Teknik Takutkan Rakyat untuk Halang BERSIH 2.0

1. Hasrat aspirasi rakyat untuk memastikan proses pelantikan pemimpin negara menerusi lunas demokrasi dan pilihanraya yang adil serta telus sukar diterima oleh sebuah kerajaan yang angkuh. PAS bersama semua parti politik pembangkang serta NGO yang menganggotai koalisi BERSIH, bersiap sedia untuk berhimpun secara aman tanpa senjata untuk menyerahkan memorandum khas kepada Yang Di-Pertuan Agong.

2. Kerajaan perlu jelas bahawa himpunan yang akan diadakan pada 9 Julai ini ialah satu himpunan AMAN. Ia diambil daripada ruh demokrasi yang diperuntukkan dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia. Ini bermakna, perlembagaan yang dijunjung oleh seluruh rakyat Malaysia telah menjamin dan membenarkan hak yang diberikan kepada mereka. Oleh yang demikian, BERSIH tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

3. Selain daripada mensinonimkan himpunan aman dengan himpunan haram dan himpunan yang boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan, seolah-olah satu lagi teknik yang dicipta untuk menyekat himpunan aman iaitu teknik ‘TAKUTKAN RAKYAT’.

4. Teknik ‘TAKUTKAN RAKYAT’ ini dilihat sebagai satu ugutan untuk menafikan hak berhimpun rakyat. Daripada pemerhatian yang dibuat, kami mendapati;

a) Pada 13 Jun 2011, PERKASA secara agresif akan turun ke jalan raya bagi membentuk satu kumpulan untuk bertembung dengan kumpulan BERSIH. Ini bertujuan bagi meningkatkan sentimen tidak aman pada 9 Julai nanti.

b) Pada 15 Jun 2011, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar memberi amaran untuk tidak mengeluarkan permit termasuk membuat tangkapan awal sebagai langkah pencegahan.

c) Pada 17 Jun 2011, Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) pula mencadangkan kepada pihak polis supaya mengambil tindakan yang lebih tegas dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada perancang himpunan aman BERSIH 2.0.

d) Pada 18 Jun 2011, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim telah mengaitkan serangan siber atau godam terhadap laman web kerajaan bermotifkan politik dan mempunyai kaitan dengan BERSIH.

e) Pada 18 Jun 2011 juga, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pula telah cuba memiripkan himpunan aman BERSIH 2.0 umpama himpunan rakyat yang dilakukan secara besar-besaran pada tahun 1998. Dia bermaksud himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini tidak mustahil boleh berlaku huru hara dan pelbagai ancaman provokasi.

f) Pada 19 Jun 2011, Timbalan Perdana Menteri mendakwa himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan untuk membangkitkan kemarahan rakyat seterusnya menjatuhkan kerajaan sah hari ini.

g) Pada 19 Jun 2011 juga, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menuduh bahawa BERSIH 2.0 tidak harus mencontohi perhimpunan rakyat di negara Asia Barat seperti Mesir, Syria dan Libya.

5. Mereka cuba menafikan hak rakyat yang telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka, kedaulatan undang-undang tersebut telah dicemari. Malah, apa yang diamalkan oleh kerajaan adalah undang-undang rimba. Ingat, kerajaan yang angkuh dan menggunakan kuasa fizikal untuk menekan hak rakyat tidak akan selama-lamanya berkuasa. Rakyat tidak boleh disekat kerana akal, budi dan jiwa mereka sebenarnya bebas.

NASRUDIN HASSAN

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments:

Post a Comment