ROYALTI: KENAPA KELANTAN DILAYAN BERBEZA?





Perjuangan Kelantan mendapatkan hak royalti petroleumnya kecundang sekali lagi di Mahkamah Rayuan di hadapan tiga Hakim, Khamis, 26 April 2012. Walaupun perjuangan belum berakhir dan perbicaraan sebenar belum bermula, keputusan Mahkamah itu terasa luka.

Isnin sebelumnya, The Edge Financial Daily dalam laporan muka depannya menyebut Kerajaan Terengganu telah menarik balik saman yang sama terhadap Petronas dan Kerajaan Malaysia yang difailkan semasa Terengganu diterajui oleh TG Hj Abdul Hadi Awang, tepatnya pada tahun 2001.

Sebelas tahun berlalu, penyelesaian luar Mahkamah dikatakan telah dimeterai. Saman itu ditarik balik. Namun, terma sebenar penyelesaian itu tinggal sebagai teka teki.

Bertolak dari laporan itu, Peguam Kerajaan Kelantan - sehari selepas laporan itu keluar - menfailkan afidavit tambahan memohon Mahkamah mengarahkan terma penyelesaian Terengganu-Petronas-Persekutuan didedahkan dan penyelesaian serupa dilakukan oleh Petronas-Persekutuan terhadap Kelantan.

Mahkamah menolak permohonan ini. Pilu terasa menusuk dada. Aduhai, Malaysiaku!

Petronas menfailkan afidavit balas menerusi Naib Presiden Bahagian Perundangan Petronas, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin. Dalam afidavit balas itu, Petronas mengesahkan saman Kerajaan Terengganu telah ditarik balik.

Namun, kata Petronas, penarikan balik itu berlaku tanpa sebarang penyelesaian direkodkan antara Petronas dan Kerajaan Terengganu.

Pada masa yang sama, sepanjang perbicaraan semalam (Khamis, 26 April 2012) Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Malaysia tidak pula menfailkan sebarang afidavit balas. Wakil Peguam Negara mengambil sikap berdiam diri dalam isu ini dan langsung tidak menyentuh mengenainya.

Apa yang dilakukan ialah trik penyelesaian tiga segi - Kerajaan Malaysia, Kerajaan Terengganu dan Petronas secara sembunyi. Penyelesaian langsung antara Kerajaan Terengganu dan Petronas tidak dilakukan, antara lain bagi mengelakkan ia digunakan dalam kes Kelantan.

Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan mengambil alih tugas dan beban kontrak Petronas dengan Petronas membuat pembayaran kepada Terengganu melalui Kerajaan Persekutuan. Petronas seakan tidak tahu menahu ke mana wang 10% yang dibayarnya kepada Kerajaan Persekutuan digunakan.

Kerajaan Persekutuan bersetuju membayar semula royalti atau bayaran tunai wajib kepada Kerajaan Terengganu, bagi pihak Petronas. Petronas membayar 10% bayaran royalti kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Persekutuan menggunakan bahagian 5% untuk dibayar kepada Terengganu dan 5% lagi adalah kekal sebagai bahagian Kerajaan Persekutuan.

Dengan cara ini, Petronas seolah tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan penyelesaian yang dicapai dan dengan itu, boleh mengelakkan penyelesaian yang sama dengan Kelantan.

Trik ini mendedahkan;

1. Pihak yang berkaitan tidak jujur kepada sebahagian rakyatnya, dalam hal ini, rakyat Negeri Kelantan. Pada waktu Terengganu yang dikuasai oleh BN, bayaran dibuat dengan cara pengaturan segitiga itu, rakyat Kelantan terus dinafikan haknya.

Jika pihak-pihak ini jujur, kenapa tidak penyelesaian itu dilakukan secara telus dan straight forward kerana sememangnya perjanjian adalah antara Kerajaan Negeri-Negeri dan Petronas dan bukannya antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Kenapa ia tidak diumumkan?
Kenapa semua pihak berdiam diri?

2. Tindakan pembatalan royalti selama ini, dalam kes Terengganu dan penafiannya, dalam kes Kelantan, menunjukkan ia adalah satu tindakan yang salah, silap dan membelakangkan undang-undang sehingga akhirnya, bayaran dibuat semula kepada Terengganu.

3. Slogan One Malaysia adalah kosong. Adanya amalan diskriminasi antara negeri, seperti Kelantan. Waktu yang sama, negeri yang lain dilayan lebih istimewa.

4. Sekalipun Petronas menafikan ia sedar adanya penyelesian itu, kelak, penyata akaunnya akan menunjukkan jumlah bayaran yang dilakukan bagi tujuan itu, melalui jumlah yang terlibat, sekalipun terlebih dahulu disalurkan melalui Kerajaan Persekutuan. Adakah integriti Petronas sebegitu murah di mata dunia?

5. Petronas bercakap benar menerusi afidavitnya bahawa ia tidak tahu menahu sebarang penyelesaian dibuat? Apa implikasinya jika afidavit itu tidak benar dan mengelirukan Mahkamah?

5. Di manakah hati perut dan perasaan bertimbang rasa atas apa yang berlaku mengikut undang-undang dan semangat good governance yang sewajibnya dijunjung pihak-pihak ini?

Semoga Allah memberikan ketabahan hati kepada rakyat Kelantan dan hak mereka terus diperjuangkan sehingga keadilan berjaya ditegakkan. Lambat atau bangat. Serta bumi Malaysia melindungi semua penguninya dengan penuh saksama dan berkasih sayang.

Dato’ Husam Hj Musa
27 April 2011

4 comments:

sfasdf

 

dfgdfsgdfg

 

Post a Comment