Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menelusuri aliran sejarah dan menempuh arus kematangan yang kadangkala menoktahkan kepedihan di atas lembaran jasadnya. Namun, PMRAM yang didokongi ummah mahasiswa terus melebarkan sayap menaungi budaya kemahasiswaan dan kebajikan ahlinya. Dalam derap langkah mengusung Deen Islami ke puncak asal, seringkali menelusuri pelbagai cabaran, dugaan, rintangan dan menuntut pengorbanan yang jitu dalam jerih menggapai impian lantaran paluan ganas badai jahiliyyah dan rempuhan padu arus sekular meroboh benteng aqidah, syariat serta syaksiah ummah.
Menyingkap kembali jendela sejarah PMRAM yang merupakan satu persatuan yang menaungi anak-anak Melayu di bumi anbiya' ini, membuktikan bahawa persatuan yang didokongi bersama oleh mahasiswa Malaysia ini masih tetap utuh biarpun kadangkala ada pihak-pihak tertentu yang cuba untuk menyangkal kesatuan yang ada dan usaha-usaha pihak tertentu untuk menghapuskan PMRAM.
Menyorot kembali sejarah awal pertubuhannya, perubahan demi perubahan dilakukan pada namanya. Pada awal penubuhan (tahun 1930-an) PMRAM menggunakan nama putera-putera Semenanjung (PPS) yang diketuai oleh Tuan Amir Nuruddin dari Perak sebagai Yang Di Pertua. Kemudian pada tahun 1953 PPS telah ditukar secara rasmi dengan nama Persekutuan Melayu Mesir (PMM). Nama PMM ini pula telah ditukar kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu (PMRAB) pada tahun 1965 dan sekali lagi, nama PMRAB mengalami perubahan. Diganti dengan nama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Setelah sekian lama PMRAM berperanan menaungi seluruh anak-anak negeri jua muhafazoh, tanpa disedari kini PMRAM telah meniti usia kematangan. 76 tahun bukanlah satu usia yang mudah bagi sesebuah persatuan untuk bertapak sebegitu lama. Namun ia memerlukan semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan keunggulan dan ke'izzahannya.
Berslogankan “Julang Thaqafah Bakti Dicurah” PMRAM cuba menyuntik semangat juang dan pengorbanan di kalangan mahasiswa Al-Azhar dan Perubatan dalam usaha mengembalikan sensitiviti mereka terhadap peranan dan tugas sebenar mereka kepada agama, bangsa dan tanahair tercinta.
Mahasiswa merupakan pelapis kepimpinan di dalam menangani polemik sosiopolitik semasa. Perjuangan dan peranan mereka perlu dinilai sebagai aset penting di dalam pembangunan negara dan masyarakat.
Justeru, mahasiswa selaku bakal pemimpin negara dan penggerak massa seharusnya menyedari peranan yang mesti dimainkan oleh mereka di dalam menentukan arah tuju masyarakat dan membawa mereka kepada penghayatan manhaj Islam yang sebenar.
Justeru, selaku mahasiswa Al-Azhar dan Perubatan yang terpimpim dengan asas keislaman , keimanan dan pengorbanan, marilah kita melahirkan rasa kecintaan kepada PMRAM bersama-sama berganding bahu mendokongi aspirasi perjuangan ummah dalam menentukan arah tuju, suara dan tindakan mahasiswa Islam yang berpayungkan aqidah Islamiah yang satu sebagai merealisasikan tuntutan-tuntutan dasar yang dibawa berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah.
Diubahsuai dari artikel asal: Ustazah Habibah Binti Tajau Rahim & Ustazah Nurul Huda Binti Abd.Manaf
0 comments:
Post a Comment