Teks Ucapan Penuh Pada Malam Pelancaran Bersih—19 Jun, 2011.



“Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.

Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?

Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.

Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam. Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan “siasah” yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat.

Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani.

Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.

Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.

Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.

Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.

Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.

Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika. Kata Sam Adams: “It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people’s minds.”

Kita nyalakan unggun api itu pada malam ini!”

(Perhatian: Kerana dibataskan masa hanya seminit seorang, maka saya yang mewakili GMP, hanya sempat membacakan dua perenggan terakhir teks ucapan ini.—A. SAMAD SAID).



Ringkasan Sidang Dun Kelantan


1.Kerajaan Tegaskan tiada tanah rakyat diambil bagi Ladang Rakyat



Kerajaan Negeri hari ini menegaskan sehingga kini seluas 50, 706 ekar tanah milik kerajaan negeri telah diusahakan oleh Perbadanan Ladang Rakyat melalui perkongsian dengan syarikat swasta dan sehingga hari ini sejumlah RM44.6 juta lebih telah dibayar dividen kepada peserta Ladang Rakyat. Demikian dijelaskan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato Ahmad Yakub ketika menjawab soalan asal dari Haji Hassan Mahmood ( PAS-Tawang).

Menurut beliau lagi usaha kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan tegar telah berhasil setelah diadakan Ladang Rakyat kerana peserta yang terlibat telah berjaya dikeluarkan dari kategori miskin tegar.

Beliau juga berkata mengikut kajian yang dibuat oleh kerajaan negeri kadar kemiskinan tegar telah menurun pada setiap tahun seperti tahun 2006 ialah 10.6 peratus sedangkan pada tahun 2009 ia hanyalah sekadar 4.8 peratus sahaja.


2.Penggunaan Emas dinar perlu diperluaskan


Langkah kerajaan Kelantan memperkenalkan dinar emas dan dirham sepuluh tahun lepas kini sudah menampakkan hasil yang memberangsangkan. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Dato Hussam Musa ketika menjawab soalan Adun Bukit Tuku( PAS ) Abdul Fatah Haron menjelaskan sehingga kini dalam tempoh sepuluh bulan sejumlah RM21juta sudah terjual dengan purata RM2juta sebulan.

Husam juga menegaskan kerajaan menjangkakan penjualan dinar dan dirham ini akan meningkat kepada RM5juta sebulan hasil peningkatan emas di pasaran.

Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan dari Adun Tawang Hassan Mahmood(PAS), husam menjelaskan sehingga kini hanya dua buah anak syarikat kerajaan negeri yang menggunakan dinar dan dirham dalam urusan mereka dan pihak kerajaan kini sedang giat memberi penjelasan kepada anak-anak syarikat agar menjadikan emas dinar dan dirham sebagai salah satu kegiatan ekonomi mereka.


3.Campurtangan politik salah disisi konvensyen sukan dunia.


Kerajaan Kelantan hari ini diberitahu penglibatan politik dalam bidang sukan di negara ini amat memalukan dan ia menyalahi konvesyen sukan dunia, demikian dijelaskan oleh Adun Pulai Chondong (PAS) Zulkifli Mamat ketika sessi soal jawab di antara beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Abdul Fattah Mahmood .

Zulkifli menegaskan amatlah janggal sekiranya kerajaan Pusat yang berlainan fahaman politik sering menganaktirikan Kelantan dalam pembangunan sukan dan ini amat bercanggah dengan hasrat dunia agar politik tidak dicampur adukkan dalam bidang sukan.

Sementara itu Abdul Fattah ketika menjawab soalan lisan berkata sehingga kini Kelantan masih lagi dinafikan hak untuk mendapat bantuan bagi pembangunan sukan, malah ia sering disalurkan melalui agensi kerajaan persekutuan seperti Jabatan Belia dan Sukan.

“ Kelantan adalah satu-satunya negeri yang ingin membina sebuah stadium baru tetapi tidak mendapat bantuan dari kerajaan pusat dan ini menjelaskan perbezaan politik masih lagi diambil kira oleh kerajaan pusat” ujar beliau.

Bagi Adun Kuala Balah, Abdul aziz Derashid(BN) tindakan campurtangan politik tersebut diakui beliau dan mengakui bahawa saluran bantuan bagi pembangunan sukan negeri ini disalurkan terus kepada pihak berkenaaan tanpa melalui kerajaan negeri.


KOTA DARULNAIM

Teknik Takutkan Rakyat untuk Halang BERSIH 2.0

1. Hasrat aspirasi rakyat untuk memastikan proses pelantikan pemimpin negara menerusi lunas demokrasi dan pilihanraya yang adil serta telus sukar diterima oleh sebuah kerajaan yang angkuh. PAS bersama semua parti politik pembangkang serta NGO yang menganggotai koalisi BERSIH, bersiap sedia untuk berhimpun secara aman tanpa senjata untuk menyerahkan memorandum khas kepada Yang Di-Pertuan Agong.

2. Kerajaan perlu jelas bahawa himpunan yang akan diadakan pada 9 Julai ini ialah satu himpunan AMAN. Ia diambil daripada ruh demokrasi yang diperuntukkan dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia. Ini bermakna, perlembagaan yang dijunjung oleh seluruh rakyat Malaysia telah menjamin dan membenarkan hak yang diberikan kepada mereka. Oleh yang demikian, BERSIH tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

3. Selain daripada mensinonimkan himpunan aman dengan himpunan haram dan himpunan yang boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan, seolah-olah satu lagi teknik yang dicipta untuk menyekat himpunan aman iaitu teknik ‘TAKUTKAN RAKYAT’.

4. Teknik ‘TAKUTKAN RAKYAT’ ini dilihat sebagai satu ugutan untuk menafikan hak berhimpun rakyat. Daripada pemerhatian yang dibuat, kami mendapati;

a) Pada 13 Jun 2011, PERKASA secara agresif akan turun ke jalan raya bagi membentuk satu kumpulan untuk bertembung dengan kumpulan BERSIH. Ini bertujuan bagi meningkatkan sentimen tidak aman pada 9 Julai nanti.

b) Pada 15 Jun 2011, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar memberi amaran untuk tidak mengeluarkan permit termasuk membuat tangkapan awal sebagai langkah pencegahan.

c) Pada 17 Jun 2011, Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) pula mencadangkan kepada pihak polis supaya mengambil tindakan yang lebih tegas dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada perancang himpunan aman BERSIH 2.0.

d) Pada 18 Jun 2011, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim telah mengaitkan serangan siber atau godam terhadap laman web kerajaan bermotifkan politik dan mempunyai kaitan dengan BERSIH.

e) Pada 18 Jun 2011 juga, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pula telah cuba memiripkan himpunan aman BERSIH 2.0 umpama himpunan rakyat yang dilakukan secara besar-besaran pada tahun 1998. Dia bermaksud himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini tidak mustahil boleh berlaku huru hara dan pelbagai ancaman provokasi.

f) Pada 19 Jun 2011, Timbalan Perdana Menteri mendakwa himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan untuk membangkitkan kemarahan rakyat seterusnya menjatuhkan kerajaan sah hari ini.

g) Pada 19 Jun 2011 juga, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menuduh bahawa BERSIH 2.0 tidak harus mencontohi perhimpunan rakyat di negara Asia Barat seperti Mesir, Syria dan Libya.

5. Mereka cuba menafikan hak rakyat yang telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka, kedaulatan undang-undang tersebut telah dicemari. Malah, apa yang diamalkan oleh kerajaan adalah undang-undang rimba. Ingat, kerajaan yang angkuh dan menggunakan kuasa fizikal untuk menekan hak rakyat tidak akan selama-lamanya berkuasa. Rakyat tidak boleh disekat kerana akal, budi dan jiwa mereka sebenarnya bebas.

NASRUDIN HASSAN

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Saudara/ri yang ku cintai kerna Allah..

DR. Majdi Al-Hilali

Wahai Saudara/ri.. yang mendekatkan diri kepada Allah dengan cinta-Nya

Ingatkan aku apabila aku melupai-Nya

Ingatkan aku dengan Allah apabila aku melupainya dan sibuk dengan yang selain-Nya

Ingatkan aku dengan kematian sekiranya aku lalai kepadanya

Ingatkan aku dengan hakikat dunia yang tiada beruntung jika aku mencintainya dan mengejarnya

Ingatkan aku dengan hak-hak dakwah jika aku meninggalkannya dan peri penting keterikatan kita dengannya dan dengannya kita mulia, ia membina dan mengubah kita..

Ingatkan aku dengan masjid, solat berjemaah dan saf pertama jika aku tidak kelihatan disana

Ingatkan aku dengan sunnah Rasulullah saw sekiranya kalian melihat aku jauh daripadanya.

Ingatkan aku dengan ayat-ayat al-Quran dan kalam-kalam saidina al-Ma’sum. Ingatkan aku dengan wirid ma’thurat dan rabitoh jika aku mencuainya.



Pesanan2 di atas adalah sebahagian daripada risalah kecil Dr. Majdi Al-Hilali bertajuk RISALAH ILA AKHI FILLAH.. dalam proses penterjemahan.. doakan semoga Berjaya..


DR. Majdi Al-Hilali.. Pendakwah dan Penulis Buku dari Jemaah Ikhwan Muslimin, Mesir

Dun Kelantan lantik Dr Johari Mat sebagai senator


KOTA BHARU, 21 Jun: Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Datuk Dr Johari Mat (gambar) dipilih sebagai Anggota Dewan Negara (Senator) bagi menggantikan Senator Rosli Ibrahim bermula awal Julai ini.

Perlantikannya diumumkan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dalam Sidang Dun Kelantan semalam setelah ianya dicadangkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Cadangan itu disokong oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakob dan mendapat sokongan Anggota Dewan Undangan Negeri yang lain selepas diundi.

Dr Johari Mat yang dilahirkan pada 28 April 1952, merupakan anak jati negeri Kelantan.

Johari ketika ditemui mengucapkan terima kasih pada kerajaan negeri kerana memilihnya menggantikan kekosongan itu.

Katanya, beliau akan membawa hasrat kerajaan negeri untuk membela nasib rakyat tanpa mengira kaum.

“Ianya adalah sebahagian asas yang dipertanggungjawabkan oleh setiap

pemimpin yang beragama Islam,” ujarnya.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan (1960 – 1961), kemudiannya ke Sekolah Menengah Arab Ihsan, Tanah Merah, Kelantan (1963 – 1969) dan seterusnya ke Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan (1970 –1971).

Beliau mendapat BA Syariah dan Undang-Undang di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan (1972 – 1975) dan seterusnya MA Usuluddin Universiti Imam Mohd Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Saudi Arabia (1978 – 1982) (Pengkhususan : Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa)

Beliau memperolehi Ph.D Usuluddin Universiti Imam Mohd Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Saudi Arabia(1990 – 1994) (Pengkhususan: Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa)

Sebelum ini beliau pernah bertugas sebagai tutor, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) 1976 – 1981

1981 - 1983 - Tutor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

1983 – 1999 - Pensyarah, Akademi Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

1999 - 2001 Prof Madya, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur

2001 – 30/4/2003 - Prof Madya, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kelantan.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya (1983 – 1985), Penyelaras Pendidikan Islam, Universiti Malaya (1984 – 1985).

Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya (1985 – 1990)

Pemangku Ketua Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya (1987)

Ketua Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya (1996 – 1999).


Sumber: Harakahdaily.net

Karikatur: Mohon maaf atau sedia hadapi protes besar-besaran, tegas Pemuda PAS


KUALA LUMPUR, 17 Jun — Dewan Pemuda PAS pusat memberi tempoh tujuh hari kepada Utusan Malaysia, akhbar milik Umno, agar memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menyiarkan karikatur didakwa menghina agama itu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, ketuanya Nasrudin Hassan (gambar) berkata, tempoh tujuh hari itu bermula dari tarikh karikatur berkenaan disiarkan iaitu kelmarin.

Selain itu tegas beliau, selain memohon maaf Utusan Malaysia juga perlu mengambil tindakan ke atas pelukis karikatur tersebut, yang hanya dikenali sebagai “Miki”.

Tambah Nasrudin, pihaknya telah menghantar memorandum bantahan kepada Utusan Malaysia pagi ini dan diterima Ketua Meja Jenayah Sufian Abu Bakar.

“Kami memberi tempoh selama tujuh hari bermula 15 Jun supaya Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menyiarkan karikatur yang menghina Islam.

“Kami juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis kartun itu dan jika tidak akan meneruskan siri bantahan, kami akan membuat perhimpunan lebih besar bagi menyatakan pendirian kami yang tidak bersetuju dengan karikatur tu yang secara jelas menghina Islam,” katanya.

Kelmarin akhbar harian berbahasa Malaysia itu pada muka surat 15 telah menyiarkan karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dan ia menurut Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan menghina Islam.

Selain itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa agar Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka.

Akhbar itu menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.

Karikatur itu yang disiarkan itu menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Dialog yang dikatakan menghina Islam adalah: “Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Dialognya berbunyi “Bagus ... Alat itu pun boleh jadi bukti!”.

Tambah Nasrudin, pihaknya juga mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia sambil menyifatkan “ia bukan kali pertama.”

“Kartun ini jelas menunjukkan Utusan Malaysia mempersendakan hukum Islam, mencetus kekeliruan terhadap agama Islam dan mempersendakan tokoh-tokoh agama.

“Selain itu, ia juga menimbulkan keresahan masyarakat berkaitan dengan jenayah rogol dan terhadap keupayaan undang-undang Islam menyelesaikan jenayah.

“Jadi kita harap Kementerian Dalam Negeri tegas,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya juga akan membuat desakan kepada KDN sekiranya Utusan Malaysia enggan memohon maaf dalam tempoh yang ditetapkan itu.

Selain Nasrudin, empat pemimpin sayap Pemuda PAS turut sama menyerahkan memorandum kepada Utusan Malaysia.


Sumber; themalaysianinsider