Quran. Namun setelah dikaji dan diteliti rupa-rupanya banyak lagi perinsip-prinsip perintah dan larangan masih belum selesai. Firman Allah yang bermaksud: (Al-Imran: 105)

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisih faham (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata ( yang dibawa oleh Nabi-Nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar”

Ini adalah satu larangan Allah s.w.t. menegah hamba-hambanya yang muslimin dari menyerupai kelakuan orang-orang yang berpecah-belah dan berselisih faham dalam urusan agama dari kaum ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani mereka itu akan mendapat seksa sengsara azab yang amat besar.

Gambarkan bertapa sukarnya azab sengsara Allah s.w.t. yang dia sendiri telah mengsifatkan sebagai azab sengsara yang amat besar itu. renungkan dan carilah jalan yang boleh menyelamatkan kita daripada azab sengsara itu. Moga Allah s.w.t. memberi rahmatkepada kita semua, iaitu tiada lain kecuali dengan berpegang teguh kepada Al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w. Menjauhkan diri dari perkara-perkara yang menyesatkan dan perbuatan bid’ah. Memelihara diri dari pendapat-pendapat yang bakal membawa kepada perpecahan umat dan di antara kaum Muslimin.

Sebelum anda dihanyut arus prasangka, biarlah saya hulurkan beberapa point untuk anda berpaut dari terus dibawa arus deras. Di Mesir, Jemaah induk yang pertama adalah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ditubuhkan pada tahun 1930. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebuah jemaah yang menjaga kebajikan anak-anak Melayu di Mesir, perjuangannya mendasari Al-Quran dan As-Sunnah. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berusaha sedaya upaya mendalami dan melaksanakan segala bentuk kesyumulan Islam sesuai dengan kehendak syarak. Realiti ta’adud jemaah di Mesir, di sini terdapat hampir lebih 70 buah jemaah atau persatuan anak Melayu saling tidak bersatu, mementingkan pendapat dan hala tuju masing-masing. Tidak boleh bersatu dibawah satu naungan (PMRAM). Hanya beberapa buah Badan Kebajikan Anak-anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) sahaja yang bernaung di bawah (PMRAM). Jadi dengan point-point di atas, tiada lagi alasan untuk jemaah baru seperti JIM, ABIM, ISMA, NADI UMNO dan Agen-Agen tertentu wujud dan bertapak di bumi Mesir ini. Ada yang beralasan mad’u kita ramai, sudah pastu memerlukan banyak jemaah. Ya benar, perlu kepada jemaah yang banyak. Persoalannya kenapa tidak boleh bersatu bersatu dibawah satu naungan iaitu PMRAM?

Ta’adud jemaah yang bersifat saling bertentangan dan tidak bersatu di bawah satu payung adalah satu kemungkaran. Kerana Allah s.w.t. melarang dan menegah berlakunya perpecahan. Tidak dapat tidak setiap orang Islam wajib memeranginya. Lidah ma’sum Rasulullah s.a.w. telah bersabda bermaksud:

Barang siapa yang melihat kemungkaran (jahat) di antara kamu, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika tidak berkuasa maka dengan lidahnya, jika tidak berkuasa, maka dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.

Artikel ini bukan untuk menghujum mana-mana jemaah baik dari JIM, ABIM, ISMA, NADI UMNO dan Agen-Agen tertentu. Artikel ini merupakan kewajipan setiap muslim memperbetulkan kesilapan dan mengubah perkara-perkara jahat dan mungkar sebagaimana sabda Nabi s.a.w di atas. Ia merupakan kewajipan dan satu tuntutan agar umat Islam mesti bersatu padu.

Tidak memahami maksud kata-kata sahabat Rasulullah s.a.w menyebabkan jemaah-jemaah pemecah belah ini selesa dengan keadaan mereka sekarang. Mereka mengambil takrifan sahabat bagi mempertahankan hujah boleh untuk berpecah belah tanpa ada jemaah yang satu:

Abdullah bin Mas’ud: Jemaah ialah apa yang menepati kebenaran walaupun anda berseorangan diri

Telah diketahui umum, takrifan ini ditujukan kepada umat akhir zaman. Di akhir zaman nanti umat Islam akan berpecah dengan sangat teruk sehingga tiada boleh berjemaah lagi. takrifan tidak sesuai pada zaman sekarang kerana kita masih ramai dan masih boleh berjemaah. Jika kita bersatu di bawah satu naungan kita dapat mengumpulkan satu kekuatan. Kemudian dengan kekuatan itu Islam dapat ditegak dan dibangunkan tanpa ada halangan dan ancaman. Tidakkah anda takuti menjadi penyebab kepada lambatnya kemenangan di pihak Islam? Relakah anda melihat orang-orang kafir bergembira dengan umat Islam yang sentiasa berselisih sesama sendiri?

Jemaah-jemaah ini tidak memahami makna “perpecahan” itu sendiri. Makna perpecahan kalau ditanya budak sekolah rendah pun tahu. Tapi inilah yang berlaku belajar di peringkat universiti pun masih kabur maksud perpecahan. Pada pandangan mereka orang yang berhujah mempertahankan perpecahan dan mempertahankan jemaah yang asal adalah pemecah belah kesatuan. Pertimbangan akal mereka sudah senget sebelah. Mereka tidak sedar bahawa berpecah dengan jemaah induk atau asal itu bermula segala-galanya punca perpecahan yang melahirkan benih-benih perpecahan yang berpanjangan.

Saya seringkali berbahas dalam masalah ini dengan mereka-mereka yang begitu tegar dengan pemikiran sempit mereka. Mereka mempersoalkan kenapa jemaah yang sudah lama matang (PMRAM) takut dan rasa tergugat dengan jemaah yang baru? Saya tegaskan bukan masalah tergugat dan takut. PMRAM tidak pernah tergugat dan takut dengan wujudnya pelbagai jemaah. Tetapi PMRAM menentang perpecahan. Ini masalah perpecahan bukan masalah gugat tak gugat. Perpecahan adalah satu kemungkaran!!! Wajib setiap orang memeranginya.

Lidah ma’sum baginda ada besabda:
“berjemaah itu satu rahmat dan berpecah itu satu azab”?

Lidah ma’sum baginda ada besabda lagi:
“Kalau ada dua khalifah yg dibai’ahkan, maka bunuhlah salah satu daripadanya”….

Apabila dipatahkan hujah mereka maka berbunyilah suara-suara yang tidak ilmiah “anda berjuanglah dengan dalil anda, kami berjuang dengan dalil kami” beginikah cara golongan intelek berdepan dengan kebenaran? Sepatutnya menerima dan berubah kearah yang lebih baik dan matang. Dasar perjuangan anda yang tertutup ini saya yakin kebenaran tidak akan datang menemui anda kerana anda menolak kebenaran. Saya berhak katakan “Hujah anda Vs Hujah Islam”.

Saya tidak akan berhenti menulis berkenaan masalah Ta’adud Jemaah ini selagi mana ada di sana kecelaruan dari sudut pemahaman. Part demi part akan muncul kerana kita semua telah mengaku redha bahawa Allah s.wt sebagai Tuhan, redha Islam sebagai agama, redha Muhammad s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul. Kita juga mempercayai Al-quran sebagai pegangan, mempercayai Ka’bah sebagai kiblat, mempercayai orang mukmin sebagai saudara seagama, mempercayai Qadha’ dan Qadar, baik dan buruknya. Mempercayai hari kiamat akan tiba, mempercayai agama yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w dari Tuhan. Di atas semua ini insyaAllah kita akan dibangkitkan bersama-sama golongan orang yang terselamat. Dengan kurniaMU wahai Tuhan, aku memohon, Ya Rabbal-a’lamin..