Kias dinaik taraf jadi kolej universiti

KOTA BHARU, 7 Jun (Hrkh) - Kerajaan di bawah kepemimpinan ulama di Kelantan maju setapak lagi apabila Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) akan dinaik taraf menjadi kolej universiti tidak lama lagi.


Kias pada peringkat awal diwujudkan iaitu pada 1993 dikenali sebagai Maahad Dakwah Wal Imamah dan beberapa tahun kemudian dinaik taraf menjadi Kias.


Kias menawarkan program ijazah berkembar dalam bidang Syariah dan Usuludin dengan beberapa universiti di luar negara.


Manakala pengajian di peringkat diploma pula dalam bidang Syariah, Usuludin dan Dakwah Wal Qiadah.


Dan tidak lama lagi Kias akan dikenali sebagai Kolej Universiti iatu setanding dengan Kolej Universiti Insaniah di Kedah dan Kolej Universiti Islam Selangor.



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, kolej universiti berkenaan akan dibangunkan di kampus induk di Nilam Puri.


"Bagi menjadikan Kias sebagai sebuah kolej universiti beberapa kriteria ditetapkan kerajaan mesti dipenuhi, antaranya mempunyai perpustakaan dan dewan kuliah yang mencukupi.


"InsyaAllah tahun hadapan Kias akan dinaik taraf menjadi kolej universiti dan pengambilan pelajar pertama dengan status kolej universiti akan dilakukan," katanya di sini.


Kias terletak kampus induk di Nilam Puri bersebelahan dengan pejabat Yayasan Islam Kelantan (Yik). Yik mempunyai kemudahan pejabat, asrama pelajar dan sebuah dewan.


Mohd Amar berkata, pejabat Yik akan dipindahkan ke Pengkalan Chepa dan pembinaan bangunan pejabat baru akan dilaksanakan membabitkan kos sebanyak RM5 juta.


"Pemindahan pejabat Yik ke Pengkalan Chepa dibuat memandangkan bangunan Yik di Nilam Puri akan diserahkan sepenuhnya kepada Kias," katanya.


Menurutnya juga Kias sehingga kini merupakan antara institusi pengajian tinggi swasta terbaik dalam bidang agama di negara ini.


Katanya juga Kias sekarang mempunyai tujuh pensyarah yang berkelulusan di peringkat PhD dan ramai tenaga pengajar mempunyai kelulusan di peringkat sarjana.


"Bagi memenuhi kriteria kolej yang bertaraf universiti juga tiga kursus baru akan diperkenalkan iaitu Kejururawatan, Komunikasi serta Muamalat dan Ekonomi Islam," katanya.


Beliau juga berkata, Kias juga sekarang mempunyai ramai pelajar dari luar negara termasuk China, Thailand dan Indonesia. - mj _

0 comments:

Post a Comment