KOTA BHARU, 9 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini memberitahu kerajaan negeri itu juga akan menolak program Biro Tata Negara (BTN) selagi ianya tidak diubah pada dasar Islam.
Ianya sejajar dengan tindakan negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) yang lain seperti Selangor dan Pulau Pinang yang menharamkan program berkenaan kepada semua kakitangan dan pegawai kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian kepada media pada sidang media di pejabatnya hari ini bagi mengulas isu BTN yang kini hangat masih hangat diperkatakan.
Nik Aziz bagaimanapun berkata, beliau bersetuju dengan program berkenaan sekiranya kurikulum BTN dirombak mengikut acuan Islam demi untuk kepentingan semua pihak, berbanding apa yang ada sekarang lebih pada penekanan bangsa.
Jelasnya, rombakan itu mesti diubah dalam semua aspek yang berkaitan dengan Islam, sama ada dari segi ekonomi, social, budaya atau sebagainya.
“Memang Malaysia sebuah negeri yang berbilang bangsa, namun Islam tidak mengutamakan bangsa di muka dunia ni dan tidak ada yang terlebih daripada bangsa lain di sisi Allah, begitu juga bangsa Arab.
“Walaupun Nabi Muhammad dari bangsa Arab, tetapi Islam tidak meletakkan bangsa Arab melebihi daripada bangsa lain.
"Kalau bangsa Arab tidak ada kelebihannya, bangsa lain seperti Melayu contohnya apa peliknya,”ujarnya.
Oleh yang demikian, tambahnya BTN yang telah lama menggunakan medan berkenaan untuk menghasut rakyat supaya membenci bangsa lain atau sebagainya, perlu dirombak mengikut acuan Islam.
Katanya, sebelum ini beliau tidak mempunyai ruang untuk bersuara, hanya menegur secara umum berhubung kurikulum yang terdapat dalam program BTN itu.
“Tetapi sekarang ni, peluang tu makin terbuka, makin terbuka dan makin terbuka pekungnya yang dibuat oleh umno sendiri,”ujarnya.
Pada masa yang sama, BTN sewajarnya mengadakan forum khas bagi bincangkan soal ekonomi, social bangsa sama ada menyentuh soal masyarakat Cina atau Inggeris, namun mesti mengikut acuan Islam.
Sambungnya, dunia barat hari ini telah mengiktiraf Islam terutamanya soal ekonomi sehingga meyakini ekonomi agama suci itu benar-benar menjamin keselamatan manusia.
“Bila dunia dilanda oleh ekonomi merundum, orang Eropah sendiri sudah mengakui sistem ekonomi Islam ini lebih kukuh, lebih baik berbanding dengan system yang ada di dunia ini dan sebagainya,”ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, walaupun masih terdapat sistem ekonomi yang boleh diperbaiki, tetapi mereka mengakui ekonomi Islam lebih baik.
Ekoran kegagalan sistem ekonomi itu juga menyebabkan ramai tokoh ekonomi itu membunuh diri.
Katanya, hal ini berlaku ekoran daripada pemikiran yang buntu akibat sistem ekonomi riba yang hanya menggunakan spekulasi semata-mata.
Sedangkan, tambahnya jalan tersebut salah bagi fitrah manusia di mana yang kaya makin kaya, yang miskin semakin miskin.
Beliau bagaimanapun berkata, oleh kerana Umno yang menguasai kepimpinan negara yang menolak Islam, terlalu sukar untuk diubahnya.
“Yang ada untuk memudahkan ianya berjaya dibuat, pilihan raya 13 ni, jangan undi Umno dan BN, sebaliknya undi parti Islam dan pakatan rakyat,”ujarnya.
Sumber: http://www.harakahdaily.net
0 comments:
Post a Comment